Bukan satu kegilaan baharu, namun permainan RC (remote control) atau alat kawalan jauh sentiasa relevan dan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tidak kira usia.

Penggemar aktiviti kawalan jauh itu memang serius dalam hobi mereka, jadi tidak hairan jika seorang individu memiliki lebih daripada satu jentera RC berskala sama ada daripada model trak pikap, pembinaan (contruction) atau crawler (jentera 4x4).

Mengemudi jentera RC berskala juga memerlukan kawasan beserta tapak permainan khas bagi setiap kategori RC, dibangunkan oleh sekumpulan penggemar aktiviti itu.

Bagi yang pertama kali melihat rekaan RC trak, pastinya berasa teruja apabial ia kelihatan seperti jentera sebenar.

Ahli Ulu Klang Remote Control (UKRC), Mohd. Rafiz Abu Bakar berkata, di salah sebuah ‘port’ mereka yang terletak di Keramat, kawasan itu dibahagikan kepada beberapa bahagian antaranya jalan raya yang dibina sendiri khusus untuk RC trak pikap, tapak pembinaan yang dikepung menggunakan zink beserta pasir untuk RC pembinaan dan juga kawasan berhalangan bagi RC crawler.

“RC trak pikap kita bina jalan raya sama macam jalan raya biasa, cuma skalanya kecil..manakala tapak pembinaan itu ada pasir untuk mereka menguji jentera mengorek atau memindahkan pasir menggunakan bulldozer atau excavator.

“RC crawler 4x4 yang ada di sini kebanyakan semuanya menggunakan bateri. Ada yang berminat macam scale, bermain lebih pada scale lah. Bagi yang minat pada hardcore, kita main pada halangan yang lebih ekstrem yang lebih sikit menggunakan 'winch', PTO winch atau electric winch untuk menggerakkan kenderaan bila tersangkut pada satu-satu halangan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

RC crawler atau 4x4 Ready To Run (RTR) boleh dimiliki dengan harga mininum RM2,500.

Menyentuh tentang kit permulaan bagi yang mula-mula berjinak dalam RC, Mohd. Rafiz menjelaskan mudah untuk membeli kit Ready To Run (RTR) di mana-mana kedai RC dengan harga mininum RM2,500.

RTR bermakna anda hanya perlu mengecas bateri dan cukup waktu, boleh cuba uji kekuatan jentera anda.

“Bagi yang mahu lebih ekstrem, boleh ubah suai jentera mereka termasuk tukar tayar atau mana-mana bahagian yang dirasa boleh meningkatkan kuasa RC anda. Ikut pada bajet anda, tukar mana yang perlu,” jelasnya.

Sementara itu, bagi seorang pekerja swasta, Azizul Yusof, minatnya dalam lapangan ini sudah terbit sejak kecil.

“RC trak pikap pertama saya berharga RM1,600. Saya ubah suai dari semasa ke semasa ikut bajet sehingga mencecah RM10,000..tetapi bukan semuanya saya belanjakan serentak.
“Bila kita minat, ia menjadikan kita tenang dan kepuasan itu menggembirakan saya. Masa banyak dihabiskan di rumah bersama anak dan isteri kerana saya memiliki lapangan peribadi dalam kawasan rumah.

“Bila bermain di luar bersama kawan-kawan, isteri dan anak juga boleh turut serta,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi kakitangan awam, Abdul Rahman Talib, dia lebih kepada RC crawler dan kini memilik sebanyak lima buah model jentera berkenaan selepas mula beraksi pada 2012.

Modal permulaannya hanya RM1,000 sebelum melakukan pelbagai ubah suai sehingga jenteranya mampu membelah halangan termasuk di kawasan berbukit, batu-batu serta halangan berlumpur.



“Saya lebih suka menghasilkan semua secara sendiri, DIY, buat sendiri aksesori tambahan atau alat bantuan sokongan. Bila buat sendiri, kita akan rasa puas. Ada juga yang lebih senang beli dan terus pasang, terpulang kepada individu dan keselesaan mereka.

“Daripada biasa, saya cuba upgrade sehingga RC saya berada pada tahap yang baik. Ilmu DIY ini juga saya kongsi dengan rakan-rakan lain. Bila kita bermain dan berkumpul ramai-ramai, banyak boleh kita bincangkan. Apa yang boleh kita tambah, apa yang boleh kita bantu..secara tidak langsung, ia merapatkan hubungan kami semua,” tambahnya.