PEJAM celik, sudah lima tahun berada di bumi asing, Rusia.

Tahun depan, dengan izinNya, pengajian selama enam tahun akan tamat.

Dalam rentang masa lima tahun ini, apa yang paling dirindukan ialah kedatangan Ramadan.

Kenapa? Ini kerana, ingatan dihantar kerana riuh meriahnya solat tarawih. Hati jadi teringat indahnya surah dibaca imam dalam setiap raakat dikerjakan. Juga, girang saat selepas tarawih selesai dihiasi makan-makan.

Tetapi, jujur sahaja, lima tahun di Rusia, lebih khusus di Volgograd, sukar sekali untuk tarawih di masjid atau surau.

Satu, kerana lokasinya jauh dari tempat tinggal, tambahan pula sukar untuk dapat pengangkutan untuk pulang selepas jam 10 malam.

Keduanya, negara empat musim seperti Rusia, jika puasa jatuh di musim sejuk atau musim luruh misalnya, memang terpaksa "menetap" di dalam bilik disebabkan suhunya sangat mencengkam.

Hanya tahun 2022, Ramadan dirai semasa musim panas, tetapi terpaksa berpuasa lama, iaitu sehingga 18 jam dan imsak pula dua jam kemudian.

Maka, tarawih di bilik sahaja jawapannya. Tahun 2019 dan 2020, COVID-19 melanda dunia, jadi tiada perhimpunan mega. Tahun 2021, saya pulang ke Malaysia, manakala 2023, saya sibuk dengan pengajian, kelas kadangkala sampai ke malam.

Tahun ini, puasa jatuh semasa musim bunga, tetapi suhunya tetap  juga sejuk, di  malam hari boleh jatuh sehingga di bawah paras beku.

Namun, tahun ini, 2024 atau 1445H, saya bercuti seminggu di awal Ramadan.

Jadi, ada kesempatan untuk turun ke Moscow dan berpeluang bertarawih di sebuah masjid di ibu kota Rusia itu.

Ia semua hasil bantuan Uncle Mahadzel, yang sudah menjadi keluarga kedua saya di Rusia.

"Kita cuba solat tarawih di Masjid Memorialnaya di Jalan Minskaya, biasanya tidak begitu ramai jemaah. Tetapi, suhu sejuk sekarang mungkin masih kurang yang datang bersolat,'' kata Uncle Mahadzel.

Penulis (kiri) bersama Uncle Mahadzel.

Dari rumah Uncle Mahadzel ke masjid, jauhnya kira-kira dua kilometer. Kami ambil keputusan untuk berjalan sahaja kerana sukar mencari parkir kereta di kawasan masjid.

Suhu di luar rumah ketika itu, 0 darjah Celsius. Kadang-kadang mulut keluar asap apabila bercakap, tetapi saya tekadkan azam untuk merasai tarawih di Moscow, dalam cuaca sejuk itu.

Bayangkan, saya dan Uncle Mahadzel terpaksa pakai baju tebal, berlapis-lapis dan penutup kepala apabila berjalan sejauh dua kilometer untuk sampai di masjid.

Solat di luar masjid

Semasa berjalan menuju masjid, di dalam suhu 0 darjah Celsius, sesekali terasa debu salji jatuh di penutup kepala sehingga rambut bertukar menjadi seperti uban, dilitupi debu salji.

Saya pernah sekalisampai di masjid ini, tetapi solat Jumaat.

Yang terkenal di Moscow barangkali hanya Masjid Cathedral (Sobornaya Mosque), tarafnya seperti Masjid Negara di Malaysia, dirasmi oleh dua pemimpin - Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada 2015.

"Wah ramainya jemaah, tak sangka sudah penuh saf di dalam masjid, maka terpaksa bersolat di luar masjid," kata saya reda bersolat di luar walaupun pertama kali menjejak di situ.

