GAYA HIDUP

[KOLUMNIS] Amalan hari Jumaat dalam tradisi masyarakat Melayu

Azura Halid 16/01/2026 | 00:00 MYT
Dalam pemikiran orang Melayu, ibadah pada hari Jumaat tidak sekadar untuk individu malahan dipandang sebagai peluang penyatuan masyarakat. - Gambar hiasan Bernama
HARI Jumaat sering disebut sebagai sayyid al-ayyam atau penghulu segala hari dalam tradisi orang Melayu dan Islam. Bagi umat Melayu yang identitinya terbentuk melalui adunan antara agama Islam, budaya dan adat, hari Jumaat bukan sekadar satu hari dalam kalendar.

Hari Jumaat sarat dengan makna rohani, sosial dan budaya. Malah bagi sebahagian besar masyarakat Melayu, hari Jumaat diangkat sebagai hari yang penuh rahsia, keberkatan dan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan lebih akrab. Penulisan ini menyingkap rahsia hari Jumaat difahami dan diamalkan menerusi pemikiran orang Melayu, merangkumi aspek agama, budaya dan falsafah hidup.

Sebagaimana maksud hadis “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan, pada hari itulah dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itulah dia dikeluarkan daripadanya. Dan tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat” (Riwayat Muslim).

Kehidupan dan pemikiran masyarakat Melayu amat dipengaruhi oleh ajaran Islam. Dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak penekanan tentang keistimewaan hari Jumaat. Orang Melayu menghayati mesej ini dengan menjadikan hari Jumaat sebagai hari tumpuan untuk beribadah.

Membaca surah al-Kahfi, memperbanyakkan selawat atas Nabi Muhamad SAW serta datang lebih awal ke masjid bagi orang lelaki untuk menunaikan solat Jumaat merupakan antara amalan yang diimarahkan pada hari Jumaat.

Menariknya dalam pemikiran orang Melayu, ibadah pada hari Jumaat tidak sekadar untuk individu malahan dipandang sebagai peluang penyatuan masyarakat. Bagi golongan lelaki, menunaikan solat Jumaat dianggap sebagai medan pertemuan, ruang bertukar khabar dan wadah mengukuhkan ukhuwah.

Keadaan ini menjadi budaya dan tradisi apabila masjid menjadi pusat kegiatan sosial yang penting terutamanya pada hari Jumaat. Tidak mengambil kira warna kulit dan bangsa, masjid menyatupadukan umat Islam dalam mengangkat darjat doa yang akan dimakbulkan oleh Tuhan. Di sinilah penyatuan dan perpaduan masyarakat Islam bermula dan kelihatan lebih efektif berbanding pada hari-hari lain.

- Bernama



Hari Jumaat dalam pemikiran orang Melayu juga dihubungkan dengan adat dan simbol budaya tertentu. Malam Jumaat sering dianggap sebagai waktu terbaik untuk mengadakan bacaan Yasin atau tahlil kepada para gemulah. Amalan ini bukan sahaja bernuansa agama tetapi juga mengekalkan ikatan kekeluargaan. Generasi tua menurunkan budaya ini kepada golongan muda dengan menjadikan malam Jumaat sebagai suatu ruang pendidikan agama secara tidak formal yang berterusan.

Bagaimanakah tradisi ini menjadi amalan dalam kalangan orang Melayu?

Mengambil kira kaedah metafizik dalam numerik hisab, jumlah ayat al-Quran ialah 6236. Angka ini dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu 62 yang merujuk pada surah ke-62 dalam al-Quran, iaitu surah al-Jumuah (hari Jumaat) manakala surah ke-36 ialah surah Yasin.

Maka akal pemikiran orang Melayu itu menyisafkan amalan membaca Yasin pada malam Jumaat sangat bertepatan dengan kaedah kiraan kaedah numerik tersebut. Walhal surah Yasin boleh saja dibaca pada bila-bila masa. Menurut sarjana sastera Melayu Kassim Ahmad (1976), amalan tahlil dalam budaya Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai ibadah tetapi juga sebagai alat sosial yang merapatkan hubungan keluarga dan masyarakat.

Selain itu juga hari Jumaat sering dianggap sebagai waktu yang sesuai untuk melangsungkan majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran atau majlis doa selamat. Pemilihan hari ini bukan semata-mata kerana faktor praktikal tetapi kerana dipercayai membawa keberkatan penghulu segala hari.

Dalam kata lain, rahsia hari Jumaat dalam pandangan orang Melayu turut menyalurkan simbol optimis, iaitu satu keyakinan bahawa apa-apa yang bermula pada hari Jumaat akan mendapat rahmat dan keberkatan Allah.

