GAYA HIDUP

Kereta api Sabah, alternatif tempatan setanding laluan ikonik dunia

Bernama 12/12/2025 | 05:00 MYT
Laluan Tanjung Aru-Beaufort, perjalanan menggunakan tren yang telah berusia lebih seabad ini menyajikan panorama desa, hutan hujan tropika, sungai berliku dan perkampungan tradisional yang memukau mata.
KOTA KINABALU: Dalam dunia yang dipenuhi paparan gambar-gambar estetik di media sosial, ramai yang sanggup merentas benua hanya untuk menikmati pengalaman menaiki kereta api klasik

Laluan kereta api seperti Kandy-Ella di Sri Lanka, misalnya sering tular dan dikenali sebagai antara perjalanan kereta api tercantik di dunia dengan panorama ladang teh dan pergunungan berkabus yang memukau pandangan.

Namun, tanpa perlu meninggalkan tanah air, pengalaman hampir serupa sebenarnya boleh dinikmati di Malaysia melalui perkhidmatan kereta api klasik Sabah, satu-satunya yang masih beroperasi di Pulau Borneo.

Dengan tambang serendah RM4.80 yang tidak berubah sejak 1989 bagi laluan Tanjung Aru-Beaufort, perjalanan menggunakan tren yang telah berusia lebih seabad ini menyajikan panorama desa, hutan hujan tropika, sungai berliku dan perkampungan tradisional yang memukau mata.

Wartawan Bernama sendiri baru-baru ini berkesempatan merasai pengalaman unik itu semasa membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di Beaufort.

Para penumpang sudah mula berkumpul seawal 6 pagi di Stesen Tanjung Aru di Kota Kinabalu, meskipun kereta api hanya berlepas pada 7.45 pagi memandangkan tiket masih dijual secara manual dan hanya di kaunter yang dibuka tepat pada 7 pagi.

Bagi menempuh jarak kira-kira 105 kilometer (km) ke Beaufort, kereta api akan merentasi tujuh stesen utama iaitu Putatan, Kinarut, Kawang, Papar, Kimanis, Bongawan dan Membakut, sebelum tiba sekitar 10 pagi, bergantung pada keadaan cuaca serta jadual operasi.

Sepanjang hampir dua jam perjalanan, penumpang dihidangkan dengan pemandangan alam semula jadi Sabah yang masih terpelihara, daripada kampung tradisional, sawah padi, ladang kelapa sawit dan paya bakau, hinggalah sungai berliku serta kawasan perbukitan yang menjadikan suasana begitu damai dan menenangkan.

Lebih menarik dan unik, kereta api itu berjaya mengekalkan ciri-ciri klasiknya meskipun melalui beberapa kali baik pulih termasuklah penggunaan gerabak besi dan kayu, tingkap besar yang boleh dibuka sepenuhnya serta tempat duduk lama yang menghadap ke depan membolehkan pemandangan dinikmati tanpa sebarang halangan.

Namun, apa yang benar-benar mencuri perhatian ialah dentingan "ting, ting, ting" daripada loceng besi klasik, diikuti bunyi hon lokomotif diesel yang nyaring setiap kali tren menghampiri stesen atau lintasan, seolah-olah menghubungkan masa kini dengan nostalgia era kolonial British.

Berdasarkan maklumat di laman web Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), perkhidmatan ini mula dibangunkan pada 1896 semasa era British North Borneo Chartered Company, bermula dengan laluan sejauh 37 km dari Bukau ke Weston sebelum berkembang menjadi rangkaian sepanjang 134 km merangkumi 14 stesen dari Tanjung Aru ke Tenom.

Awalnya, perkhidmatan keretapi ini bertujuan mengangkut hasil getah dan tembakau dari kawasan pedalaman ke pelabuhan di Kota Kinabalu (ketika itu dikenali sebagai Jesselton) untuk dieksport, sebelum kemudian turut digunakan untuk membawa barangan keperluan harian penduduk ke pekan Tenom dan Beaufort.

Hari ini, peranan kereta api Sabah semakin meluas kerana bukan sahaja menjadi penghubung penting dalam rutin harian penduduk setempat, malah berkembang sebagai tarikan pelancongan warisan, sekali gus memperkenalkan generasi baharu kepada sejarah dan kepentingan sistem pengangkutan tertua di negeri itu.

Bagi pelajar, Muhammad Fairul Yahya, 19, meskipun perjalanan mengambil masa lebih lama berbanding menggunakan jalan raya, pengalaman yang ditawarkan kereta api Sabah jauh lebih bermakna.

"Memang seronok. Walaupun perlahan, dari tempat duduk ini kita boleh menikmati keindahan alam, jadi langsung tidak rasa bosan," katanya kepada Bernama.

Bagi Ameera Natieesyah Md Yussof, 23, pula, perkhidmatan kereta api klasik itu bukan sahaja wajar diteruskan, malah perlu dipertingkatkan lagi dari segi keselesaan kerana berpotensi besar sebagai produk pelancongan warisan.

"Kereta api ini menyimpan nilai sentimental sebagai mod pengangkutan tertua di Sabah. Tiketnya murah, tetapi pengalaman yang ditawarkan amat berharga dan harus dirasai oleh penduduk tempatan serta pelancong," katanya.

-- BERNAMA




#kereta api klasik #laluan klasik #Sabah #Tanjung Aru-Beuford