LIFESTYLE
Mak asyik tanya soalan sama? Ini mungkin tanda awal dementia

Dementia bukan sekadar lupa nama atau tertinggal barang, ia adalah penyakit serius yang menjejaskan fungsi kognitif, emosi, dan fizikal seseorang. - Imej janaan AI
DEMENTIA bukan sekadar masalah lupa yang dikaitkan dengan proses penuaan. Ia merupakan penyakit neurokognitif yang menjejaskan fungsi otak secara menyeluruh, termasuk memori, pemikiran, tingkah laku, pertuturan dan juga fungsi fizikal harian.
Dalam satu wawancara dengan Pakar Perubatan Geriatrik dari Prince Court Medical Centre, Dr. Noor Azleen, beliau mendedahkan, dementia sebagai satu penyakit yang menyebabkan kemerosotan fungsi kognitif sehingga individu tidak mampu lagi berdikari dan memerlukan bantuan orang lain.
“Ramai yang menganggap ia sebahagian daripada proses penuaan, namun dementia sebenarnya adalah penyakit yang berpunca daripada perubahan patologi dalam otak,” jelas beliau. Antara jenis yang paling kerap berlaku ialah Alzheimer, Vaskular, Lewy Body, dan Frontotemporal dementia, masing-masing membawa simptom dan kesan berbeza kepada penghidapnya.
Sebagai contoh, Alzheimer biasanya dikaitkan dengan kehilangan memori yang progresif disebabkan oleh pengumpulan plak protein di dalam otak, manakala dementia vaskular berpunca daripada kerosakan salur darah otak akibat strok atau penyumbatan halus yang mungkin tidak menunjukkan simptom jelas.Dalam kes Lewy Body pula, pesakit mungkin menunjukkan tanda-tanda Parkinson seperti pergerakan yang perlahan dan halusinasi, manakala jenis frontotemporal lebih menjejaskan tingkah laku dan pertuturan akibat penyusutan bahagian depan otak.
Tanda Awal dan Kepentingan Diagnosis Awal
Menurut Dr. Noor Azleen, simptom awal dementia boleh dikesan melalui beberapa petanda awal. Antaranya ialah seperti mengulangi soalan yang sama, sukar menjalankan rutin harian seperti memasak atau membeli barangan, serta masalah orientasi masa dan tempat. Perubahan emosi, kesukaran menilai situasi, dan masalah bahasa juga boleh berlaku.
“Diagnosis awal sangat penting,” tegas Dr. Noor Azleen. “Walaupun tiada ubat yang mampu menyembuhkan penyakit ini tetapi rawatan seperti terapi kognitif, ubat-ubatan dan sokongan penjagaan mampu memperlahankan kemerosotan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.”
Pemeriksaan oleh doktor secara amnya melibatkan penilaian sejarah kesihatan pesakit, pemeriksaan fizikal, ujian darah, imbasan otak dan ujian kognitif. Malah, Dalam kes tertentu seperti Alzheimer, ujian darah, air saraf dan juga ujian pet scan boleh dilakukan namun ujian-ujian ini tidak mudah didapati di Malaysia.
Cabaran Penjaga dan Sokongan Emosi
Selain daripada kesan terhadap pesakit, dementia juga memberi tekanan besar kepada penjaga. Ini kerana dalam situasi tertentu, pesakit mungkin menunjukkan perubahan tingkah laku yang baharu seperti agresif, mudah marah atau kemurungan.
Pada waktu-waktu seperti ini, penjaga mungkin tidak tahu mengawal atau menjaga situasi. Ataupun mereka penat melayan karenah luar biasa pesakit dementia. Ada kalanya keadaan ini berlanjutan lama dan menjadi semakin buruk. Dr. Noor Azleen akui, dalam keadaan seperti ini, penjaga juga perlu diberi sokongan psikologi yang mencukupi kerana tekanan berterusan boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.
“Ramai penjaga mengalami keletihan emosi kerana perlu menjaga pesakit dalam jangka masa panjang,” kongsi Dr. Noor Azleen. Oleh itu, beliau menyarankan supaya penjaga mendapatkan sokongan profesional melalui psikologis, kumpulan sokongan seperti Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia (ADFM), serta mengikuti bengkel-bengkel dan sesi pendidikan kesedaran agar mereka lebih memahami keadaan pesakit, dalam masa yang sama, mengambil berat akan kesihatan mental mereka.
Langkah Pencegahan dan Keselamatan di Rumah
Walaupun tidak semua jenis dementia dapat dicegah, kajian menunjukkan bahawa sehingga 40 hingga 45 peratus faktor risiko boleh dikurangkan melalui gaya hidup sihat seperti pengurusan tekanan darah, berhenti merokok, pemakanan seimbang, dan aktiviti fizikal berkala. Kesihatan pendengaran juga memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan otak.
“Jika sudah mencapai usia tertentu, lebih-lebih lagi ada sejarah keluarga, saya sarankan untuk mereka membuat pemeriksaan. Kadang-kala kita merasakan lupa biasa, tetapi ia mungkin permulaan bagi penyakit ini,” ujar Dr. Noor Azleen.
Jadi bagi mengenal pasti antara lupa biasa dan dementia, Dr. Noor Azleen berkata, dementia bukan sekadar lupa tetapi lebih kepada kekurangan fungsi kognitif sehingga memerlukan bantuan dalam urusan seharian.
“Ada kalanya mereka lupa cara masak kari, sedangkan ia sesuatu yang dilakukan seharian. Ada juga yang boleh berdiri di hadapan sesebuah bangunan, misalnya hospital tetapi tidak kenal pasti di mana mereka berada. Ada yang lupa tarikh, hari dan tahun.
“Dementia yang lebih lanjut juga dikaitkan dengan ketidakmampuan fizikal. Pesakit semakin lama semakin susah berjalan, kurang keseimbangan, kurang koordinasi dan kelemahan otot. Ada yang mempunyai cabaran untuk naik atau menuruni tangga,” terang Dr. Noor Azleen.
Bagi pesakit dementia, aspek keselamatan dalam rumah sangat penting. Dr. Noor Azleen menekankan keperluan pencahayaan yang mencukupi terutama pada waktu malam, penggunaan alas lantai yang tidak licin, serta pemasangan pemegang atau palang untuk mengelakkan jatuh. “Persekitaran rumah yang kemas dan tersusun mampu mengurangkan risiko kecederaan,” tambah beliau.
Isu keselamatan yang lain termasuklah mengelakkan pesakit keluar bersendirian sekiranya pernah sesat, memasak bersendirian terutamanya sekiranya selalu lupa padam api dan memantau pengambilan ubat bagi mengelakkan kesilapan.
Harapan dan Rawatan Masa Depan
Rawatan baharu untuk Alzheimer kini sedang dibangunkan di luar negara, termasuk terapi yang bertujuan mengurangkan plak amiloid dalam otak, walau bagaimanapun ia masih belum tersedia di Malaysia. Namun, kesedaran dan intervensi awal tetap menjadi kunci utama.
“Paling penting, jika ahli keluarga melihat tanda-tanda awal, jangan malu atau tunggu lama. Ajak ibu atau ayah jumpa doktor. Diagnosis awal memberi ruang untuk rawatan awal dan sokongan sewajarnya,” nasihat Dr. Noor Azleen mengakhiri temu bual.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami