GAYA HIDUP

Model baharu jam tangan mewah ciri-ciri bilionair India, Mukesh Ambani dianggar bernilai AS$1.5 juta

Agensi 24/01/2026 | 00:00 MYT
Jacob & Co, memperkenalkan model eksklusif baharu jam tangan yang bertemakan pusat konservasi hidupan liar milik keluarga bilionair terkenal India, Mukesh Ambani. - Gambar Instagram Jacob & Co
SEBUAH jenama jam tangan mewah antarabangsa, Jacob & Co, memperkenalkan model eksklusif baharu yang bertemakan pusat konservasi hidupan liar milik keluarga bilionair terkenal India, Mukesh Ambani - dan yang menjadi tumpuan adalah patung kecil Anant Ambani di bahagian tengah jam berkenaan.

Rekaan jam itu turut memaparkan arca singa dan harimau Bengal yang diukir halus, ditempatkan mengelilingi patung kecil berkenaan seolah‑olah menonjolkan peranan Anant sebagai penjaga pusat konservasi tersebut.

Walaupun harga rasmi tidak diumumkan, komuniti industri jam mewah Watchopea menganggarkan nilainya sekitar AS$1.5 juta (RM6 juta).

Model berinspirasikan Vantara - pusat pemulihan hidupan liar seluas 3,500 ekar di Jamnagar, Gujarat - yang menempatkan lebih 2,000 spesies termasuk singa, gajah dan harimau.

Pusat tersebut yang dimiliki Anant dan tidak dibuka kepada umum, pernah menjadi perhatian selepas dakwaan berkaitan pemerolehan serta penjagaan haiwan.

Namun, siasatan pasukan khas dilantik Mahkamah Agung India sebelum ini tidak menemukan sebarang bukti salah laku.

Vantara dirasmikan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Mac tahun lalu, dan turut menjadi antara lokasi bagi acara pra‑perkahwinan mewah Anant Ambani pada 2024 yang menarik kehadiran selebriti Bollywood, bintang antarabangsa seperti Kim Kardashian dan Rihanna serta tokoh korporat dunia termasuk Bill Gates dan Mark Zuckerberg.

Dalam kenyataan di platform media sosial, Jacob & Co menyifatkan jam itu sebagai penghormatan kepada Vantara, dengan patung kecil Anant di tengah permukaan jam itu melambangkan tanggungjawab dan kepimpinan.

Jam tersebut dihiasi 397 batu permata, termasuk berlian, nilam hijau serta garnet, menjadikannya antara model paling sarat perincian yang pernah dikeluarkan syarikat itu.

Menurut wakil rakan runcit Jacob & Co di India, model berkenaan belum ditawarkan di pasaran dan harga rasmi juga masih belum didedahkan. - Agensi



#jam tangan mewah #bilionair India #Mukesh Ambani #Jacob & Co