GAYA HIDUP
Mary Salang menjunjung karisma Borneo ke pentas dunia
Kategori Elite Petite meraikan kematangan, pengalaman hidup serta sumbangan wanita sebagai ibu, profesional dan pemimpin komuniti - gambaran yang selari dengan perjalanan hidup Mary. - Foto Mary Salang
WANITA kecil molek dari Borneo ini bukan asing dalam lapangan yang diceburinya.
Bermula dalam dunia korporat, Mary Salang, 51, kemudian memilih haluan berbeza dengan menubuhkan Intellect Academy Malaysia, sebuah pusat latihan yang menawarkan pelbagai program pembangunan kepada pegawai korporat, sektor swasta dan agensi awam.
Beliau membina kerjaya dalam bidang latihan dan pembangunan kepimpinan dengan fokus kepada pemerkasaan wanita serta pembinaan keyakinan diri.
Latar belakang pendidikannya di United Kingdom, ditambah dengan pengalaman mengembara ke pelbagai negara, membentuk perspektif global yang menjadi asas kepada pendekatannya sebagai jurulatih dan mentor.
Menggelarkan dirinya sebagai solopreneur - usahawan solo yang menguruskan hampir keseluruhan operasi dengan bantuan tenaga bebas - Mary, yang berasal dari Kuching, Sarawak, juga pernah mencuba bidang kreatif sebagai pereka aksesori dan barangan kemas mutiara menerusi jenama sendiri.
Sebagai jurulatih, Mary tidak sekadar menyampaikan modul atau teori. Pendekatannya menekankan pembangunan keyakinan, kemahiran komunikasi dan kepimpinan, selari dengan cabaran sebenar yang dihadapi wanita dalam dunia profesional dan keusahawanan.
Melalui Intellect Academy Malaysia, beliau melatih wanita daripada pelbagai latar belakang untuk berani menetapkan matlamat, memimpin dan mempercayai keupayaan diri.
Komitmen tersebut diiktiraf apabila Mary terpilih sebagai salah seorang Tokoh Wanita bagi Program PERANTIS anjuran Jabatan Pembangunan Wanita pada tahun 2025.
Dalam program itu, beliau terlibat secara langsung melatih 50 usahawan wanita, berkongsi pengalaman, kemahiran serta panduan praktikal bagi memastikan kelangsungan perniagaan.
Pada tahun yang sama, sumbangannya dalam memperkasa wanita melalui keusahawanan dan latihan turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Women Entrepreneur Chamber of Commerce (MWECC).
Langkah Mary tidak terhenti di situ. Berbekalkan pengalaman luas dalam memberi latihan berkaitan gaya, fesyen dan penampilan profesional - termasuk kepada pegawai atasan - komitmen serta disiplin beliau akhirnya menarik perhatian dunia peragaan.
“Mencuba kerana saya tahu saya mampu melakukannya. Tanpa disangka, perjalanan ini membawa saya agak jauh,” katanya, yang juga ibu kepada seorang anak.
Satu lagi pencapaian penting tercatat apabila Mary melangkah ke pentas pertandingan ratu antarabangsa.
Pada September 2025, beliau dinobatkan sebagai Mrs Elite Petite Global Borneo, mewakili wanita berusia 41 tahun ke atas dari Sabah dan Sarawak.
Gelaran itu menjadikan beliau salah seorang daripada empat wakil rasmi Malaysia ke peringkat antarabangsa, sekali gus membawa identiti Borneo ke pentas dunia.
Kategori Elite Petite meraikan kematangan, pengalaman hidup serta sumbangan wanita sebagai ibu, profesional dan pemimpin komuniti - gambaran yang selari dengan perjalanan hidup Mary.
“Mahkota ini bukan tentang kecantikan luaran. Ia tentang mesej yang dibawa dan impak yang boleh diwujudkan,” jelasnya.
Akar budaya sebagai sumber kekuatan
Identiti Sarawak memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri Mary. Sejak usia remaja, beliau terlibat dalam seni budaya tempatan, khususnya tarian tradisional Iban, Ngajat.
Pengalaman mengajar kanak-kanak serta menyertai pertandingan tarian peringkat kebangsaan di Kuching - yang menyaksikannya meraih tempat tiga teratas dan tampil di RTM - menjadi titik awal pembinaan keyakinan diri.
Kini, perjalanan itu seolah-olah kembali ke asal. Mary kembali ke Sarawak bukan sekadar sebagai anak negeri, tetapi sebagai bukti bahawa laluan ke pentas dunia boleh bermula pada bila-bila masa, tanpa mengira usia, dan tidak terhad kepada mereka yang muda atau terlibat dalam industri glamor.
Ia boleh dibina melalui pendidikan, latihan, kepimpinan dan keberanian untuk terus berkembang tanpa menanggalkan jati diri.
Bagi Mary, pertandingan ratu hanyalah satu platform - lanjutan kepada usaha yang telah lama dibina sebagai jurulatih, usahawan dan pemimpin komuniti.
Mesej yang dibawanya jelas: wanita Borneo bukan sekadar mampu bersaing, tetapi berupaya memimpin dan memberi inspirasi di peringkat global.
“Penyertaan saya ke dalam Mrs Elite Petite Global 2026 adalah sebagai suara pemerkasaan wanita. Sebagai anak Sarawak yang dibesarkan di Borneo dan kini menetap di Kuala Lumpur, serta berpeluang belajar di United Kingdom dan mengembara ke pelbagai negara, saya melihat sendiri potensi besar wanita Sarawak.
"Mereka sangat berbakat dan berkeupayaan untuk berjaya, namun sering kekurangan keyakinan dan peluang. Saya percaya wanita harus diberi lebih ruang dan galakan untuk memecahkan siling kaca, menerima kekuatan unik mereka dan bangkit melangkaui batasan yang dikenakan ke atas diri mereka,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah di sebuah universiti swasta.
Jelas, bagi Mary, kemajuan sebenar bukan diukur melalui gelaran semata-mata, tetapi sejauh mana seseorang wanita berani menerima dirinya, berkembang dan memberi kembali kepada masyarakat.