GAYA HIDUP
Leong bangkit daripada kanser, genggam ijazah sarjana UniMAP
Leong Keng Yik (dua dari kanan) diapit ibu bapanya Leong Ton Chew, 68, (kanan) dan Low Gaik Choo, 67, (dua, kiri) pada Istiadat Konvokesyen Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-20 di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra hari ini. - Bernama
ARAU: Ketabahan seorang pegawai sukarela daripada Rejimen 504 Askar Wataniah di Bukit Keteri dekat Padang Besar Leftenan Leong Keng Yik dalam meneruskan pengajian walaupun disahkan menghidap kanser tulang akhirnya membuahkan hasil.
Leong, 31, yang disahkan menghidap kanser berkenaan tahun lepas berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Pembuatan) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Anak kelahiran Manjung, Perak disahkan menghidap kanser tulang jenis chondrosarcoma ketika penyakit berkenaan berada pada tahap dua selepas menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Perlis sebelum dirujuk kepada pakar ortopedik di Pulau Pinang pada awal Mei 2024.
Pemeriksaan terperinci mendapati sebahagian struktur tulang pada pelvis kirinya telah hilang akibat sel kanser menyebabkan beliau dinasihatkan menjalani pembedahan segera pada 20 Jun tahun lepas ketika masih berada dalam semester akhir pengajian peringkat ijazah sarjananya itu
"Saya ingatkan sakit biasa sebab sebelum itu saya aktif berlatih dengan menyertai latihan-latihan seperti mana yang dirancang oleh Kem Rejimen 504. Bila sakit makin teruk sehingga tidak boleh mencangkung dan tidak boleh tidur, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang satu Istiadat Konvokesyen ke-20 UniMAP di Dewan Tuanku Canselor, di sini hari ini.
Leong berkata pembedahan berkenaan menyebabkan pengajiannya tertangguh dan beliau terlantar hampir empat bulan tanpa mampu berjalan selain mengalami keresahan serta kesukaran tidur sepanjang tempoh pemulihan.
"Masa itu mental saya terjejas teruk, saya bingung, risau pasal pengajian dan risau pasal kewangan, tetapi saya bersyukur keluarga tidak pernah tinggalkan saya. Ayah saya Leong Ton Chew, 68, dan ibu Low Gaik Choo, 67, serta abang dan kakak ipar banyak membantu saya menghadapi tempoh sukar berkenaan," katanya.
Leong turut berterima kasih kepada penyelianya Dr Muhammad Hasnulhadi Mohammad Jaafar yang disifatkan sebagai individu penting membantunya kembali bangkit meneruskan pengajian.
"Dr Muhammad Hasnulhadi sanggup datang dari Perlis ke Pulau Pinang untuk ziarah saya. Bila tengok penyelia sendiri datang sejauh itu bagi semangat, saya rasa saya tak boleh mengalah. Dari situ saya bangkit.
"Pegawai sukarela lain dari Kem Rejimen 504 juga meluangkan masa mengunjungi saya di rumah, beri kata-kata semangat, saya berasa terharu dan daripada itu, motivasi saya semakin meningkat dan berusaha menjalani fisioterapi bagi menguatkan otot," katanya.
Leong yang bertugas sebagai Ketua Platun, Kompeni Alpha, Batalion 1 Rejimen 504 Askar Wataniah itu berkata beliau menyambung pengajiannya secara berperingkat selepas kembali mampu berjalan sambil menjalani sesi fisioterapi intensif bagi menguatkan tulang, otot dan saraf pada bahagian yang dibedah.
"Sekarang keadaan saya telah stabil, implan telah serasi. Cuma saya masih perlukan masa untuk kuatkan otot. Saya risau juga pasal kerja nanti, takut saya tidak boleh berdiri atau berjalan lama, namun saya tetap akan berusaha," katanya.
Beliau yang merupakan alumni UniMAP dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal pada 2019 itu berkata kejayaan menggenggam ijazah sarjana itu adalah hadiah terbesar buat keluarganya dan rakan-rakan yang menjadi tulang belakangnya sejak hari pertama beliau jatuh sakit.
-- BERNAMA