SUBANG: Bukan semua orang berpeluang merasai pengalaman berbuka puasa di dalam kapal terbang yang sedang meluncur di ruang langit.

Mungkin ada yang teringin tapi tak semua dapat merasainya. Namun, bagi yang perlu berada dala situasi itu kerana tuntutan tugas, ia tidak lagi menjadi pilihan sebaliknya begitulah cara untuk berbuka puasa.

Penulis bolehlah dikatakan sebagai orang yang bertuah kerana berpeluang berbuka puasa di dalam pesawat baru-baru ini ketika mengikuti operasi bersama National Task Force (NTF).

Kami bersama beberapa petugas media dan anggota di bawah NTF melakukan rondaan dan pemantauan di Selat Melaka. Sebelum kami naik ke pesawat, kami dibekalkan dengan sedikit juadah berbuka.

Sebelum terbang, anggota sentiasa berbincang dan merancang strategi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Dalam pesawat, bunyi yang agak bising menyukarkan kami untuk berbual dan apabila tiba waktu berbuka puasa, pegawai dari NTF menadah tangan berdoa, kami ikut sekali kerana di atas sana, waktu berbuka berpandukan kepada jam semata-mata.

Kotak yang berada di paha sedari awal dibuka segera - kurma, air kotak, dua ketul kuih tradisional, roti - itulah juadah berbuka untuk kami sementara menunggu selesai operasi untuk makan berat.

Inilah juadah berbuka kami, ringkas namun pengalamannya sungguh berbeza dan istimewa.

Sejujurnya, melihat petugas barisan hadapan perlahan-lahan memasukkan makanan ke mulut, terbit rasa kagum dengan pengorbanan mereka.

Bagi Pegawai Kejuruteraan, No. 20 Skuadron, Lt Mohamad Azmerul Amir Md Hairol Shah, meskipun sedikit sukar berbanding hari biasa, namun kru pesawat tetap menjalankan tugas sebaiknya

Bahkan, sehingga kini, tidak seharipun mereka culas berpuasa kerana bagi mereka, puasa adalah ibadah, begitu juga tugas mereka.

"Kita membuat ratifikasi kapal, bukan kerja ringan, semua kerja berat. Cabaran bulan puasa, kita kena kerja dalam keadaan berpuasa

"Tapi saya dan kru mengambil langkah positif, menganggap pekerjaan kami adalah salah satu ibadah dan kami akan buat terbaik untuk memastikan keadaan kapal dalam keadaan terbaik," katanya.

Setiap hari, mereka memastikan perairan negara dikawal sebaiknya bagi mengelak dicerobohi PATI.

Begitu juga semangat sama dikongsi Pramugari TUDM, Sarjan Udara (Wanita) Suhada Ameera Hanis Kamal.

"Cabaran saya pada bulan puasa, salah satunya kena kuat sebab bulan puasa, kita perlu menahan dari lapar dan dahaga.

"Selain itu kita kena terus fokus dalam kerja kita lakukan dan membantu kru-kru lain, memberi moral kepada mereka.

"Alhamdulillah setakat ini baik, puasa penuh lagi," ujarnya.

Dari siang sampai ke malam, mereka tetap teguh mengawal sempadan negara.

Bagi penulis dan jurukamera Fahmey Azhar, pengalaman berbuka dalam pesawat Charlie (CA130) pastinya satu pengalaman baru yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Meskipun hanya menjamah kurma dan dua biji kuih, momen mengunyah makanan dalam pesawat tentera sambil mata memandang langit nan membiru, perasaannya sukar diungkapkan.

Bukan hanya kerana teruja malah bangga dan terharu - semuanya bercampur baur - apatah lagi bila mengenangkan pengorbanan petugas barisan hadapan.

Mungkin ada yang tidak begitu dapat menjiwai perasaan tersebut namun apabila berada dekat dengan mereka dan mendengar sendiri suara hatinya, kagum dan bangga pantas meresap di jiwa.

Semoga wira-wira negara terus ampuh menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

Tabik hormat buat semua pejuang barisan hadapan negara!


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!