GAYA HIDUP

Kek lapis batik: Seni tradisional Malaysia dalam hidangan eksklusif

Faiz Firdaus 15/09/2025 | 04:30 MYT
Seri menunjukkan corak batik, anyaman geometri dan sususan simetri yang menjadikan kek lapis sebagai ‘karya seni’ yang boleh dimakan. - Astro AWANI
SEREMBAN: Berbeza daripada pendekatan biasa yang hanya menekankan rasa dan lapisan warna, jenama Lapis by Seri tampil dengan konsep unik - gabungan kek lapis Sarawak dan corak batik tradisional.


Ringkasan AI
  • Lapis by Seri tampil dengan konsep unik, menggabungkan kek lapis Sarawak dan corak batik tradisional sebagai ekspresi seni dan simbol budaya Malaysia.
  • Seri, bekas jurutera data, manfaatkan ketelitian teknikal untuk menghasilkan kek lapis bercorak simetri seperti batik Jawa dan sulaman kebaya, mencerminkan kepelbagaian etnik negara.
  • Beliau berhasrat membawa kek lapis batik ke peringkat antarabangsa, sambil menggalakkan anak muda agar berani mencuba dan menjadikan seni tempatan sebagai identiti global.


Bagi Syarifah Zainun, 39, yang lebih dikenali sebagai Seri, kek lapis bukan sekadar pencuci mulut.

Ia merupakan ekspresi seni, simbol budaya dan medium untuk mengangkat identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Hasil tangannya menampilkan corak batik, anyaman geometri dan susunan simetri yang menjadikan kek lapis sebagai ‘karya seni’ yang boleh dimakan.

“Setiap tahun saya beli kek lapis, tapi ada yang sedap, ada yang kurang. Saya tertanya-tanya apa yang membezakan kualitinya. Dari situ saya mula belajar buat sendiri dan minat itu berkembang,” kata bekas jurutera penyimpanan data itu.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang bakeri, pengalaman beliau dalam kejuruteraan memberi kelebihan dari segi ketelitian dan pendekatan teknikal.

“Kalau kek tu tak lurus atau corak tak simetri, saya akan baiki. Disiplin dan cara berfikir sebagai jurutera banyak membantu saya hasilkan kek yang kemas dan tepat,” tambahnya.

Apa yang membezakan kek lapis Seri daripada pengusaha lain ialah identiti yang dibawanya - kek lapis dengan inspirasi corak batik.

“Saya selalu tertanya, kenapa batik hanya pada kain? Kenapa tidak pada makanan? Dari situ saya gabungkan dua seni tradisional: kek lapis dan batik,” jelasnya, yang sejak kecil meminati batik kerana pengaruh neneknya.

Motif yang diketengahkan termasuk batik Jawa, batik sarung dan sulaman kebaya.


Seri turut berhasrat menggabungkan elemen budaya lain seperti cheongsam dan sari untuk mencerminkan kepelbagaian etnik Malaysia.

Bagi Seri, kek lapis bukan sekadar corak, tetapi membawa simbolik mendalam tentang masyarakat Malaysia.

Corak batik memerlukan kelembutan tangan, anyaman memerlukan disiplin, dan lapisan kek menuntut kesabaran - mencerminkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang.

“Bila semua elemen digabungkan, hasilnya sangat cantik. Sama seperti Malaysia - pelbagai bangsa dan agama, tapi bila bersatu, kita jadi lebih kuat dan indah,” katanya.

Seri bukan sahaja mengadakan kelas kek lapis batik di ibu negara, malah turut ke luar negara seperti Singapura, dengan cita-cita membawa kek lapis batik ke pentas antarabangsa.
Baginya, kek lapis adalah simbol seni dan identiti Malaysia yang wajar diperkenalkan kepada dunia.

“Ramai tak tahu, kek lapis antara kek paling rumit di dunia untuk dibuat. Saya nak bawa kek lapis batik ke luar negara supaya orang tahu seni kita ini hebat, halus dan penuh cerita.”


Beliau turut berharap agar lebih ramai anak muda berani mencuba perkara baharu dan membawa nama Malaysia melalui bidang masing-masing.

“Jangan takut gagal. Kalau kita sabar, teliti dan tidak putus asa, kita boleh berjaya. Yang penting, terus bawa nama Malaysia ke hadapan.”

Seri sendiri pernah melalui kesukaran dan hampir berputus asa, namun dengan latihan, kesabaran dan cinta terhadap seni, segalanya menjadi mungkin.








#kek lapis #seri #budaya #Hari Malaysia #batik