PENULIS tidak ingat bilakah kali terakhir berada di kawasan yang hampir tiada langsung talian internet. Sudah terlalu lama tidak merasai suasana kehidupan berpaksikan kehidupan sendiri – tidur pada waktu yang sepatutnya, berbual dan berkomunikasi dengan orang sekeliling tanpa perlu memikirkan hiruk pikuk dunia luar.
Semuanya kerana hidup tidak bergantung dengan sejenis peranti bernama telefon pintar. Talian internetnya terhad dan hanya boleh diakses di lokasi-lokasi tertentu, manakala talian telefon juga, paling pantas pada tahap 3G.
Jangan salah faham. Ini bukan tentang mengagungkan dunia tanpa teknologi kerana kita harus mengakui teknologi dalam dunia hari ini adalah satu keperluan.
Tetapi, empat hari tiga malam yang dihabiskan di Kg Long San Telang Usan, Baram, Miri, mengingatkan penulis kembali tentang kehidupan di zaman kanak-kanak. Tentang bagaimana indahnya kehidupan serba sederhana.
Penulis bersama dua kumpulan iaitu dari Jabatan Perangkaan (DOSM) Sarawak dan MEASAT CONNECTme NOW, berada di sana bagi membuat liputan sesi pendaftaran dan kemas kini maklumat penduduk ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Perjalanan ke Long San yang terletak kira-kira 210 kilometer dari bandar Miri, penuh berliku. Hampir enam jam dikocak dalam kenderaan pacuan empat roda, melalui jalan berbengkang-bengkok tidak bertar, tidak pelik apabila badan terasa longlai, mata terasa berat. Kata anak-anak muda sekarang, ‘barai’.
Sesampai saja di kampung tersebut, kumpulan kami yang terdiri daripada empat orang, menuju ke inap desa, Emmanuel Village Stay yang diusahakan oleh Puan Jane. Nampak agak terkejut dengan ketibaan kami, wanita itu memohon maaf, tidak dapat menyediakan makan tengah hari kerana menyangka kami akan tiba pada lewat petang.
Oleh kerana perut masing-masing sudah menjerit minta diisi, kami ‘menjemput’ diri sendiri ke inap desa bersebelahan, Jevinda Village Homestay, yang menjadi tempat penginapan satu lagi kumpulan. Untung kerana tuan rumah juga tidak banyak soal, menerima kehadiran kami dengan baik, malah dengan murah hati menambah makanan bagi menjamu 'tetamu tidak diundang'.
Di sekitar kawasan berdekatan, penulis kira terdapat tiga buah inap desa. Menurut penduduk, aktiviti pelancongan juga ‘hidup’ di kampung ini kerana Air Terjun Three Sisters yang menjadi tarikan utama. Malangnya, kesuntukan masa membuatkan kami tidak berkesempatan menjejak kaki ke sana.
Di inap desa, penulis dipertemukan dengan Leanna, 6, yang bukan saja comel tetapi juga bijak, petah, dan ramah tamah orangnya.
Tidak seperti kanak-kanak di bandar, tiada telefon pintar melekat di tangan sepanjang hari. Masa dihabiskan dengan bermain, menonton televisyen atau menemani neneknya di kedai runcit yang terletak hanya bersebelahan dengan inap desa tersebut. Pantang nampak saja kami, dia pantas menghampiri. Pelbagai soalan keluar dari mulutnya, jenaka dan usikan bertukar ganti.
Entah kenapa penulis terfikir, tanpa gajet, Leanna masih mampu terdidik dengan baik dan cerdas pemikirannya. Atau mungkin, kerana tiadanya gajet, dia menjadi anak yang pintar dan bijak berkomunikasi, walaupun dengan orang yang baru dikenali.
Ini bukan tentang baik atau buruknya gajet kerana apa sekalipun kesan, pengaruh atau padahnya, ia berbalik kepada bagaimana kita sendiri menanganinya.
Hari pertama pendaftaran berjalan lancar dengan penduduk kampung mula hadir seawal jam 8 pagi. Sibuk menyiapkan laporan berita, jari penulis sesekali terhenti, memerhati keadaan sekeliling.
Mereka yang hadir duduk di kerusi yang disediakan sambil menunggu giliran. Situasi yang biasa dilihat di mana-mana, namun kali ini sedikit berbeza kerana tiada telefon bimbit sebagai pengisi masa terluang. Baik yang tua atau muda, masing-masing hanya diam, atau berbual kosong sesama sendiri.
“Ramai yang tak memiliki telefon bimbit,” kata seorang wakil DOSM yang menguruskan pendaftaran.
“Nak daftar PADU, kena ada nombor telefon bimbit sebab nak hantar OTP (one-time password). Tetapi disebabkan mereka tak ada telefon bimbit, jadi kami kena guna cara lain untuk bypass OTP,” tambahnya.
Penulis termangu. Tidak terbayangkan bagaimana hidup tanpa langsung menggunakan telefon bimbit (atau pintar).
Sedetik itu terimbas zaman kanak-kanak dan remaja. Lahir di era 80-an, penulis sempat merasai kehidupan di mana hiburan adalah apa yang ditonton di televisyen, didengar di radio, atau dibaca dalam majalah.
Ketika itu, apa yang diketahui adalah apa yang perlu. Definisi 'membawang' atau bergosip terhad setakat jiran yang tinggal di rumah sebelah. Tiada perkongsian dibuat dengan orang yang tidak dikenali. Tidak perlu mengemas kini ke mana pergi atau apa hidangan yang dinikmati untuk tatapan mereka yang dikenali mungkin hanya dengan first name basis.
