LIFESTYLE

Keindahan masjid Istanbul dan Bursa, tumpuan jemaah lokasi penuh sejarah

Essan Yahya 18/04/2025 | 04:15 MYT
Istanbul bukan sahaja kaya dengan sejarah, tetapi juga mempunyai masjid-masjid yang menjadi lambang keagungan Islam di Turkiye. - Gambar/ Adobe Stock
MELANCONG dan ziarah ke masjid-masjid bersejarah di Istanbul dan Bursa, Turkiye adalah satu pengalaman yang menakjubkan bagi sesiapa yang ingin menyelami keindahan seni bina Islam dan sejarah gemilang Empayar Uthmaniyyah. Dua bandar ini bukan sahaja kaya dengan sejarah, tetapi juga mempunyai masjid-masjid yang menjadi lambang keagungan Islam di Turkiye.


Ringkasan AI
  • Melawat masjid-masjid bersejarah di Istanbul dan Bursa memberikan pengalaman yang menakjubkan, menyelami keindahan seni bina Islam dan sejarah Empayar Uthmaniyyah.
  • Masjid Taksim, Blue Mosque (Masjid Sultan Ahmad), Masjid Eyup Sultan, dan Masjid Ulu adalah antara masjid yang terkenal dengan seni bina yang unik dan sejarah yang mendalam.
  • Setiap masjid mencerminkan keindahan seni bina Islam dan menawarkan ketenangan rohani kepada pengunjung.


Setiap masjid di Istanbul dan Bursa bukan sahaja mempunyai sejarah tersendiri tetapi juga mencerminkan keindahan seni bina dan budaya Islam. Melawat masjid-masjid ini bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi sebuah pengembaraan yang membawa ketenangan secara rohani.

Telusuri perjalanan Wartawan dan Editor Kanan Astro Awani Essan Yahya melawat dan ziarah masjid-masjid terkenal di Istanbul, Turkiye dengan Kerjasama Turkish Airlines.


Masjid Taksim cerminan penyatuan seni bina

Masjid Taksim


Masjid Taksim, atau Taksim Camii, adalah salah satu masjid terbaru dan paling ikonik di Istanbul.

Terletak di Dataran Taksim, masjid ini menjadi simbol penyatuan seni bina tradisional dan moden, serta menjadi pusat keagamaan dan sosial yang penting di kawasan ini.

Masjid ini mula dibina pada Februari 2017 dan siap sepenuhnya pada Mei 2021. Ia dirasmikan dengan solat Jumaat yang dihadiri oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Rancangan untuk membina masjid di Dataran Taksim telah lama wujud sejak tahun 1952, tetapi hanya dapat direalisasikan selepas beberapa dekad perancangan dan perdebatan.

Masjid Taksim direka oleh arkitek Turkiye terkenal, Sefik Birkiye dan Selim Dalaman, dengan gaya seni bina Neo-Art Deco. Masjid ini mempunyai kubah besar dengan diameter 24.5 meter dan dua menara yang mencapai ketinggian 64.8 meter dan boleh menempatkan 4,000 jemaah dalam satu satu masa.

Seni bina masjid ini memberikan siluet yang elegan dan moden di tengah-tengah Dataran Taksim, menjadikannya titik fokus di kawasan tersebut.

Masjid Taksim bukan sahaja sebuah tempat ibadah, tetapi juga simbol keindahan seni bina moden yang menghormati tradisi Islam. Jika anda berada di Istanbul, pastikan untuk meluangkan masa mengunjungi masjid ini dan merasai keunikan yang ditawarkannya.


Blue Mosque (Masjid Sultan Ahmad) mercu tanda Istanbul

 Blue Mosque (Masjid Sultan Ahmad)


Blue Mosque, atau lebih dikenali sebagai Masjid Sultan Ahmad (Turkiye: Sultanahmet Camii), merupakan salah satu mercu tanda paling terkenal di Istanbul dan dunia.

Masjid ini bukan sahaja simbol keagamaan yang penting, malah ia juga menggambarkan seni bina Uthmaniyyah yang luar biasa dengan estetika yang indah.

Masjid Sultan Ahmad dibina antara tahun 1609 dan 1616 atas arahan Sultan Ahmed I, yang ingin meninggalkan warisan besar bagi empayarnya. Ia direka oleh arkitek terkenal pada masa itu, Sedefkar Mehmed Aga, yang merupakan murid kepada arkitek agung Mimar Sinan.

 Blue Mosque (Masjid Sultan Ahmad)


Bahagian dalam masjid ini dihiasi dengan lebih daripada 20,000 jubin iznik yang dihias dengan motif bunga tulip, mawar, dan daun. Jubin-jubin ini mencerminkan warna biru yang mendominasi suasana dalaman, terutama apabila cahaya matahari memasuki masjid melalui 260 tingkap kaca berwarna.

