GAYA HIDUP
[KOLUMNIS] Nasi ambeng... Satu dulang seribu makna
Di Malaysia, hidangan ini menjadi sebahagian daripada juadah semasa majlis-majlis tertentu seperti tahlil, kenduri kesyukuran dan perjumpaan komuniti Jawa. - Astro AWANI
NASI AMBENG (kadang kala dieja nasi ambang) ialah makanan tradisional yang sangat ikonik dalam budaya masyarakat Jawa di Malaysia. Nasi ambeng bukan sekadar juadah tetapi mewakili tradisi, identiti, nilai sosial dan sejarah migrasi masyarakat Jawa ke Tanah Melayu. Melalui satu dulang besar yang dikongsi dengan empat orang, nasi ambeng menyimpan seribu rahsia. Nasi ambeng mempunyai makna tersirat yang mendalam yang perlu dirungkaikan untuk makluman masyarakat sejagat.
Perkataan “ambeng” dalam bahasa Jawa membawa maksud “mengepung” dan “menjaga”, iaitu nasi yang dikepung oleh lauk-pauk (Bausastra Jawa, 2025). Nasi ambeng berasal daripada masyarakat Jawa, khususnya di Jawa Tengah dan Jawa Timur. Nasi ambeng dibawa ke Tanah Melayu melalui migrasi dan penghijrahan masyarakat Jawa ke Tanah Melayu sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20 untuk bekerja dalam sektor pertanian, peladangan dan pembinaan. Bersama-sama penghijrahan itu mereka membawa tradisi kulinari termasuk nasi ambeng.
Di Malaysia, hidangan ini menjadi sebahagian daripada juadah semasa majlis-majlis tertentu seperti tahlil, kenduri kesyukuran dan perjumpaan komuniti Jawa. Kajian mendapati bahawa amalan menyajikan nasi ambeng secara tradisional tetap dijaga walaupun dengan perubahan masa dan keperluan moden. Suatu ketika dahulu nasi ambeng lebih eksklusif pada majlis istiadat dan upacara keagamaan komuniti Jawa.
Namun kini nasi ambeng sudah dijual di restoran dan warung bahkan melalui servis dalam talian. Transformasi ini menunjukkan evolusi fungsi budaya terhadap perubahan sosial dan ekonomi.
Bahan asas nasi ambeng ialah nasi putih yang distim, daun pisang sebagai alas (atau dulang dilapisi daun pisang) dan lauk‐pauk. Antara lauk lazim ialah rendang daging atau ayam, ayam masak kicap, sambal goreng (tempe, tauhu, kacang panjang, bawang dan cili), urap atau serunding (sayur-sayuran dicampur kelapa parut berbumbu), begedel, telur masin atau telur rebus, rempeyek atau keropok dan mi atau mihun goreng. Lauk-pauknya tidak berkuah bagi mengelakkan basi dan tahan lebih lama.
Nasi ambeng biasanya disajikan di dalam dulang atau talam besar yang dilapisi dengan daun pisang supaya aromanya mewangi dan dulangnya mudah dicuci selepas digunakan. Nasi diletakkan di tengah-tengah dulang manakala lauk‐pauk disusun di sekeliling nasi. Lazimnya nasi ambeng tradisional dikongsi empat orang sedulang.
Apakah rahsia dan simbolik penyajiannya di dalam dulang?
Pemakaian dulang besar, berkongsi satu dulang, makan beramai‐ramai tanpa mengira pangkat atau status merupakan simbol solidariti, persaudaraan, saling menghormati dan kebersamaan dalam komuniti. Budaya penyajian dan pemakanan beginilah yang membentuk nilai budaya dan sosial masyarakat Jawa selain perpaduan dan komuniti yang erat.
Satu kajian mendapati bahawa hidangan nasi ambeng berfungsi sebagai medium perpaduan dalam masyarakat Jawa terutamanya dalam majlis kenduri atau tahlil. Duduk bersila di lantai dan makan bersama-sama dengan satu dulang dan berkongsi sajian dengan empat orang menunjukkan bahawa tiada perbezaan sosial semasa makan. Ini menyemai rasa setara dalam komuniti.
Namun tiada kaedah dan ketetapan yang jelas untuk bilangan orang bagi satu-satu dulang. Walau bagaimanapun bilangan dan angka empat dalam masyarakat Jawa sering dikaitkan dengan dengan empat arah mata angin, iaitu utara, selatan, timur dan barat yang melambangkan keseimbangan alam.
Oleh yang demikian, makan empat orang pada satu dulang membawa maksud hidup yang harmoni dan seimbang. Jumlah empat orang ini dianggap sesempurna jumlah bagi menggalakkan hubungan mesra, perbualan erat dan rasa hormat selain mengikat keakraban antara ahli keluarga, jiran atau sahabat. Simboliknya jika kurang akan wujud kelompongan dan jika lebih akan mengundang umpatan.
Empat orang berkongsi satu dulang juga melambangkan ukhuwah atau ikatan persaudaraan, hidup bermasyarakat dan semangat gotong-royong. Hal ini mendidik masyakarat bahawa rezeki perlu dikongsi bersama dan bukan dimakan sendirian. Juadah yang banyak di dalam dulang bukanlah untuk dimakan sehingga selesai sebaliknya hendaklah dibawa pulang sebahagiannya untuk dirasai oleh kaum keluarga di rumah.
Disebabkan itulah pada setiap kenduri-kendara akan dibekalkan daun pisang atau bekas makanan (mengikut kesesuaian) pada zaman moden ini untuk dibungkus lebihannya ini. Itulah simbol berkongsi rezeki yang membentuk kesamarataan, kerukunan, kebersamaan dan keseimbangan hidup.
Amalan menyediakan nasi ambeng wajar diwariskan daripada generasi ke generasi. Ilmu kulinari tentang bahan, resipi, susunan lauk‐pauk bahkan etika semasa makan bersama-sama ini merupakan warisan budaya yang harus dijaga.
Walaupun terdapat perubahan dari semasa ke semasa seperti pemilihan lauk berubah mengikut cita rasa moden dan ketersediaan bahan dan selera pasaran, namun elemen asas mesti dikekalkan. Nasi ambeng bukan sahaja makanan tradisional tetapi juga citra budaya yang membuktikan bahawa budaya migrasi dan asimilasi tidak memadamkan warisan asal tetapi menambah lapisan baharu dalam pengertian identiti Malaysia.
Nasi ambeng kini dijual secara komersial di restoran, gerai, katering bahkan tempahan dalam talian. Terdapat versi yang sedia untuk dibawa pulang (take‐away) dan saiznya disesuaikan dengan bilangan orang.
Ini memudahkan perkhidmatan dan perniagaan tetapi mengurangkan elemen tradisional seperti kebersamaan “makan satu dulang”. Perubahan ini juga menimbulkan persoalan apabila elemen-elemen tradisional ditukar.
Contohnya penggunaan bahan bukan tradisional, cara penyediaan moden dan penyajian individu. Maka sejauh manakah hidangan itu masih “nasi ambeng” yang asli? Apa pun perubahannya yang penting elemen tradisional harus dipelihara agar identiti budaya tidak hilang dalam mengekalkan gastronomi nasi ambeng.
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.