[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
GAYA HIDUP

Kesihatan mental: Stigma punca masyarakat enggan dapatkan bantuan profesional

Bernama 15/10/2025 | 23:00 MYT
Sarada Devi menasihati keluarga agar lebih peka terhadap tanda-tanda awal tekanan emosi dalam kalangan ahli keluarga dan segera membantu mereka mendapatkan rawatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesihatan mental yang diabaikan mampu menjerumus individu ke arah kemusnahan diri, keluarga dan masyarakat, sekiranya tidak ditangani dengan betul.


Ringkasan AI
  • Kesihatan mental yang diabaikan boleh membawa kepada kemusnahan diri, keluarga dan masyarakat, namun stigma dan kepercayaan budaya masih menjadi halangan untuk mendapatkan bantuan profesional.
  • LPPKN menyediakan kaunseling serta program seperti terapi pernafasan dan terapi ketawa bagi membantu individu mengurus tekanan dan mengekalkan ketenangan diri.
  • Keluarga, rakan sekerja dan majikan diseru lebih peka serta menunjukkan empati terhadap individu yang tertekan supaya mereka tidak berdepan masalah kesihatan mental secara bersendirian.


Pegawai Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Sarada Devi R. Subramaniam berkata malangnya, stigma dan kepercayaan budaya tertentu masih menjadi penghalang utama masyarakat mendapatkan bantuan profesional.

Beliau berkata ia sekali gus menyebabkan ramai individu memilih untuk memendam rasa dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya, sedangkan intervensi awal mampu menyelamatkan nyawa.

"Sebahagian keluarga takut tanggapan orang kononnya anak atau ahli keluarga ada masalah, tetapi sebelum perkara buruk berlaku, lebih baik kita ambil tindakan.

Sarada Devi berkata kaunseling adalah ruang yang selamat untuk mendapatkan bantuan, malah kaunselor bertauliah menjaga kerahsiaan dan tidak akan membocorkan maklumat pesakit mereka.

"Kadang-kadang jalan penyelesaian itu mudah, tetapi bila dipendam lama-lama, keadaan boleh jadi lebih buruk," katanya.

Menurut Sarada Devi, selain sesi kaunseling, LPPKN turut menyediakan pelbagai program dan modul bagi membantu individu yang berdepan isu kesihatan mental, antaranya terapi pernafasan dan terapi ketawa bagi merangsang individu kekal tenang dan fokus dalam membantu diri sendiri.

Beliau turut menasihati keluarga agar lebih peka terhadap tanda-tanda awal tekanan emosi dalam kalangan ahli keluarga dan segera membantu mereka mendapatkan rawatan.

Sarada Devi berkata di tempat kerja pula, rakan sekerja dan majikan perlu memainkan peranan bagi mengelakkan lesu upaya dalam kalangan pekerja.

"Kita sesama rakan sekerja dan majikan perlu ada nilai empati. Kalau nampak rakan tertekan, bantu dan beri sokongan. Pengurusan diri juga penting, ambil masa untuk diri, keluarga dan terapi diri," katanya.

Sarada Devi berkata tiada sesiapa yang harus berdepan tekanan secara bersendirian dan mengingatkan bahawa masih ada jalan keluar bagi mereka yang berdepan masalah kesihatan mental.

-- BERNAMA



#kesihatan mental #LPPKN #stigma masyarakat #intervensi awal