GAYA HIDUP

[KOLUMNIS] Pengesanan awal penyakit buah pinggang cegah beban sektor kesihatan yang kian nazak

Kolumnis AWANI 24/12/2025 | 00:00 MYT
Ketika ini, kira-kira 8,000 rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) setiap tahun. - Gambar fail
TAHUKAH anda berapa kos untuk menyelamatkan nyawa seorang pesakit buah pinggang di Malaysia?

Di hospital swasta misalnya, jumlah yang perlu dibayar oleh seorang pesakit buah pinggang kronik adalah sekitar RM70,000 hingga RM100,000 bagi penerima buah pinggang. Manakala sejumlah RM40,000 to RM60,000 pula diperlukan bagi penjagaan penderma.

Tetapi yang menariknya, di hospital kerajaan hanya mengenakan bayaran RM1,000 untuk kos pemindahan buah pinggang, manakala penerima pula menerima rawatan secara percuma. Jumlah ini adalah perbelanjaan minimum yang ditanggung oleh kerajaan, tetapi ia seringkali lebih tinggi jika melibatkan komplikasi atau prosedur pemindahan.

Bagi setiap individu yang memerlukan rawatan dialisis kosnya ialah RM29,000 hingga RM39,800 setahun dan pihak kerajaan khususnya Kementerian Kewangan (MOF) hanya mengenakan RM120 setahun untuk seorang pesakit. Dan ironinya, kerajaan membelanjakan sehingga RM3.3 bilion setahun untuk rawatan pesakit buah pinggang sahaja!

Ketika ini, kira-kira 8,000 rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) setiap tahun, dan angka ini terus meningkat. Persoalannya, di manakah silapnya? Mengapa kita menunggu sehingga buah pinggang rosak total sebelum bertindak? Jawabnya terletak pada jurang kritikal, ketiadaan polisi dan langkah proaktif untuk Pengesanan Awal Penyakit Buah Pinggang (CKD) di peringkat komuniti.

Krisis penyakit buah pinggang kronik (CKD) di Malaysia kini berada pada tahap yang sangat kritikal, bukan sahaja dari aspek kesihatan, tetapi juga beban kewangan negara. Situasi ini berlaku kerana tiada strategi atau polisi yang komprehensif untuk pengesanan awal yang mampu menjangkau orang awam.

Faktor utama di sini ialah kaedah saringan yang sedia ada dilihat terlalu susah dan mahal untuk diimplementasi secara meluas, sekali gus menyebabkan intervensi dan rawatan awal gagal dilaksanakan. Jika kita tidak ubah pendekatan ini, perbelanjaan negara untuk sektor kesihatan akan terus ditenggelami kos rawatan dialisis yang mencecah bilion ringgit.

Pencegahan CKD boleh bermula jauh lebih awal, dan ia tidak semestinya memerlukan pelaburan bersaiz mega. Salah satu intervensi yang paling berkesan dan boleh dilakukan ialah pembinaan pengesan (sensor) atau kit saringan CKD yang murah dan mesra pengguna melalui penyelidikan dan pembangunan yang boleh dilakukan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE) dan industri.

Bayangkan sebuah kit saringan air kencing yang mudah digunakan seperti ujian kehamilan, tetapi mengesan protein awal (albuminuria atau kreatinina) sebagai tanda kerosakan buah pinggang. Kos pembangunan sensor berskala kecil ini di IPTA adalah jauh lebih kecil nilainya berbanding perbelanjaan tahunan kerajaan untuk sektor kesihatan dalam rawatan dialisis.

Hanya dengan modal pembangunan beberapa juta ringgit, kita berpotensi menjimatkan ratusan juta ringgit kos rawatan yang perlu ditanggung berulang kali. Ini adalah pelaburan dalam pencegahan berteknologi yang akan memotong rantaian penyakit peringkat akhir.

Sudah tentu, perubahan gaya hidup sihat seperti menjaga diet dan bersenamadalah sangat penting untuk menjaga kesihatan buah pinggang. Namun, kesedaran sahaja tidak mencukupi. Masyarakat memerlukan "jam loceng" (alarm clock) yang mudah diakses untuk membangunkan mereka mengenai tahap kesihatan buah pinggang secara objektif, sebelum terlambat.

Memang benar, teknik saringan tradisional sedia ada seperti ujian estimated Glomerular Filtration Rate (eGFR) adalah tepat, tetapi ia berkos tinggi dan memerlukan rujukan serta dilakukan di hospital atau klinik besar. Kerumitan ini menyebabkan ramai individu yang berisiko tinggi (seperti pesakit kencing manis dan darah tinggi) mengabaikan saringan berkala.

Akibatnya, mereka hanya dikesan apabila sudah berada di peringkat akhir (ESRD), memaksa mereka bergantung kepada mesin dialisis seumur hidup.

Jelas sekali, Malaysia memerlukan anjakan paradigma daripada merawat kepada mencegah. Kita perlu segera membangunkan kit saringan CKD komuniti yang kos efektif, yang boleh diakses oleh masyarakat secara meluas, sama seperti stategi penggunaan kit ujian COVID-19 dahulu.

Langkah ini bukan hanya tentang membaik pulih kualiti hidup rakyat, tetapi juga tentang pengurusan fiskal yang bijak. Perlu diingat, kos pengesanan awal adalah satu kali sahaja, tetapi kos rawatan dialisis adalah selama-lamanya.

Mencegah sememangnya lebih baik daripada mengubat, dan dalam konteks penyakit buah pinggang, mencegah adalah jauh lebih murah daripada membayar. Siapa yang akan mengambil tanggungjawab untuk membunyikan loceng penggera kesihatan ini? MOF, MOSTI ataupun MOHE?



* Artikel ini ditulis oleh Dr. Tengku Hasnan Tengku Abdul Aziz. Beliau ialah Pensyarah Kanan di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dari bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



#kesihatan #buah pinggang #rakyat Malaysia #rawatan #dialisis