OTAK anak (0-8 tahun) merupakan masa emas pembelajaran. Kadar serapan ilmu tinggi; mudah tangkap informasi.

Malangnya pada umur macam inilah mereka dijamu dengan gula gula, jajan, kek dan minuman bergas.

Apa berlaku? Ikuti perkongsian DrR izal Abu Bakar.

Lemahlah serapan. Lemahlah sel sel otak yang sedang ligat tumbuh. Sepatutnya otak geliga. Kasihankan?

Bagaimana cara mahu atasi?

Haramkan kesemua di atas dari berada di rumah atau di tangan anak-anak.

Masa depan mereka di tangan anda. Act now before it's too late.

Bagi mereka yang mempunyai anak, sila perhatikan anak anda terutamanya bagi mereka yang telah bersekolah.

Ada satu trend yang membimbangkan sedang berlaku terhadap kanak-kanak di seluruh dunia.

Mungkin anak anda merupakan salah seorang daripadanya.

Ingin tahu apakah perkara tersebut? Baca pendedahan oleh Hello Doktor di bawah ini.


Darah tinggi pada usia 6 tahun

Satu kajian terbaharu yang dijalankan oleh Universiti Oxford mendapati terdapat peningkatan sebanyak dua kali ganda bagi kadar kanak-kanak yang mempunyai tekanan darah tinggi berbanding jumlah pada tahun 2000.

Jika pada tahun 2000, hanya 3 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mempunyai tekanan darah tinggi, angka tersebut telah meningkat kepada 6 peratus pada tahun 2015.

Untuk pengetahuan anda, hanya 1 peratus kes ini direkodkan pada tahun 1990-an.

Ini bermakna peningkatan kes tekanan darah tinggi dalam kanak-kanak adalah sangat konsisten tahun demi tahun.

Kajian ini telah mengumpulkan data antara tahun 1994 hinggalah tahun 2018 yang melibatkan 47 kajian.

Paling mengejutkan, tekanan darah tinggi ini telah dikesan dalam kanak-kanak yang berumur seawal enam tahun.


Obesiti dan hipertensi

Hasil kajian ini ditemukan ketika mana sedang berlakunya krisis obesiti kanak-kanak global akibat pemakanan yang tidak sihat.

Perkara ini sememangnya bukan satu perkara yang pelik, kerana terdapat perkaitan yang kuat antara berat badan berlebihan dan tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Pada kebiasaannya, hipertensi tidak menunjukkan sebarang simptom tetapi boleh membawa kepada kejadian strok dan serangan jantung.

Ini kerana salur darah, jantung dan organ-organ lain mempunyai beban yang bertambah.


Hipertensi bukan lagi penyakit orang tua

Hipertensi atau tekanan darah tinggi tidak lagi dianggap sebagai penyakit orang tua.

Hasil kajian ini telah membuktikan bahawa, melalui pemakanan yang tidak teratur dan tidak sihat, tekanan darah tinggi ini boleh menjelma seawal usia kanak-kanak.

Antara faktor yang menyebabkan hal ini terjadi adalah, pendedahan terhadap pemakanan yang tinggi kandungan garam, lemak dan gula, iklan makanan yang mengelirukan serta promosi-promosi makanan ringan yang menarik minat kanak-kanak.

Ini telah menjadikan tekanan darah tinggi kanak-kanak sebagai salah satu cabaran kesihatan awam yang perlu ditangani segera di peringkat global sebelum ia membarah.

Nasihati anak-anak anda agar tidak membeli sebarang makanan ringan atau ‘jajan’ yang dijual di kantin sekolah atau penjaja yang berjualan di hadapan sekolah.

Mungkin kali ini anda perlu bertindak tegas agar anak anda tidak menjadi salah seorang mangsa tekanan darah tinggi.

Pihak pentadbiran sekolah juga boleh melarang sebarang penjualan makanan ringan di kantin dan koperasi sekolah selain menghalang penjaja daripada berniaga makanan yang tidak sihat di hadapan sekolah.

Ingatlah untuk mencegahnya sebelum parah!


*Artikel asal di Pa&Ma


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !