KUALA LUMPUR: Ambliopia, penyakit mata atau lebih dikenali sebagai mata malas, boleh berlaku sejak lahir atau dari saat kanak-kanak mula menggunakan mata dan ia berlaku kerana terdapat halangan penglihatan dan perkembangan abnormal pada laluan mata ke otak.

Bagaimanapun, keadaan ini boleh dirawat dan boleh dipulihkan dengan pengesanan awal serta rawatan yang sewajarnya untuk mengelakkan komplikasi masa depan yang teruk semasa dewasa, menurut pakar kesihatan.

Pakar Perunding Mata dan Pakar Bedah Strabismus, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Fiona Chew Lee Min dalam kenyataan berkata ia boleh menjadi satu cabaran untuk mendiagnosis ambliopia dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka tidak tahu untuk mengadu tentang simptom yang dialami disebabkan tidak tahu akan penglihatan yang normal.

Bagaimanapun beliau berkata pada masa kini, kanak-kanak didiagnosis dengan ambliopia lebih awal kerana terdapat peningkatan program saringan penglihatan dan pemeriksaan mata di tadika dan sekolah serta peningkatan kesedaran mengenai kesihatan mata kanak-kanak.

Berdasarkan pengalamannya, Dr Fiona menekankan bahawa ambliopia boleh dipulihkan dengan rawatan awal dan mengingatkan ibu bapa untuk membawa anak mereka untuk pemeriksaan mata setiap tahun.



"Semakin muda seseorang kanak-kanak itu, semakin mudah otaknya menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan. Kanak-kanak disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata ketika berusia enam bulan, tiga tahun, enam tahun dan seterusnya setiap dua tahun untuk mengenal pasti sebarang masalah mata," katanya.

Beliau menambah sekiranya tidak dirawat langsung, ambliopia akan menjadi semakin parah dan berkemungkinan tidak dapat dipulihkan iaitu boleh menyebabkan buta disebabkan bila menghidap ambliopia, penjajaran mata akan menjadi tidak selari dan kanak-kanak tersebut mungkin menjadi juling.

Dr Fiona berkata ambliopia boleh disahkan selepas pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan oleh pakar mata termasuk ujian ketajaman penglihatan, ujian refraksi, ujian ortoptik atau pemeriksaan juling dan pemeriksaan keluasaan mata untuk menentukan penyebab ambliopia berlaku dan rawatan pula akan bergantung kepada penyebab ambliopia itu sendiri.

"Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai kelainan refraksi mata (memerlukan mereka untuk memakai kaca mata), katarak, juling, kelopak mata jatuh dan masalah retina perlu dirawat dan selepas itu perkembangan visual mereka akan bertambah baik.

"Namun jika sebaliknya, pesakit mungkin perlu menjalani penalisation treatment atau terapi dikoptik. Bagi penalisation treatment, rawatan ini akan mengaburkan penglihatan pada mata yang tidak bermasalah dan memaksa otak untuk menggunakan mata malas tersebut melalui penutup mata, ubat titis mata atau kanta mata khas. Terapi dikoptik pula melibatkan latihan tertentu atau permainan digital untuk meningkatkan perkembangan mata ke otak," katanya.



Dr Fiona menambah ibu bapa boleh melihat tanda-tanda ambliopia melalui tingkah laku anak-anak mereka seperti kesukaran untuk melihat objek yang jauh, pergerakan mata abnormal, juling, postur kepala yang abnormal, kerap terjatuh atau terlanggar objek, mempunyai masalah penglihatan tiga dimensi seperti ketika turun tangga, menyelesaikan susun suai gambar, mengalami masalah tumbesaran yang lewat dan masalah berkaitan sukan atau kerja rumah.

Berkongsi pandangan sama, Pakar Perunding Mata dan Saraf Mata SMCV Dr Lakana Kumar Thavaratnam berkata ambliopia boleh dihindari daripada berlaku di peringkat awal kanak-kanak atau ketika di usia remaja jika ia dapat dikesan dan dirawat awal.

"Walaupun ambliopia boleh dipulihkan dalam kalangan orang dewasa, rawatan ambliopia memerlukan motivasi dan komitmen yang tinggi kerana ia biasanya mengambil masa yang lebih lama untuk dirawat berbanding kanak-kanak. Ambliopia dalam kalangan orang dewasa dipanggil kecacatan penglihatan dan ia boleh berlaku disebabkan kecederaan trauma dan komplikasi semasa kehamilan dan melahirkan bayi.

"Bagi keadaan ini, MRI otak dan orbit perlu dilakukan serta punca kepada kecacatan penglihatan tersebut perlu didiagnosis dan dirawat dengan terapi penglihatan.

"Keupayaan untuk melihat berlaku semasa beberapa tahun terawal kehidupan, oleh itu adalah penting untuk mendiagnosis dan merawat ambliopia seawal mungkin," rumus Dr Lakana.

Dr Lakana berkata petanda ambliopia yang ibu bapa perlu awasi adalah juling, iaitu mata menghala ke dua arah yang berbeza atau tidak bergerak dalam koordinasi yang betul; kelainan refraksi mata seperti rabun dekat, rabun jauh atau silau serta kekaburan di bahagian mata yang selalunya jelas.

Sunway Medical Centre Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity.

Institusi perubatan swasta itu boleh dihubungi di talian +603 97729191 atau [email protected].

Untuk maklumat lanjut mengenai Sunway Medical Center Velocity, layari www.sunmedvelocity.com.my, atau Facebook di Sunway Medical Velocity.

-- BERNAMA


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!