KUALA LUMPUR: Jenama jam tangan eksklusif, Longines meneruskan koleksi Longines Spirit dengan melancarkan jam tangan terbaharu, Longines Spirit Zulu Time.

Longines dalam satu kenyataan berkata, jam tangan itu dilengkapi dengan ciri istimewa berbilang zon masa sebagai lambang penghormatan kepada jenama itu yang merentasi sejarah dan inovasi.

“Longines mempunyai rekaan dalaman baharu yang berkaliber apabila memiliki keseimbangan gelung silikon untuk memacu paparan zon masa. Teknologi ini membolehkan masa dilaraskan secara bebas berdasarkan penunjuk GMT.

“Zon masa tambahan pula dibaca menggunakan jarum 24 jam dan bezel yang berputar dua arah selama 24 jam. Ia juga memiliki keupayaan penyimpanan kuasa 72 jam yang diiktiraf Swiss Official Chronometer Testing Institute (COSC), melambangkan karya lima bintang dengan jaminan berkualiti tinggi,” kata kenyataan itu, baru-baru ini.

Foto Longines


Foto Longines

Dalam pada itu, Longines Siprit Zulu Time juga mempunyai ketelitian dan pelbagai kemasan butiran merentasi pelbagai situasi.

“Jam tangan ini memiliki bezel yang dipertingkatkan dengan sisipan seramik berwarna yang tersedia dalam permukaan matt black, sandblasted anthracite atau sunray blue selain mempunyai paparan tarikh yang terletak pada posisi jam 6.

“Manakala, penunjuk dan angkanya disaluti dengan Super-LumiNova®, membolehkan masa dibaca dalam semua keadaan. Ia juga mempunyai reka bentuk 42mm dengan gelang keluli tahan karat yang boleh ditukar ganti kepada tali berwarna coklat, beige atau biru kulit.

“Semua tali jam ini akan mempunyai pengapit lipat yang dipasang dengan sistem pelarasan halus baharu bagi memberi keselesaan dan kesesuaian sempurna yang maksimum kepada pengguna,” katanya.

Foto Longines

Katanya lagi, ramai pengembara telah mengelilingi zon masa dunia dengan jam tangan Longines seperti penerbang terkenal, Amy Johnson, Clyde Pangborn dan Hugh Herndon.

Mereka telah menakluki dunia dengan bantuan jam tangan Longines, sekali gus membuktikan jaminan keselamatan dan kebolehpercayaan abad ini.