ISU lelaki curang sedang hangat diperkata oleh media massa dan sosial. Lelaki seumpama ini dikatakan memiliki ciri-ciri kasanova.
Istilah kasanova berasal daripada istilah Inggeris, iaitu casanova. Carian dalam Kamus Oxford mendapati kata casanova didefinisikan sebagai a man who has sex with a lot of women. Kamus Dewan Edisi Keempat pula merekodkannya sebagai lelaki yang suka memikat dan memperdaya wanita. Penggunaannya dalam masyarakat hari ini diperluas dengan menyamakannya dengan lelaki curang, tidak setia, kaki perempuan, mata keranjang, hidung belang, buaya darat dan yang terbaharu – love scammer.
Istilah ‘kasanova’ ini dipetik daripada nama seorang lelaki berbangsa Itali, iaitu Giovanni Giacomo Casanova yang lahir pada 1725. Casanova mengenali erti hubungan kelamin seawal usia 16 tahun dan seawal itu jugalah dia melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang undang-undang.
Siapa Casanova?
Dia mengikuti kegiatan keagamaan di gereja sebagai pendakwah Kristian namun lebih banyak meluangkan masa dengan aktiviti sosial dan berfoya-foya dengan banyak perempuan. Perangai buruknya itu mendapat perhatian dunia apabila dia telah menghamilkan ramai wanita termasuk anaknya sendiri. Dia pernah beberapa kali didakwa atas tuduhan memperkosa namun dilepaskan dan dibebaskan.
Casanova pernah terlibat dalam bidang ketenteraan dan muzik sehingga namanya tersohor pada era itu. Hidupnya dilimpahi kemewahan apabila menjadi pemegang taruh terbesar dalam sebuah syarikat perjudian. Namun kekayaannya itu disalurkan kepada aktiviti seksual dengan wanita-wanita yang bekerja dengannya sehingga pernah dipenjarakan akibat menanggung hutang yang banyak.
Pada saat-saat akhir hidupnya, dia menjadi pustakawan di sebuah kediaman bangsawan di Istana Dux, Bohemia yang kini dikenali sebagai Istana Duchov, Republik Czech. Casanova pernah melahirkan sebuah buku autobiografi sehingga namanya terkenal seluruh dunia namun kemasyhurannya itu bukanlah tanda dia disukai oleh masyarakat sekitarnya.
Sikap buruknya itu membuatkan masyarakat pada zaman tersebut membencinya malahan mengutuk segala perbuatannya dengan gelaran kaki perempuan sehingga ke akhir riwayatnya. Dia mati tanpa disanjung namun namanya meniti di bibir masyarakat sehingga namanya direkodkan dalam kamus terkenal dunia.
Pembentukan istilah
Pembinaan istilah dalam bahasa Melayu memerlukan konsep dasar yang tertentu. Istilah ialah kata atau gabungan kata yang menjelaskan sesuatu makna, konsep, proses, keadaan atau ciri khusus. Konsep pertama dalam pembinaan atau pembentukan istilah mengambil kira hal tataistilah dan tatanama, iaitu peraturan yang membentuk istilah dan peraturan untuk menentukan nama.
Sesuatu istilah yang dibina mempunyai makna yang khusus pada bidang tertentu seperti bidang seni, sains, teknologi, agama, undang-undang dan sebagainya. Istilah juga boleh menjadi umum dan khusus.
Pembentukan istilah juga berpandukan sumber istilah yang terdiri daripada perbendaharaan kata umum bahasa Melayu, bahasa serumpun dan bahasa asing. Dalam mauduk perbincangan tentang istilah ‘kasanova’ ini, tumpuan diberikan terhadap pembentukan perbendaharaan kata bahasa asing dalam subbidang penyerapan istilah asing.
Pinjaman
Istilah asing boleh dipinjam atas beberapa dasar, iaitu kesesuaian makna, lebih singkat daripada terjemahan bahasa Melayu dan memudahkan penyelarasannya (sekiranya istilah bahasa Melayu mempunyai banyak sinonim). Terdapat istilah asing tertentu yang sebutan dan ejaannya kekal dalam semua bahasa dan digunakan juga dalam bahasa Melayu seperti bona fide, esprit de corps, weltanschauung dan sebagainya.
Dalam konteks pembinaan istilah bahasa Melayu, kata ‘kasanova’ dibentuk ejaannya daripada bahasa sumber yang disesuaikan. Sebutannya pula mengikut sistem bunyi bahasa Melayu dengan menukar konsonan C kepada konsonan K.
Istilah ini pada asalnya tergolong dalam golongan kata nama khas, iaitu Giovanni Giacomo Casanova lalu diserap menjadi kata pinjaman daripada bahasa asing ke bahasa Melayu maka menjadi kata nama am.
Proses pembentukan kata dan istilah dalam bahasa Melayu bersifat dinamik. Hal ini berupaya mengembangkan penggunaan bahasa Melayu ke peringkat global melalui proses pinjaman dan serapan. Bahasa Melayu tidak akan pupus selagi bahasa tersebut bersifat dinamik dan kekal relevan sepanjang zaman.
* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Azura Halid
Sun Mar 24 2024
Casanova mati tanpa disanjung namun namanya meniti di bibir masyarakat sehingga namanya direkodkan dalam kamus terkenal dunia. - Gambar hiasan
Ahli perniagaan China didakwa pengintip dijemput ke Istana Buckingham oleh Duke
Lelaki itu dilaporkan telah melawat Istana Buckingham sebanyak dua kali atas jemputan Putera Andrew.
Vincente kekal optimis walaupun tewas 0-1 kepada Thailand
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menyatakan rasa bangga terhadap prestasi pemainnya, terutama sekali menentang juara bertahan kejohanan itu.
Mesir, pegawai AS bincang usaha gencatan senjata di Gaza
Presiden Sisi menekankan keperluan segera untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Tiga ditahan, pelbagai dadah bernilai RM44,200 dirampas
Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah narkotik.
Banjir: Jumlah mangsa kekal 47 orang di dua negeri
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan dua negeri.
Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand
Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Simposium Legenda Puteri Santubong dianjur tahun depan - Nancy
Datuk Seri Nancy Shukri berkata simposium itu bakal dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak satu peluang luar biasa - TYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rakyat Jepun bantah keganasan seksual tentera Amerika Syarikat
Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
[KOLUMNIS] 'Kasanova': Daripada kata nama khas kepada kata nama am
Istilah asing boleh dipinjam atas beberapa dasar, iaitu kesesuaian makna, lebih singkat daripada terjemahan bahasa Melayu dan memudahkan penyelarasannya.
Lagi kasanova laman sosial aniaya teman wanita, larikan RM65,000
Suspek mengugut jika mangsa enggan berbuat demikian, dia akan bertindak menyebarkan gambar separuh bogelnya ke dalam internet.
Saya bingung dan pemikiran seperti dikawal 'kasanova' - Pegawai polis wanita
Seorang pegawai kanan polis wanita memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia tidak mempunyai niat untuk melepaskan seorang tahanan dikenali 'kasanova', dua tahun lepas.