SALAH satu kereta pandu sendiri Google terlibat dalam kemalangan bulan lepas berhampiran ibu pejabat syarikat gergasi itu di Mountain View, California.

Memetik laporan BBC.com, ini bukan pertama kali kereta berkenaan terlibat dalam kemalangan, namun ini merupakan pertama kali ia menjadi punca kemalangan.

Pada 14 Februari, kereta itu bergerak dengan kelajuan 3km/h berhampiran sebuah bas yang bergerak dengan kelajuan 24km/h.

Menurut seorang kakitangan Google yang berada di dalam kereta terbabit, beliau menyangkakan bas itu akan berhenti untuk memberikan laluan kepada kereta.

Oleh kerana itu, beliau tidak mengambil alih kendalian pemanduan daripada sistem komputer berkenaan.

“Kami menanggung beberapa tanggungjawab, kerana jika kereta kami tidak bergerak, tidak akan menjadi kemalangan.

"Pemandu ujian kami percaya bas itu akan bergerak perlahan atau berhenti untuk memberi laluan untuk kenderaan kami," kata Google dalam satu kenyataan.

Kereta pandu sendiri Google telah mencatat perjalanan sebanyak jutaan kilometer di seluruh Amerika Syarikat dan hanya terlibat dalam kemalangan kecil disebabkan oleh pengguna lain.

Google mengeluarkan laporan bulanan tentang perkembangan teknologi kereta pandu sendirinya.