Blue Mosque bukan sekadar sebuah masjid, tetapi juga simbol perpaduan antara sejarah, seni bina, dan keagamaan. Ia adalah destinasi yang wajib dikunjungi bagi mereka yang ingin meraisai keajaiban seni bina Islam di Istanbul.

Masjid Eyup Sultan, terletaknya makam sahabat Nabi Muhammad SAW

Masjid Eyup Sultan


Masjid Eyup Sultan, yang terletak di kawasan Eyup di Istanbul, adalah salah satu masjid paling penting dalam sejarah Islam dan Turkiye.

Dengan kedudukannya yang strategik di tepi Tanduk Emas (Golden Horn), masjid ini bukan sahaja tempat ibadah tetapi juga menjadi destinasi rohani utama bagi umat Islam dari seluruh dunia.

Sejarahnya yang mendalam, seni bina yang mempesonakan, dan nilai-nilai spiritual menjadikan Masjid Eyup Sultan sebagai salah satu mercu tanda utama Istanbul.

Masjid Eyup Sultan


Masjid Eyup Sultan mula dibina pada tahun 1458, lima tahun selepas penaklukan Istanbul oleh Sultan Mehmed II (Fatih Sultan Mehmed). Ia dinamakan sempena Abu Ayyub al-Ansari (dikenali sebagai Eyup-el Ensari dalam tradisi Turkiye), seorang sahabat Nabi Muhammad SAW dan pembawa panji baginda dalam perang.

Masjid Eyup Sultan merupakan contoh seni bina Uthmaniyyah klasik yang indah. Walaupun masjid asal mengalami kerosakan akibat gempa bumi pada abad ke-18, ia telah dibina semula pada tahun 1798 hingga 1800 di bawah pemerintahan Sultan Selim III. Reka bentuk masjid kini mencerminkan gabungan elemen tradisional dengan pengaruh seni bina abad ke-18.

Mengunjungi Masjid Eyup Sultan adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pelancong dan penduduk tempatan. Suasana masjid, bersama-sama dengan keindahan seni binadan sejarahnya, memberikan rasa kedamaian dan kaguman kepada semua yang berkunjung ke masjid ini.

Masjid Ulu : 20 buah kubah, keagungan seni bina Islam

Masjid Ulu


Masjid Ulu, atau dikenali sebagai Grand Mosque of Bursa, adalah salah satu masjid bersejarah yang paling penting di Turkiye. Terletak di tengah-tengah bandar Bursa, masjid ini bukan sahaja menjadi tempat ibadah tetapi juga simbol senibina dan sejarah Islam.

Dibina pada akhir abad ke-14, Masjid Ulu adalah contoh awal seni bina monumental Uthmaniyyah yang menggabungkan elemen tradisional dan inovasikejuruteraan.

Masjid Ulu dibina antara tahun 1396 hingga 1399 atas arahan Sultan Bayezid I, selepas kemenangan besar beliau dalam perang Nigbolu pada tahun 1396.

Masjid Ulu


Sultan Bayezid I pada asalnya berjanji untuk membina 20 masjid sebagai tanda kesyukuran, tetapi atas nasihat ulama terkenal Emir Sultan, beliau memutuskan untuk membina satu masjid besar dengan 20 kubah.

Masjid ini direka oleh arkitek terkenal, Ali Neccar, dan menjadi salah satu masjid terbesar di Bursa. Ia juga dianggap sebagai mercu tanda seni bina awal Uthmaniyyah yang berkembang daripada seni bina Seljuk.

Bahagian dalaman Masjid Ulu dihiasi dengan seni kaligrafi Islam yang luar biasa dengan menempatkan 129 karya seni kaligrafi yang ditulis oleh 41 penulis terkenal, termasuk Mustafa Izzet Efendi dan Sami Efendi. Ayat-ayat suci al-Quran ditulis dalam pelbagai gaya seperti khat sulus dan kufi.

Masjid Ulu bukan sahaja menjadi tempat ibadah tetapi juga pusat kebudayaan dan sosial. Ia sering menjadi lokasi untuk acara keagamaan, seperti solat Jumaat dan solat tarawih semasa bulan Ramadan. Masjid ini juga dianggap sebagai salah satu tempat suci dalam Islam, selepas Makkah, Madinah, Baitulmaqdis, dan Damsyik.

Melawat Masjid Ulu adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pengunjung boleh mengagumi keindahan seni binadan hiasan dalaman masjid, serta merasai suasana yang mendamaikan. Kawasan sekitar masjid juga menawarkan pelbagai tarikan, termasuk bazar tradisional seperti Koza Han, yang terkenal dengan perdagangan sutera.


*Kembara dan jelajah di Turkiye Bersama Essan Yahya adalah kerjasama Astro Awani dengan Turkish Airlines.





#Turkish Airlines #bursa #Istanbul #tempat menarik di Turkiye