LIFESTYLE
Mahu kembara keluarga berbeza? Perjalanan kereta api Malaysia-China saji pengalaman mengujakan

Kembara jalan darat dari Malaysia ke China, atau sebaliknya, tidak lagi sesukar dahulu dengan menggunakan perkhidmatan kereta api yang mudah, murah dan menyeronokkan.
HANYA dengan bajet kira-kira RM600, pengembara sebenarnya sudah boleh memulakan perjalanan epik menaiki kereta api merentas sebahagian benua Asia sejauh lebih 5,000 kilometer (km) dari Malaysia ke Beijing, China, atau sebaliknya.
Ringkasan AI
- Dengan bajet bermula kira-kira RM600, pengembara boleh memulakan perjalanan menaiki kereta api merentas Asia sejauh lebih 5,000 km dari Malaysia ke Beijing, China, atau sebaliknya, singgah di bandar-bandar menarik seperti Bangkok, Vientiane, dan Xi'an.
- Pengembara ini bersama isteri dan empat anaknya menikmati perjalanan selama dua minggu merentasi China, Laos, dan Thailand, mencipta memori indah dan menikmati pemandangan serta perubahan iklim dari kawasan sejuk ke tropika.
- Tempahan tiket kereta api dilakukan secara dalam talian melalui laman web seperti Trip.com dan 12GoAsia. Laluan perjalanan mereka termasuk Beijing-Xi'an-Kunming-Mohan-Boten-Vientiane-Bangkok-Padang Besar, dengan anggaran harga tiket kira-kira RM1,200 seorang.
Banyak lagi lokasi boleh disinggahi di sepanjang laluan kereta api itu yang dikendalikan oleh The State Railway of Thailand (SRT), Laos-China Railway dan China Railway, jika masa dan bajet tidak menjadi kekangan.
Perjalanan ini pula tidak sesukar dahulu, malah amat mudah dan menyeronokkan termasuk bagi keluarga yang membawa kanak-kanak, yang mahukan percutian kembara berbeza.
Itulah yang dilakukan oleh Ifwan Tun Tuah, yang membawa isteri dan empat anaknya berusia antara lapan hingga 15 tahun untuk merasai musim sejuk di Beijing, sambil mencipta memori indah berkereta api merentasi China, Laos dan Thailand sebelum pulang ke Malaysia, baru-baru ini.
Menyifatkan perjalanan selama dua minggu itu sangat menyeronokkan, beliau berkata, mereka tidak dapat melupakan keterujaan singgah dari satu bandar ke bandar yang lain, sambil menikmati pemandangan indah dan merasai perubahan iklim dari kawasan sejuk ke tropika.

Suasana di dalam kereta api laju Beijing ke Xi'an.
Menceritakan lanjut, Ifwan berkata, mulanya mereka merancang memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing tetapi kesukaran mendapatkan tiket ketika sambutan Tahun Baharu Cina di China, memaksa mereka bermula di Beijing dan pulang ke Malaysia melalui Padang Besar, Perlis.
Katanya, mereka sempat meluangkan masa sembilan hari di Beijing dan Xi'an, dengan mengunjungi pelbagai tarikan pelancongan termasuk Tembok Besar China, Summer Palace, Kota Larangan, Xi'an Grand Mosque, Menara Loceng dan Dram, serta Muzium Pahlawan dan Kuda Terracotta Qin.

Di hadapan Beijing West Railway Station, sebelum menaiki kereta api laju ke Xi’an.
Laluan perjalanan
Ifwan berkata, mereka memilih laluan Beijing-Xi'an-Kunming-Mohan (China)-Boten-Vientiane (Laos)-Bangkok (Thailand)-Padang Besar (Malaysia).
"Kami tiada masalah membeli tiket Beijing-Xi'an-Kunming. Namun tidak berjaya medapatkan tiket kereta api antarabangsa Kunming, China-Vientiane, Laos kerana pemintaan meningkat mendadak susulan sambutan Tahun Baharu China ketika itu.
"Justeru, sebagai alternatif, kami menaiki kereta api dari Kunming ke Mohan iaitu bandar di sempadan China-Laos. Kami tidur semalam di Mohan untuk melihat suasana bandar kecil itu yang turut menjadi laluan utama kereta api kargo antarabangsa.
"Keesokan hari, kami berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer merentas sempadan masuk ke Boten di Laos. Kami kemudian menyambung perjalanan menaiki kereta api ke Vientiane," katanya yang meluangkan masa sehari meneroka ibu kota Laos itu.
Beliau berkata, dari Vientiane mereka menaiki 'sleeper train' ke Bangkok. Di Bangkok, mereka sempat mengunjungi beberapa lokasi lokasi menarik tumpuan pelancong, sebelum menaiki satu lagi 'sleeper train' ke Padang Besar.

Suasana dalam kereta api dari Boten ke Vientiane di Laos.
Info:
- Beijing-Xi’an : Perjalanan 1,125km selama lima jam 40 minit.
- Xi'an-Kunming : Perjalanan 1,200 km (11 jam).
- Kunming-Mohan : Perjalanan 1,000 km (lima jam 15 minit).
- Boten-Vientiane : Perjalanan 428 km (lima jam 20 minit).
- Vientiane-Bangkok : Perjalanan 650km (12 jam 50 minit).
- Bangkok-Padang Besar : Perjalanan 960km (15 jam).
Menurut Ifwan, tempahan tiket semuanya dilakukan secara dalam talian melalui laman web Trip.com dan 12GoAsia, selain The State Railway of Thailand.
"Untuk tiket kereta api di China, tiket hanya mula dijual 15 hari sebelum tarikh bertolak, manakala Laos (tiga hari sebelum bertolak). Tiket kereta api Thailand pula boleh ditempah 30 hari sebelum tarikh bertolak," katanya.
Katanya, anggaran kos keseluruhan bagi tiket kereta api perjalanan itu adalah kira-kira RM1,200 seorang, dan pengembara mempunyai pilihan untuk berjimat sehingga RM600 jika memilih jenis tempat duduk atau kelas yang lebih murah.

Suasana dalam 'sleeper train' dari Vientiane ke Bangkok. Cadar, sarung bantal dan tilam berasingan akan dipasang oleh petugas tidak lama selepas kereta api bergerak.
Pengalaman
Ifwan berkata, secara keseluruhan perjalanan itu amat mudah, selesa, selamat dan menyeronokkan walaupun membawa kanak-kanak.
"Semua stesen kereta api terutama di China boleh dikatakan mesra pelancong. Papan tanda juga mempunyai terjemahan bahasa Inggeris, dan jika keliru, ramai sahaja orang tempatan termasuk petugas yang sedia membantu.
"Selain itu, kekangan bahasa yang menjadi masalah besar di China suatu ketika dahulu kini tidak lagi menjadi isu dengan kewujuan aplikasi terjemahan seperti Google Translate.
"Anak-anak saya juga teruja menaiki kereta api dari satu bandar ke bandar lain, malah mereka kagum apabila melihat laluan perjalanan mereka di peta, iaitu merentas tiga negara dengan jarak lebih 5,000 km," katanya.
Katanya, pemandangan sepanjang perjalanan di China dan Laos juga sangat indah dan menakjubkan terutama di kawasan pergunungan yang bersalji.
Beliau tidak menolak kemungkinan laluan kereta api Malaysia ke China atau China ke Malaysia itu akan menjadi laluan popular yang termasuk dalam 'bucket list' pengembara Malaysia - seperti perjalanan merentas Eropah, suatu hari nanti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami