GAYA HIDUP

Penduduk Asia Tenggara kini gemar makan ubi kentang dengan pengeluaran, penggunaan meningkat

Bernama 01/02/2026 | 10:13 MYT
Ubi berkenaan yang dahulunya dianggap sebagai makanan ruji dalam diet Barat, kini menjadi kegemaran jutaan penduduk di Asia Tenggara. - Gambar hiasan/Adobe Stock
PHNOM PENH: Penduduk Asia Tenggara kini muncul sebagai pemakan ubi kentang tegar pada fasa yang amat memberangsangkan - bermula daripada kentang goreng rangup di pasar malam yang sibuk sehinggalah kepada kari kentang beraroma di dapur rumah.

Seiring dengan perkembangan bandar dan perubahan gaya hidup, ubi kentang kini semakin mendapat tempat di dapur rumah serta gerai makanan jalanan di seluruh rantau ini berbanding sebelum ini.

Ubi berkenaan yang dahulunya dianggap sebagai makanan ruji dalam diet Barat, kini menjadi kegemaran jutaan penduduk di Asia Tenggara yang menempatkan hampir 680 juta orang.

Pusat Kentang Antarabangsa yang berpangkalan di Peru menyatakan bahawa penggunaan kentang per kapita meningkat dalam tempoh sedekad yang lepas, sekali gus menunjukkan kentang menjadi sebahagian daripada diet harian di beberapa negara Asia Tenggara.

Negara Amerika Selatan itu dikatakan sebagai tempat asal kentang, di mana petani pribumi telah mengusahakannya selama ribuan tahun.

Penggunaan kentang per kapita tahunan melonjak daripada 4.33 kg pada 2013 kepada 5.20 kg pada 2023 - satu lonjakan besar sebanyak 20 peratus!

"Walaupun permintaan global dilihat stabil, Asia Tenggara menunjukkan pertumbuhan yang sederhana tetapi konsisten, mencerminkan corak pemakanan yang berubah dan pengembangan pasaran.

Asia Tenggara telah menunjukkan pengembangan yang teguh dalam penggunaan," kata Pengurus Besar Pusat Kentang Antarabangsa bagi India, Dr Neeraj Sharma kepada Bernama.

Kisah pertumbuhan ini turut menyuntik elemen menarik dalam ekonomi kentang serantau.

Kuantiti bekalan domestik Asia Tenggara melonjak sebanyak 26.2 peratus sepanjang dekad lepas - meningkat daripada 3.2 juta tan metrik kepada 4.1 juta tan metrik.

Kadar pertumbuhan ini adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada purata global, menurut pusat yang beribu pejabat di Lima, ibu negara Peru.

Di Indonesia, petani menghasilkan kira-kira 1.25 juta tan metrik tanaman ubi itu setiap tahun, yang tertinggi di rantau ini, kebanyakannya di kawasan tanah tinggi Sumatera, Jawa, Sulawesi, dan Nusa Tenggara.

Sementara itu, Delta Sungai Merah di Vietnam menghasilkan kira-kira 180,000 tan metrik, manakala pengeluaran di Filipina sekitar 100,000 tan metrik yang berasal dari kawasan tanah tinggi di Utara Luzon.

Pakar industri berpendapat urbanisasi yang pesat ditambah dengan pengembangan sektor perkhidmatan makanan, terutamanya restoran khidmat segera, peningkatan pendapatan bandar serta gaya hidup, telah merancakkan permintaan ini.

"Pengembangan rantaian runcit moden, pembuatan makanan ringan serta penggunaan makanan diproses oleh isi rumah turut memainkan peranan penting.

Pasar raya dan kedai serbaneka telah berkembang dengan ketara di rantau ini, sekali gus meningkatkan akses kepada produk kentang segar dan diproses," kata Sharma.

Pengasas dan Editor Potato News Today yang berpangkalan di Kanada, Dr Lukie Pieterse berkata pertumbuhan permintaan sepanjang dekad yang lepas adalah agak stabil atau berkembang perlahan di kebanyakan pasaran berpendapatan tinggi.

Namun, ia jelas meningkat di Asia dan Afrika, di mana faktor pendapatan, urbanisasi dan peruncitan moden sedang mengubah corak penggunaan.

"Permintaan kentang segar secara amnya meningkat tetapi tidak seragam. Di kebanyakan pasaran Asia Tenggara, kentang masih dianggap sebagai makanan ruji yang lebih kecil berbanding beras, mi, ubi kayu atau pisang tanduk.

"Pertumbuhan cenderung paling ketara di pusat bandar dan dalam kalangan pengguna berpendapatan sederhana, di mana kentang lebih kerap digunakan untuk masakan di rumah, hidangan gaya Barat dan hidangan segera," kata Pieterse kepada Bernama.

China dan India memacu pengeluaran kentang global, masing-masing menyumbang 100 juta tan metrik dan hampir 58 juta tan metrik.

Selepas beras dan gandum, kentang adalah tanaman makanan ketiga paling penting di dunia untuk penggunaan manusia.

Lebih satu bilion orang di seluruh dunia makan kentang, dan jumlah pengeluaran tanaman global adalah kira-kira 390 juta tan metrik pada 2024.

Terdapat lebih 4,000 jenis kentang asli, kebanyakannya ditemukan di pergunungan Andes di Amerika Selatan, menurut pusat berkenaan.

-- BERNAMA / Vijian Paramasivam



#ubi kentang #makanan #penduduk Asia Tenggara #pengeluaran