Pasangan Inggeris naiki penerbangan 'kosong' ke Pulau Pinang

Nizam Bakeri
September 7, 2016 15:01 MYT
Pasangan pelancong Inggeris ini menikmati 'penerbangan peribadi' kerana tidak ada penumpang lain - Foto Instagram/Kyle McNicol
PASANGAN Kyle McNicol dan Carrie Fisher tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi dan mendaftar masuk di kaunter seperti biasa.
Destinasi mereka yang seterusnya, Pulau Pinang.
“Ini penerbangan istimewa untuk anda,” ujar petugas kaunter tersebut.
Pasangan pelancong Inggeris itu tidak menjangka maksud ‘penerbangan istimewa’ sehinggalah mereka dibawa ke pesawat menaiki bas yang kosong.
“Ketika itulah kami sedar, kami akan menaiki penerbangan yang kosong.” jelas Carrie dalam blognya.
“Itu salah satu penerbangan terbaik yang pernah saya naiki,” tambahnya. “Para petugas walaupun pada mulanya kekok kerana mereka juga menghadapi situasi ini buat kali pertama, tapi mereka semua hebat.”
Kyle dan Carrie menaiki salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah negara.
Menurut Carrie lagi, dia bersama Kyle tertawa riang bersama staf syarikat penerbangan apabila mereka mendarat di Pulau Pinang berikutan insiden menarik itu, lapor The Telegraph.
#Carrie Fisher #Krabi #Kyle McNicol #pulau pinang