LIFESTYLE
[KOLUMNIS] Media sosial bakal berakhir?
![[KOLUMNIS] Media sosial bakal berakhir? [KOLUMNIS] Media sosial bakal berakhir?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2021-02/61613118056_MobileAddict.jpg)
Media sosial kini tidak lagi berfungsi sebagai ruang peribadi untuk berhubung dengan kenalan, tetapi telah berkembang menjadi pentas penyebaran kandungan hiburan dan berita secara umum. - Foto hiasan
MEDIA sosial kini tidak lagi berfungsi sebagai ruang peribadi untuk berhubung dengan kenalan, tetapi telah berkembang menjadi pentas penyebaran kandungan hiburan dan berita secara umum. Kenyataan terbaharu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg bahawa “media sosial sudah berakhir” mungkin kedengaran dramatik, namun sebenarnya mencerminkan satu kebenaran yang telah lama berlaku di depan mata kita.
Rangkaian sosial yang dahulunya menjadi ruang untuk berhubung dengan rakan dan keluarga kini berubah wajah. Ia kini lebih mirip media hiburan, iaitu dipenuhi video selebriti, kandungan pop budaya, dan hasil ciptaan AI. Realitinya, media sosial telah bertukar menjadi media penyiaran. Kita kini menonton, dan bukan lagi berinteraksi.
Berdasarkan laporan The New Yorker pada April 2025, Zuckerberg mengakui sendiri perubahan ini ketika memberi keterangan dalam perbicaraan antitrust Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) terhadap Meta, iaitu syarikat induk Facebook. Zuckerberg menyatakan bahawa Meta kini lebih fokus kepada “hiburan dan penemuan dunia,” bukan lagi komunikasi peribadi.
Data yang dikemukakan menunjukkan peratusan tontonan kandungan daripada rakan menurun iaitu hanya 17% di Facebook dan 7% di Instagram. Ini mencerminkan peralihan besar dari fungsi asal media sosial kepada penyampaian kandungan massa.FTC mendakwa Meta mengekalkan monopoli dengan membeli pesaing seperti Instagram dan WhatsApp. Namun Meta mempertikaikan definisi pasaran itu, memandangkan kini ia bersaing dengan pelbagai platform seperti TikTok, YouTube dan iMessage. Malah, satu memo lama Zuckerberg turut mencadangkan pemisahan Instagram secara sukarela, isyarat awal kepada tekanan antitrust yang sedang berlaku hari ini.
Walau bagaimanapun, sukar untuk membuktikan Meta menyebabkan kemudaratan pengguna kerana perkhidmatannya percuma dan WhatsApp sendiri berkembang pesat selepas diambil alih. FTC cuba berhujah bahawa tanpa pengambilalihan tersebut, WhatsApp mungkin menjadi pesaing hebat, tetapi sejarah menunjukkan pengasasnya lebih konservatif berbanding hala tuju agresif Meta. Kini, dengan ancaman baharu seperti AI generatif dan isu geopolitik berkaitan TikTok, perdebatan mengenai monopoli menjadi semakin kompleks.
Perbincangan ini mencerminkan transformasi besar dalam ekosistem media sosial global. Sama ada Meta kekal sebagai ‘raja kandungan’ atau tidak, yang pasti, definisi media sosial itu sendiri sedang berubah. Dalam dunia yang dikuasai oleh algoritma dan kepantasan, cabaran sebenar bukan sekadar soal monopoli, tetapi bagaimana untuk memastikan teknologi kekal melayani manusia dan bukan sebaliknya.
Kita juga perlu bertanya: Apakah harga yang perlu dibayar apabila ‘media sosial’ tidak lagi bersosial? Adakah kita benar-benar lebih dekat, atau hanya lebih terhibur? Dan adakah algoritma kini menentukan apa yang kita patut lihat, fikir dan rasakan?
Apa pun keputusan kes ini, satu perkara jelas: media sosial telah melalui transformasi besar... dari jambatan komunikasi kepada saluran penyiaran. Ia tidak semestinya satu pengakhiran, tetapi ia adalah satu permulaan baru yang sangat berbeza.
* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami