SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
GAYA HIDUP

Komuniti nelayan Sungai Melayu warnai Bulan Kebangsaan dengan konvoi bot

Bernama 21/08/2025 | 08:43 MYT
Inisiatif itu menjadi simbol kesatuan masyarakat maritim yang menjadikan sungai dan laut sebagai nadi kehidupan. - Bernama
ISKANDAR PUTERI: Perairan Selat Tebrau hari ini bertukar meriah dengan warna merah, putih, biru dan kuning, apabila deretan bot nelayan di Kampung Sungai Melayu di sini dihiasi Jalur Gemilang yang berkibar megah sambil menyertai konvoi bot sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Dengan alunan lagu-lagu patriotik dan kibaran bendera, konvoi bot itu menyerikan lagi suasana perkampungan tradisi nelayan berusia lebih 150 tahun itu, yang terkenal dengan persekitaran alam semula jadi dan dikelilingi kawasan paya bakau.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata inisiatif kreatif itu, bukan sahaja menceriakan sambutan, malah menjadi simbol kesatuan masyarakat maritim yang menjadikan sungai dan laut sebagai nadi kehidupan.

"Kita memikirkan sambutan pada kali ini mesti nampak kelainan, dahulu melalui jalan darat, kini kita melalui jalan laut untuk menunjukkan kemeriahan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua kampung di sini hari ini.

Foto: Bernama



Beliau berkata bot nelayan yang turut menjadi nadi eko pelancongan di Kampung Sungai Melayu itu menyertai konvoi dari Jeti Marina Puteri Harbor sehingga ke Rakit Stay Eko-Pelancongan Sungai Melayu dengan jarak tiga kilometer.

Pandak berkata perarakan konvoi itu mengambil masa kira-kira 20 minit, diakhiri dengan sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada 11 Ketua Kampung di DUN Kota Iskandar, sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan.

Ketua Nelayan Kampung Sungai Melayu Kamaruddin Ahmad berkata sambutan kali ini, membawa erti lebih besar kerana ia menzahirkan rasa syukur dan bangga komuniti nelayan dapat meraikan kemerdekaan dengan cara mereka sendiri.

"Kami komuniti nelayan menyokong penuh program seumpama ini, kelainan kali ini mengukuhkan lagi semangat kemerdekaan yang tidak boleh dibeli.

"Inisiatif ini sekali gus dapat menyokong ekopelancongan di Kampung Sungai Melayu yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Pada 2013, Kampung Sungai Melayu dipilih sebagai projek perintis ekopelancongan menerusi Program Kawan Iskandar Malaysia, bagi mengekalkan warisan tradisi Melayu selain terkenal dengan aktiviti perikanan dan ternakan kupang dan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS), termasuk belacan dan ikan kering.

-- BERNAMA

#komuniti nelayan #Sungai Melayu #Johor #bulan kkebangsaan #Jalur Gemilang #konvoi bot