SHAH ALAM: Kemasukan kain songket buatan mesin dari India dan Pakistan berisiko menyebabkan pengusaha songket tenun asli dari Terengganu gulung tikar.

Mana tidaknya, walaupun menawarkan harga lebih murah dengan kualiti fabriknya tidaklah setaraf buatan Terengganu, situasi ini juga boleh melenyapkan industri dan fabrik yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Proses menenun daripada seurat benang menjadi selembar kain songket ini adakala memakan masa berbulan lamanya setiap satu.

Belum ditambah dengan kos bahan yang melambung tinggi, pastinya sukar buat pengusaha untuk menandingi harga songket dari luar ini yang menggunakan mesin serta bahan kurang berkualiti.

Namun bagi pemilik Kak Nik Songket, Datin Nik Zaliha Nik Abdullah, inilah dilema yang dihadapi pengusaha; antara 'survival' dan meneruskan warisan nenek moyang.

"Industri songket memang terjejas dari dulu sebelum COVID-19, sebab lambakan songket dari Asia Selatan (India dan Pakistan) dengan harganya murah.

"Saya tak boleh bersaing harga mereka, mereka guna mesin, songket (Terengganu) ditenun ditambah dengan kos upah, harga barangan (benang) semakin meningkat, memang tak boleh jual murah," luah Nik Zaliha.

Kak Nik bersama koleksi songket tenunan Terengganu yang dihasilkan oleh anak tempatan melalui kaedah tradisi menggunakan alat tenunan - Gambar/AstroAWANI/HafiziRosli

Jelas Nik Zaliha atau lebih mudah disapa Kak Nik yang mengusahakan songket di Terengganu dan bertapak di Shah Alam ini, harga yang dibayar pembeli ini sangat berbaloi dengan kualiti fabrik, yang mampu bertahan hingga ratusan tahun sekiranya dijaga dengan rapi.

Namun timbul pula satu isu lain, sikap segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab - dakwa songket berkenaan tenunan Terengganu, namun diimport dari India.

Ia sekaligus mencemar perusahan songket negara, kerana ada pembeli yang tertipu apabila tidak dapat membezakan - mana songket Terengganu dan mana songket India.

"Beza songket Terengganu ini benangnya kilat dan bersinar, tidak kusam seperti songket dari India.

"Benang songket Terengganu akan timbul, tidak 'flat' seperti songket India ini. Jadi sebagai pembeli kena tahu supaya tidak tertipu," jelasnya.

Meletakkan harga yang terlalu tinggi juga jelasnya boleh akibatkan orang ramai takut untuk membeli songket tenunan Terengganu ini.

Motif corak tumbuh-tumbuhan sering mendapat permintaan tinggi dalam pasaran - Gambar/AstroAWANI/HafiziRosli

"Kak Nik nak persoal tapi nanti pengusaha marah. Tapi kenapalah jual harga sampai RM30,000 hingga RM40,000 tu, Kak Nik tak setuju dengan harga begitu.

"Apabila kita jual harga begitu orang ramai gerun untuk tengok dan beli songket Terengganu. Kita nak meniaga bukan satu helai, kita nak meniaga berterusan," katanya.

Kerajaan ujarnya harus mengambil pendekatan - mengawal kemasukan songket buatan luar dan dalam masa sama memberi galakan kepada pemain industri untuk meneruskan tradisi pemakaian busana warisan ini.

Songket Tenun | Kemasukan buatan luar malapkan industri tempatan