Kuasa TikTok limpahkan rezeki buat Fatini, aksesori jualan dapat sambutan dari seluruh dunia

Madiha Abdullah
September 12, 2020 04:29 MYT
Perniagaan aksesori kecil-kecilan Fatini Zamri kini dapat perhatian seluruh dunia. - Foto/Facebook/Lushpins
KEWUJUDAN aplikasi TikTok kerap dikaitkan dengan isu-isu negatif. Tetapi jika digunakan untuk tujuan dan cara yang betul, ia sebenarnya memberi banyak kebaikan.
Itu yang terjadi kepada seorang anak muda, Fatini Zamri, yang memiliki perniagaan aksesori bagi wanita berhijab.
Memulakan perniagaannya kira-kira setahun yang lalu, Fatini pernah hampir berputus asa apabila koleksi pinring yang dijualnya tidak menerima sambutan seperti yang diharapkan.
Perkara itu diceritakan Fatini menerusi satu video TikTok.
Melalui video berdurasi satu minit itu, Fatini berkongsi kisah bagaimana dia mendapat inspirasi untuk memulakan perniagaan, di samping cabaran untuk menghasilkan rekaan sendiri serta mempromosikannya.
Video tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara sehingga ke Amerika Syarikat.
Seorang pengguna Twitter di Los Angeles, @domwastrash, berkongsi video TikTok Fatini dan ia menerima lebih 90,000 retweet dan lebih 176,000 likes setakat ini.
"Saya tidak tahu jika saya ada pengikut yang berhijab, tetapi [rekaan] ini sangat hebat," tulisnya.

I dont know if any of my followers wear hijabs but i think these are dopes pic.twitter.com/na2OyRcTus

— (IG : domwastrash ) (@domwastrash) September 8, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Susulan itu, akaun perniagaan Fatini, @lushpins, menerima peningkatan jumlah pengikut, dari kira-kira 3,000 ke lebih 13,000, ketika berita ini ditulis.
"Saya dan keluarga sangat berterima kasih di atas sokongan yang diberikan dari seluruh dunia. Kami berusaha untuk membalas semua komen dan pesanan anda, kami harap anda dapat bersabar," kata Fatini menerusi Instagram.
Dapat diperhatikan menerusi komen-komen di ruangan media sosial berkenaan, Fatini, 22, kini juga punya pengikut dan prospek pelanggan dari luar negara.
Fatini yang juga seorang pelajar di sebuah institut pengajian tinggi kini sedang membuat perancangan untuk membolehkan pesanan dihantar ke luar negara.
Pengajarannya, gunakan kemudahan dan kecanggihan teknologi ke arah kebaikan, pasti anda akan mendapat manfaatnya.
Syabas, Fatini!
#Amerika Syarikat #Instagram #media sosial #santai hujung minggu #TikTok #Tular #Twitter #video