GAYA HIDUP

Kekayaan, paras rupa masih jadi tarikan wanita Thailand pilih lelaki Malaysia

Bernama 01/11/2025 | 00:00 MYT
Faktor kekayaan dan paras rupa masih menjadi tarikan utama yang menyebabkan sebilangan wanita Thailand, khususnya di wilayah selatan negara itu, memilih lelaki Malaysia sebagai pasangan hidup. - Gambar hiasan
YALA: Faktor kekayaan dan paras rupa masih menjadi tarikan utama yang menyebabkan sebilangan wanita Thailand, khususnya di wilayah selatan negara itu, memilih lelaki Malaysia sebagai pasangan hidup meskipun terpaksa berkongsi kasih sebagai isteri kedua.

Imam Masjid Al-Furqan Pattani, Mukhlis Mustafa Dorlohn berkata kecenderungan itu bukanlah perkara baharu, malah semakin ketara dalam kalangan wanita Melayu di Narathiwat, Yala dan Pattani yang menganggap lelaki Malaysia lebih bertanggungjawab serta berkemampuan dari segi kewangan.

"Ada wanita Thailand yang tertarik kepada lelaki Malaysia kerana mereka dilihat lebih kacak, berduit dan pandai mengambil hati. Walaupun sedar bakal menjadi isteri kedua, mereka tetap rela kerana percaya akan memperoleh kehidupan yang lebih stabil.

Bagi wanita Thailand, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, peluang berkahwin dengan lelaki Malaysia dianggap sebagai satu peningkatan taraf hidup," katanya kepada media Malaysia dalam satu sesi temu bual khas di Masjid Besar Yala, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga wanita Melayu Thailand yang berpendidikan tinggi atau berasal daripada keluarga kaya turut memilih lelaki Malaysia kerana sukar mencari pasangan sesuai atau sekufu di negara mereka.

"Sebahagian wanita Thai berusia yang berjaya juga memilih lelaki Malaysia kerana merasakan lelaki tempatan kurang berkemampuan atau tidak menepati cita rasa mereka, apatah lagi apabila semakin ramai yang terlibat dengan gejala tidak sihat," katanya.

Mukhlis berkata sebilangan lelaki Malaysia pula menjadikan perkahwinan rentas sempadan sebagai jalan untuk membina kehidupan baharu atau mengembangkan perniagaan, memandangkan kos perniagaan di Malaysia lebih tinggi.

"Ada yang berkahwin dengan wanita Thai pada awalnya bukan semata-mata kerana cinta, tetapi juga kerana faktor ekonomi, kerana mereka tahu modal untuk membuka kedai atau perniagaan di sana lebih rendah," jelasnya.

Menurut beliau, kadar hantaran pernikahan di selatan Thailand berbeza mengikut kawasan, namun secara purata sekitar 100,000 baht (lebih kurang RM12,000) dan boleh serendah 30,000 hingga 50,000 baht bagi keluarga yang lebih sederhana, menjadikan kos perkahwinan di Thailand lebih murah berbanding di Malaysia.

"Di tiga wilayah selatan Thailand, urusan pernikahan lebih mudah kerana adanya wali am. Jika kedua-dua pihak sudah bersetuju, prosesnya cepat dan tidak rumit," katanya.

Mukhlis berkata suasana mesra antara masyarakat di sempadan turut memudahkan hubungan rentas negara, termasuk melalui media sosial yang kini menjadi platform utama perkenalan antara lelaki Malaysia dan wanita Thai.

"Wanita Thai biasanya gembira apabila lelaki Malaysia datang dan memuji makanan mereka sedap serta kecantikan rupa paras mereka. Dari situlah hubungan mula terjalin.

"Keadaan ini dijangka terus berlaku selagi hubungan sosial dan ekonomi antara kedua-dua negara kekal erat," katanya.

-- BERNAMA





#kekayaan #paras rupa #lelaki malaysia #wanita thailand