JERLUN: Setiap tahun apabila tibanya bulan Ramadan, ada sahaja aneka kuih viral yang muncul namun kuih-muih klasik tetap menjadi pilihan hati dan kekal pujaan zaman-berzaman.

Tidak lengkap berbuka puasa tanpa hidangan kuih tradisional yang lengkap dengan rasa lembut dan manis ketika berada di dalam mulut.

Kuih-muih pemanis mulut sebagai menu hidangan tatkala berbuka puasa mahupun sebagai alas perut sebelum menunaikan solat tarawih bagaikan menjadi kemestian sepanjang bulan puasa.

Antara kuih yang sering menjadi dambaan ramai ialah ketayap ‘Kak Som Pida’ dalam kalangan penduduk sekitar kawasan Pida di sini, untuk dibawa pulang menjadi santapan keluarga.

Saadiah Saad, 56, berkata, kuih warisan arwah ibunya bukan sekadar menjadi juadah keluarga malah kini turut dijual di gerai miliknya di Jalan Pida 4 Tunjang.

Menurutnya, bahan digunakan seperti kelapa parut muda, gula merah, telur dan tepung gandum.

“Pembuatannya tidak renyah sebiji kelapa yang telah diparut digaul dengan gula merah dan dicampur sedikit gula putih bagi menghasilkan inti.

“Selepas itu adunan tepung gandum bersama telur dan daun pandan menjadikan tepung untuk dibuat kulit ketayap,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Kata Saadiah, kuih warisan tinggalan arwah ibunya bukan sekadar menjadi juadah keluarga malah kini turut dijual di gerai miliknya.



Ketayap "Kak Som Pida" jadi buruan semasa bulan Ramadan



Kuih ketayap Kak Som dijual pada harga RM2 untuk lima biji.

Menurut Kak Som, dengan sekilo tepung gandum dapat menghasilkan 160 biji ketayap.

Katanya, dengan peningkatan harga barang ketika ini dia tetap menjual pada harga RM2 untuk lima biji ketayap.

“Arwah emak selalu berpesan ketika membuat adunan tepung dan inti sukatan amat penting selain niat membuatnya dengan penuh kasih sayang bagi semua orang merasa keenakan ketayap resipi warisan ibu.

“Ramai daripada pelanggan Kak Som akan mencari semula ketayap selepas pertama kali menikmatinya kerana kata mereka lembut dan intinya lambat basi walaupun dimakan pada waktu sahur,” ujarnya lagi.

Menurut ibu kepada lima anak ini, dia mula membuat ketayap ini sejak tahun 2013 selepas kematian ibunya.

Pada mulanya dia agak keberatan untuk menjadikan ia antara kuih untuk dijual selain pulut sekaya dan roti jala yang telah lama diusahakannya.

Bagaimanapun, ketayap miliknya sering menerima tempahan untuk majlis berbuka dan jamuan hari raya daripada agensi kerajaan dan swasta.