DI SEMENANJUNG Malaysia, manuk pansuh yang berasal dari Sarawak sedikit asing dan tidak sepopular juadah luar lain.

Melihat pada peluang itu, Pengusaha Dapo Dupa, Muhamad Firdaus Ibnil Hajar mencuba nasib untuk memperkenalkan makanan tradisi yang sinonim dengan masyarakat Dayak itu ke Semenanjung.

Kini, mereka yang mendambakan keenakan masakan ayam dalam buluh itu, terutama orang Sarawak yang menetap di Semenanjung, tidak perlu terbang jauh ke negeri tercinta untuk melepas rindu pada masakan citarasa tempatan itu.

“Pada mulanya, saya hanya menyediakan masakan ini untuk diri sendiri. Di Semenanjung pula agak sukar untuk mendapatkan juadah manuk pansuh.

“Setelah dua tahun mencuba dan dibantu oleh rakan-rakan dari Sarawak, akhirnya rasa yang diingini untuk manuk pansuh ini dicapai.

“Saya mula memasarkannya secara aktif semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan. Lama kelamaan ia menjadi tular dan setiap minggu saya mendapat tempahan,” kongsinya bersama Astro AWANI.

Pengusaha Dapo Duda, Muhamad Firdaus Ibnil Hajar. -Gambar Astro AWANI

Tambah Firdaus lagi, pelanggannya rata-rata terdiri daripada orang Sarawak yang tidak dapat pulang akibat arahan PKP yang dilaksanakan sejak Mac lalu.

Dari situ, katanya Dapo Duda semakin dikenali dan sering kali dipanggil untuk menyiapkan beberapa tempahan untuk dihantar di sekitar Lembah Klang.

Ramuan manuk pansuh Dapo Duda diperap sebelum dibakar. -Gambar Astro AWANI

Ramuan yang telah diperap dimasukkan ke dalam buluh untuk dibakar. -Gambar Astro AWANI

“Kenapa saya memilih makanan Sarawak? Ini kerana saya amat menggemari Manuk Pansuh ini dan saya rasa ia sangat unik kerana penyediaannya adalah melalui buluh yang dibakar dalam tempoh tertentu,” katanya.

Bercerita mengenai penerimaan pula, ujar Firdaus, meskipun ia disediakan oleh orang Semenanjung, rakan-rakan dari Sarawak memberi sokongan positif kepadanya untuk terus mempromosi masakan itu di sini.

Jelasnya lagi, manuk pansuh mempunyai potensi yang cukup besar dan wajar untuk diangkat sebagai salah satu juadah nasional sebaris dengan juadah-juadah lain.

“Saya berharap, menu seperti ini dapat diketengahkan dan diangkat sehingga ke peringkat antarabangsa supaya ia dapat menjadi identiti negara kita,” tambah Firdaus.

Tempahan diterima dibalut kemas sebelum dihantar ke destinasi pelanggan. -Gambar Astro AWANI

Dalam pada itu, tempahan bagi manuk pansuh Dapo Duda hanya akan diproses di hujung minggu sahaja bermula Jumaat ke Ahad.

Manuk Pansuh yang dihasilkannya pula terdiri dari tiga saiz berbeza iaitu saiz kecil berharga RM15 sebatang, sederhana RM25 dan saiz besar RM35.

Namun, perniagaan yang dijalankan oleh Firdaus ini bukan berlandaskan keuntungan wang ringgit semata-mata.

Ada kalanya, Firdaus berkongsi keuntungan bersama mereka yang memerlukan.

Seperti sebelum ini, pada Jun, hasil jualan pansuh diagihkan untuk membantu mangsa kebakaran di Rumah Panjang Belukun di Long Sela’an, Baram di Miri.