Tidak menjadi kesalahan kepada ibu bapa untuk menjadikan solekan sebagai salah satu aktiviti anak mereka.

Sebaliknya, perancangan aktiviti yang santai dan menyeronokkan perlu diwujudkan di mana ia mampu meningkatkan proses pembelajaran secara tidak langsung kepada kanak-kanak.

Pakar Psikologi Kanak-kanak, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Md Nor menegaskan perlu ada kesinambungan daripada aktiviti solekan yang dilakukan kanak-kanak kepada aktiviti yang boleh merangsang kemahiran seperti bertolak ansur, berkomunikasi dan penyelesaian masalah.

"Anak-anak ini boleh bercantik-cantik seperti bermain pondok-pondok atau 'main kahwin-kahwin'
yang memerlukan mereka bersolek terutama dalam kalangan rakan sebaya.

"Contohnya, mereka perlu berkongsi gincu dan pelbagai lagi barangan solek sekaligus mereka akan belajar bertolak ansur, sikap perkongsian, kebersamaan, tidak kedekut mahupun tamak atau pentingkan diri sendiri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Jelasnya, aktiviti solekan juga dilihat mampu meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak selain menjaga penampilan mereka agar sentiasa kemas dan rapi.

"Ia sebenarnya memberi satu pengaruh baik kepada kanak-kanak supaya mereka bijak menguruskan diri sendiri untuk nampak cantik," ujarnya.

Selain melihat sudut pandang positif aktiviti solekan yang kini menjadi trend ibu bapa, Mariani bagaimanapun gusar akan kesan negatif pengunaan alat solekan terutama melibatkan bahan kimia yang mungkin tidak sesuai dengan kulit kanak-kanak.