Selain elemen agama dan budaya, orang Melayu juga memandang hari Jumaat sebagai waktu untuk memunasabah diri. Hari Jumaat diibaratkan sebagai penutup kehidupan yang sementara.

Oleh itu hari Jumaat sering dijadikan sebagai ruang untuk memperbaharui niat, memohon keampunan serta menginsafi perjalanan hidup. Malahan khutbah Jumaat yang menjadi kewajipan mingguan dianggap sebagai bekalan ilmu dan peringatan untuk menempuh cabaran hari-hari seterusnya.

- Bernama



Dengan cara ini rahsia hari Jumaat dalam pemikiran masyarakat Melayu membawa erti refleksi dan kesedaran spiritual. Inilah hari yang Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya yang memohon hajat dengan sepenuh hati dan tawaduk. Seperti mana hadis yang mengatakan “Pada hari Jumaat ada satu waktu yang tidaklah seseorang hamba memohon keampunan kepada Allah bertepatan dengan waktu itu, melainkan diberikan keampunan kepadanya. Nabi Muhamad SAW memberi isyarat dengan tangan baginda sekejapnya waktu itu.” (Riwayat Ibn al-Sunni).

Tidak ada hari yang lebih mulia selain hari Jumaat kerana kelebihan yang terkandung pada hari tersebut. Disebabkan itulah hari Jumaat dijadikan sebagai hari pelepasan bagi umat Islam (Mohamad H. Rais, 2025). Para ulama pula menjelaskan bahawa sebaik-baik doa adalah pada hari Jumaat. Sebahagian besar ulama pula berpendapat bahawa waktu sebaik-baik doa ialah pada waktu asar walaupun terdapat pandangan lain tentang waktu-waktu yang afdal berdoa.

Orang Melayu sangat menekankan kitaran hidup yang harmoni. Hari Jumaat sebagai penghulu segala hari difahami bukan hanya pada dimensi agama tetapi juga falsafah hidup. Misalnya, kerja keras sepanjang minggu dilihat seimbang apabila tiba hari Jumaat, hari yang memberi ruang untuk berhenti seketika, beribadah dan ruang waktu bersama keluarga.

Falsafah ini sejajar dengan konsep keseimbangan (tawazun) yang menjadi tunjang pemikiran Islam. Bagi orang Melayu hari Jumaat ialah lambang kesempurnaan minggu dan hari yang mengingatkan manusia bahawa dunia dan akhirat perlu disepadukan dan diseimbangkan. Maka tidak hairanlah dalam doa-doa orang Islam, hari Jumaat sering disebut sebagai hari keberkatan dan doa dimustajabkan.

Dalam dunia moden penghayatan terhadap rahsia hari Jumaat masih kekal tetapi berdepan dengan beberapa cabaran. Urbanisasi, jadual kerja yang padat dan gaya hidup moden kadang-kadang mengikis ruang untuk menghidupkan tradisi pada malam Jumaat.

Namun begitu banyak juga usaha baharu yang dilakukan, seperti program di masjid yang menganjurkan bacaan surah al-Kahfi secara berjemaah atau kuliah magrib pada malam Jumaat. Bagi masyarakat Melayu, cabaran ini sebenarnya membuka peluang untuk menuntut kreativiti bagi menyesuaikan tradisi lama dengan dunia baharu. Selagi nilai rohani, kekeluargaan dan kebersamaan terus dihayati, rahsia hari Jumaat akan kekal hidup dalam pemikiran orang Melayu meskipun zaman semakin berubah.

Amalan-amalan pada hari Jumaat dalam budaya masyarakat orang Melayu mencerminkan hubungan erat antara agama, tradisi dan falsafah hidup. Hari Jumaat dianggap sebagai hari keberkatan, ruang penyatuan komuniti, simbol peralihan dunia nyata dan ghaib serta wahana muhasabah diri. Tradisi bacaan Yasin, solat berjemaah, khutbah Jumaat dan majlis keluarga pada malam Jumaat ialah manifestasi nyata agar amalan ini dihayati.

Walaupun cabaran moden mendesak perubahan cara amalan dilakukan, inti dan perspektif akal budi orang Melayu tentang hari Jumaat tetap sama, iaitu hari Jumaat ialah hari yang istimewa, penghulu segala hari dan kunci keseimbangan hidup dunia serta akhirat.



* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





#hari jumaat #Solat Jumaat #tradisi masyarakat #orang Melayu #ibadah