Juadah pipus wajib cuba jika berkunjung ke Daro

Astro Awani
Ogos 23, 2020 08:08 MYT
Jualan pipus menjadi sumber pendapatan utama suri rumah di kawasan Daro sejak tahun 90-an lagi. Tidak hairan, pipus dilihat seperti ikon bagi pekan kecil itu. - Astro AWANI
Kunjungan ke Daro, Mukah, Sarawak tidak lengkap jika tidak mencuba pipus yang dihasilkan oleh penduduk pekan kecil di Sarawak itu.
Pipus ataupun isi ikan lenyek segar yang dibalut menggunakan daun nipah amat sinonim dalam kalangan masyarakat di situ hinggakan ia menjadi sumber pendapatan utama mereka khasnya golongan suri rumah.
Bagi, peniaga pipus di Kampung Badong, Daro, Patimah Usop, perniagaan yang diusahakannya sejak tahun 90-an kini menjadi sumber pendapatan tetap bagi menampung keperluan keluarganya.
“Perniagaan saya ada menyediakan pipus gojeng, buntal, telur masin, ikan sardin dan kadang-kadang ikan patin.
“Dulu harga pipus secara amnya murah, sekarang mahal sedikit,” kongsinya bersama Astro AWANI.
Tambah Patimah lagi, keenakan pipus membuatkan ramai yang tidak melepaskan peluang berhenti di deretan gerai menjual juadah itu di sepanjang jalan menuju ke kampung tersebut.
Bercerita mengenai permulaan perniagaannya pula, pada asalnya ia dihasilkan untuk memenuhi keperluan sendiri.
Bagaimanapun kata Patimah, sambutan luar biasa terhadap produk berkenaan memberi inspirasi kepada keluarganya dan penduduk Daro untuk mengusahakan pipus secara komersial, lantas menjadikan ia identiti pekan kecil itu.
Kini, makanan itu dilihat sebagai ikon pelancongan yang mengangkat Daro sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi di Sarawak.
Sementara itu, bagi ketua kampung Badong, Haslimi Hassan, juadah pipus tidak terhenti di situ, malah ia mendapat permintaan tinggi daripada pasaran luar.
“Untuk makluman, pengeluaran pipus khasnya dari sekitar kampung Badong boleh mencecah sehingga 1,000 ke 2,000 batang sehari.
“Ia amat berpotensi untuk diketengahkan lagi,” ceritanya.
Tambah Haslimi, selain pengunjung Daro, tempahan pipus juga diterima dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan negara jiran, Brunei Darussalam.
Menurutnya, penghasilan pipus sangat teliti dan lebih enak jika dibeli terus daripada peniaga kawasan itu.
Aromanya yang asli pasti menambat selera mereka yang mencuba juadah istimewa dari Daro ini.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Daro #Kampung Badong #Mukah #Pipus #shm #weekender