Mitsubishi Xforce rasmi dibuka untuk tempahan, harga bermula RM110,000

Model ini dikuasakan enjin 1.5 liter yang digandingkan dengan transmisi CVT, serta menampilkan kelegaan tanah setinggi 222 milimeter, antara yang terbaik dalam kelasnya. - Gambar MMM
KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) merasmikan pembukaan tempahan bagi model SUV terbaharu mereka, Mitsubishi Xforce, sekali gus menandakan kemasukan rasmi kenderaan itu ke dalam segmen SUV kompak yang semakin kompetitif di pasaran tempatan.
Xforce disasarkan kepada pengguna bandar dan gaya hidup moden, dengan penekanan terhadap keselesaan pemanduan, keselamatan menyeluruh serta keupayaan pengendalian yang sesuai untuk pelbagai permukaan jalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Takashi Sakamaki, berkata walaupun segmen SUV ketika ini sangat mencabar dengan kehadiran lebih 15 model, syarikat itu kekal yakin Xforce mampu menonjol dan memenuhi keperluan pengguna Malaysia.
“Segmen SUV merupakan segmen yang sangat kompetitif dengan kehadiran lebih 15 model serta kemunculan model baharu. Namun, kami sangat yakin Mitsubishi Xforce mampu memberikan prestasi yang baik dalam segmen ini,” katanya.

Mitsubishi Xforce ditawarkan dalam dua varian iaitu Urban dan Ultimate, dengan harga anggaran bermula sekitar RM110,000 hingga RM120,000, bergantung kepada varian. - Gambar MMM
Model ini dikuasakan enjin 1.5 liter yang digandingkan dengan transmisi CVT, serta menampilkan kelegaan tanah setinggi 222 milimeter, antara yang terbaik dalam kelasnya, sekali gus sesuai untuk pemanduan bandar mahupun keadaan jalan yang mencabar.
Dari segi ciri, Xforce menawarkan ruang dalaman yang luas dengan tempat duduk belakang boleh dilaras sehingga lapan tahap, sistem paparan audio bersaiz 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium.
Kenderaan ini turut dilengkapi empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, selain teknologi Active Yaw Control bagi memastikan kestabilan dan kawalan lebih baik dalam pelbagai keadaan pemanduan.
Aspek keselamatan turut diberi penekanan menerusi sistem Mitsubishi Motors Safety Sensing yang merangkumi ciri seperti Adaptive Cruise Control, Forward Collision Mitigation, Lane Change Alert, Automatic High Beam dan Rear Cross Traffic Alert.
Sempena pembukaan tempahan, Mitsubishi Motors Malaysia turut menawarkan pakej istimewa kepada 1,000 pelanggan terawal, termasuk rebat tunai RM5,000 serta peluang menyertai peraduan ‘Buy 1 Free 1’ bagi mereka yang mendaftar minat sebelum pelancaran rasmi.
“Pertama, kami menawarkan rebat tunai RM5,000 kepada 1,000 pelanggan terawal. Selain itu, pelanggan yang mendaftar minat dari hari ini sehingga pelancaran rasmi juga berpeluang menyertai peraduan ‘Buy 1 Free 1’,” jelas Sakamaki.

Antara pilihan warna yang menarik ditawarkan bagi Mitsubishi Xforce. - Gambar MMM
Bagi pemilik sedia ada kenderaan Mitsubishi serta ahli keluarga terdekat, program kesetiaan turut ditawarkan dengan rebat tambahan RM1,000 sebagai penghargaan kepada pelanggan setia jenama tersebut.
Mitsubishi Xforce turut disokong waranti lima tahun tanpa had perbatuan, sekali gus menjadikannya pilihan SUV baharu yang praktikal dan berdaya saing untuk pengguna di Malaysia.
Orang ramai kini boleh membuat tempahan awal Mitsubishi Xforce di semua bilik pameran sah Mitsubishi Motors di seluruh negara atau menerusi Mitsubishi Online Showroom.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


