GAYA HIDUP

Pemeriksaan payudara: Jangan sangka usia 60-an dan 70-an tak perlu mamogram

Nizha Periaswamy 18/10/2025 | 09:00 MYT
Mamogram ialah pemeriksaan X-ray payudara yang mampu mengesan mikrokalsifikasi, iaitu tanda awal perubahan sel yang tidak normal, sebelum ketulan dapat dirasai melalui sentuhan. Gambar kecil: Dr Sumithra S. Ranganathan.
OKTOBER yang sinonim dengan Pinktober menjadi peringatan bahawa pemeriksaan kanser payudara bukan hanya untuk wanita muda atau pertengahan usia. Menurut Perunding Radiologi dari Hospital Prince Court, Dr Sumithra S. Ranganathan, ramai wanita Malaysia berusia 60 tahun ke atas masih menganggap mereka tidak lagi berisiko mendapat kanser payudara kerana telah hidup sekian lama tanpa masalah tersebut.

“Saya sering mendengar wanita berusia 60-an, 70-an, malah 80-an berkata, ‘Saya tidak pernah ada masalah payudara sebelum ini, jadi saya rasa selamat.’ Sebenarnya tanggapan itu salah,” jelas beliau.

“Kami pernah merawat pesakit kanser payudara yang berusia 80-an dan juga 90-an. Usia bukan pelindung daripada kanser payudara.”

Dr. Sumithra menjelaskan, terdapat beberapa sebab mengapa wanita berusia enggan menjalani mamogram secara berkala. Antaranya ialah kehilangan faedah perubatan syarikat selepas bersara, merasakan diri mereka sudah ‘bebas risiko’ kerana tidak pernah mengalami masalah payudara, berasa takut atau tidak selesa dengan prosedur mamogram, serta kepercayaan salah bahawa tisu payudara menjadi kurang padat sepenuhnya selepas menopaus.

“Ada juga yang bimbang tentang radiasi atau tidak tahu di mana hendak mendapatkan saringan pada harga berpatutan,” katanya. “Malangnya, sikap menangguh pemeriksaan ini menyebabkan kanser hanya dikesan apabila sudah berada pada tahap yang lebih serius.”


Mamogram kekal sebagai kaedah terbaik

Menurut Dr. Sumithra, mamogram ialah pemeriksaan X-ray payudara yang mampu mengesan mikrokalsifikasi, iaitu tanda awal perubahan sel yang tidak normal, sebelum ketulan dapat dirasai melalui sentuhan.

Beliau menjelaskan bahawa selepas menopaus, ketumpatan payudara menurun dan menjadi lebih berlemak, menjadikan imej mamogram lebih jelas untuk mengesan sebarang keabnormalan. Ultrasound pula digunakan bagi membantu mengesahkan penemuan tertentu, contohnya untuk membezakan sama ada bayangan pada mamogram hanyalah tisu bertindih atau sista.

Sekiranya terdapat kelainan, pesakit akan dirujuk kepada pakar bedah payudara bagi penilaian lanjut, dan jika perlu, biopsi akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada sel tersebut benign (bukan kanser) atau kanser.


Teknologi mamogram semakin maju dan selesa

“Peralatan mamogram kini jauh lebih moden berbanding dua dekad lalu. Mesin digital baharu lebih pantas dan lebih selesa, malah ada pusat menawarkan mamogram 3-D (tomosintesis) yang meningkatkan pengesanan dan mengurangkan recall, terutama pada payudara padat. Ataupun mamogram dengan kontras (contrast-enhanced mammography) yang menggunakan pewarna khas untuk menyerlahkan kawasan mencurigakan,” jelas Dr. Sumithra.

Beliau menambah, proses tekanan pada payudara hanya mengambil masa beberapa saat dan tahap radiasinya rendah, dalam julat yang selamat. Kebanyakan hasil yang dikesan melalui saringan pula bukan kanser atau masih di peringkat prakanser, yang boleh dirawat sebelum menjadi serius.


Risiko meningkat seiring usia

Dr. Sumithra menegaskan bahawa usia adalah salah satu faktor risiko utama kanser payudara.

“Ketulan berdiameter satu hingga dua milimeter kadangkala boleh dirasai, tetapi selalunya apabila ketulan itu cukup besar untuk dirasa, ia sudah pun membesar.

Mamogram mampu mengesan perubahan kecil ini lebih awal danitulah kelebihan saringan awal,” jelasnya.

Beliau menyarankan wanita berusia 40 tahun ke atas agar menjalani mamogram setiap dua tahun sekali, kecuali bagi mereka dengan sejarah keluarga dengan kanser payudara, maka mammogram disarankan setiap tahun. Jika perlu, mereka dinasihatkan memulakan saringan lebih awal atau menambah ujian lain seperti ultrasound atau MRI.

Di Malaysia, kos mamogram digital 2-D sekitar RM250 hingga RM350, manakala mamogram 3-D lazimnya berharga antara RM400 hingga RM500 di pusat perubatan swasta. Sempena Pinktober, banyak hospital dan badan bukan Kerajaan (NGO) menawarkan pakej diskaun bagi menggalakkan wanita membuat pemeriksaan.

“Jangan biarkan faktor kewangan menghalang anda. Terdapat program bantuan kerajaan dan NGO yang boleh dirujuk,” kata Dr. Sumithra.


Usia bukan penghalang saringan

Sempena Pinktober, Dr. Sumithra menggesa wanita berusia 60 tahun ke atas untuk menjadikan mamogram sebahagian daripada rutin kesihatan tahunan.

“Pinktober bukan sekadar mengibarkan reben merah jambu; ia adalah peringatan untuk menjaga kesihatan diri. Buat temujanji mamogram, walaupun rasa sihat kerana pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa,” tegas beliau.

Mamogram kekal penting walaupun selepas usia emas. Dengan kemajuan teknologi yang lebih selesa, risiko yang meningkat bersama usia, serta bukti bahawa ramai wanita masih dikesan menghidap kanser payudara pada usia lanjut, langkah saringan awal harus menjadi keutamaan. Pinktober tahun ini diharap dapat membuka mata semua wanita bahawa usia bukan penghalang untuk mencegah dan mengesan kanser payudara lebih awal.




#pemeriksaan payudara #Mamogram #kesihatan #wanita #rawatan #pinktober