Hidup cukup ringkas dan sederhana. Kata orang, what you don’t know won’t hurt you. Mungkin ada kebenarannya. Kepala tidak berat, hati tidak sakit.
Zaman telefon pintar dan media sosial, manusia didesak untuk menjaga tepi kain orang. Kalau perlu masuk ke dalam kain sekalipun tidak mengapa kerana semua harus diambil tahu dan harus diulas. Semua harus berlagak pandai, harus dihakimi, yang in harus jadi perbualan kerana fear of missing out (FOMO).
Di kampung ini, semuanya tenang. Ke mana saja kami pergi, senyuman yang dilemparkan sentiasa bersambut. Yang disapa memberi jawapan penuh ramah. Tiada prejudis, tiada sentimen.
Ya, mereka jauh dari pembangunan. Tetapi penulis terdetik di hati, merasakan mereka tidak rugi apa-apa.
Benar, teknologi memudahkan. Tetapi jika diberi pilihan putarkan kembali masa, penulis mahu pulang ke masa silam yang serba-serbi ringkas dan menyenangkan.
Selamat tinggal Long San. Jika tiada jodoh bertemu lagi, memori tercipta abadi di hati.
*Foto-foto milik penulis, Fitri Zainuri dan Siroshini Chandran
Madiha Abdullah
Sun Mar 10 2024
Terbatas teknologi tidak sedikitpun mempengaruhi kemesraan apabila berkomunikasi secara berdepan, itulah gambaran ketenangan suasana di Kg Long San, Baram, Miri.
Tengku Zafrul akan perjelas spekulasi sertai PKR dalam masa terdekat
Tengku Zafrul akan membuat kenyataan berhubung khabar angin penyertaannya ke PKR dalam masa terdekat.
'Jangan ada sikap kawan makan kawan' - Puteri UMNO
Amal turut menyeru pemimpin masa kini mewarisi contoh terbaik kepada generasi baharu hari ini.
ISN fokus R&D sukan berpotensi menjelang Olimpik LA 2028
Institut Sukan Negara (ISN) akan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan tumpuan khusus kepada sukan berpotensi tinggi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menggunakan peru
Donald Trump lantik bekas ketua perisikan jadi utusan presiden
Jawatan itu dijangka akan memacu dasar-dasar terhadap beberapa musuh AS termasuk Korea Utara.
Turkiye tegaskan dukungan ke atas Syria pasca konflik
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan memberi jaminan bahawa Turkiye akan terus berdiri bersama rakyat Syria dalam proses pemulihan dan pembinaan semula negara itu.
Dalam catatannya di X, Erdogan berkata sokongan akan terus diberikan tanpa mengira latar belakang rakyat Syria demi memastikan negara itu bangkit semula sebagai sebuah negara yang aman dan stabil.
Dalam catatannya di X, Erdogan berkata sokongan akan terus diberikan tanpa mengira latar belakang rakyat Syria demi memastikan negara itu bangkit semula sebagai sebuah negara yang aman dan stabil.
Syria fokus pemulihan, tolak konflik baharu dengan Israel
Pemimpin de facto Syria, Ahmad al-Sharaa, pada Sabtu menyatakan bahawa Israel menggunakan alasan palsu untuk mengesahkan serangan terhadap Syria.
Namun, beliau menegaskan bahawa Syria tidak berminat terlibat dalam konflik baharu.
Namun, beliau menegaskan bahawa Syria tidak berminat terlibat dalam konflik baharu.
Piala AMEC: Ekor Harimau diancam penyokong lawan di Stadium Rajamangala akibat provokasi
Situasi tegang itu berpunca daripada kedua-dua pihak yang saling berbalas provokasi tetapi keadaan itu terkawal.
Bayi lelaki berbalut kain ditemui dalam semak belakang surau di Manjung
Siasatan pihak polis mendapati bayi lelaki tersebut ditinggalkan dalam semak dan berbalut dengan kain.
‘UMNO bukan parti yang boleh ditendang, perlu kaji kedudukan dalam kerajaan’ - Dr Akmal
Dr Muhamad Akmal menyifatkan UMNO bukan sebuah parti yang boleh ditendang mengikut sesuka hati.
FBI dedah foto wartawan AS yang hilang di Syria sejak 2012
Gambar tersebut disunting bagi memberi gambaran kemungkinan rupa paras beliau pada usia 40-an.
Ketenangan luar biasa... Imbauan kenangan di Long San
Empat hari tiga malam yang dihabiskan di Kg Long San Telang Usan, Baram, Miri, mengingatkan penulis kembali tentang indahnya kehidupan serba sederhana.
Capaian internet: MEASAT-CONNECTme NOW pertingkat ketersambungan di pedalaman
Bagi MEASAT, aspirasi jalur lebar nasional terus diberi sokongan melalui perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi, CONNECTme NOW
PADU: Permudah proses kemas kini, pertingkat kefahaman penduduk pedalaman
Penduduk kampung usaha itu dipergiatkan lagi bagi memastikan tidak ada yang tertinggal.
Stesen solar Long San bukti usaha kerajaan negeri luaskan capaian tenaga elektrik
Stesen itu akan penuhi keperluan kepada tenaga boleh diperbaharui yang semakin meningkat dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api diesel.