"Tidak apa-apa, bersolat di luar juga pahalanya sama, asal dengar suara imam dengan jelas, cukup," kata Uncle Mahadzel melihat saya sedikit kecewa tidak berpeluang masuk dalam masjid untuk bertarawih.

Masjid Memorialnaya siap dibina pada tahun 1997 hasil inisiatif dermawan bernama Faiz Gilmanov dan kerajaan Rusia.

Ia dibina sebagai memperingati askar Muslim yang gugur dalam perang dikenali Perang Patriotik Hebat.

Pembinaannya turut disumbang sejumlah besar warga Muslim dari Republik Tatarstan, Bashkortostan, Adygea dan Kazakhstan.

"Kalau nak bersolat di dalam masjid, kena datang selepas Maghrib, lebih elok berbuka di sini," kata seorang jemaah, Muslim Rusia yang sering bersolat di situ, solat lima waktu, solat Aidilfitri, solat Jumaat dan tarawih.

Jemaah selesai mengerjakan solat di Masjid Memorialnaya.

Kami juga sempat bersembang tentang Islam di Rusia, yang menjadi agama kedua terbesar di negara berkenaan.

Bersolat di luar bermakna terdedah dengan suhu sejuk dingin. Saya terpaksa memakai kasut, mencucinya terlebih dahulu sebelum dapat bersolat.

Ambil wuduk juga terketar-ketar sejuk. Dalam sejuk dingin itu, saya dapat dengar dengan jelas surah-surah yang dibacakan imam.

Merdu lunak suaranya, melantunkan ayat-ayat di dalam al-Quran di setiap rakaat.

Tanpa saya sedar, dalam masa sejam, selesai solat tarawih lapan raakat, diikuti solat witir tiga rakaat.

Enak suaranya, jelas sebutannya, lancar bacaannya menyebabkan saya tidak sedar dengan keadaan suhu sejuk, 0 darjah celcius, Alhamdulillah, nikmatnya dapat bersolat, seronoknya bertarawih cara begitu.

Selama empat hari di Moscow, saya tidak ketinggalan solat tarawih, tetapi sekali pun tidak pernah bersolat di dalam.

Dari luar masjid, dapat saya rasakan, reka bentuk dalamannya amat menarik, menambah kekaguman saya dengan masjid yang disuntik sentuhan Tatarstan ini.

Selepas habis tarawih, balik ke rumah dalam terketar-ketar berdepan suhu sejuk, Teh Ais Boba dari Som Chen jadi pilihan.

Kami pesan melalui Yandex  sahaja terus sampai di rumah dan minum. Namun, tiba-tiba saya teringat pula suasana moreh di Malaysia.

Pasti meriah dengan pelbagai jenis hidangan dan aneka colek. Tetapi, saya bersyukur juga dapat Teh Ais Boba.

Selepas empat hari pengalaman bersolat di Moscow, saya kembali ke Volgograd, hanya bertarawih di bilik sahaja. Berbuka dan bersahur juga di bilik juga.

Pada Jumaat, 22 Mac, berlaku serangan pengganas di Moscow. Mengikut laporan, lebih 100 orang meninggal dunia, mereka mati ditembak secara rambang.

Akibatnya, bukan sahaja di Moscow terkesan, tetapi juga di Volgograd.

Kedutaan Besar Malaysia di Moscow di dalam satu memo menasihatkan semua rakyat Malaysia tidak keluar rumah dan tidak berada di tempat terbuka untuk mengelak daripada kejadian tidak diingini.

Maknanya, rakyat Malaysia, perlu berhati-hati dan memilih untuk tidak keluar ke gedung membeli-belah atau mengunjungi tempat ibadat seperti masjid.

Maka, saya di bilik sahaja. Tidak solat di masjid atau surau, tidak juga mengembara ke Moscow.

Tetapi, saya sudah ada pengalaman bertarawih di Moscow, walaupun dalam suhu sejuk dan dingin, seronoknya mengatasi rasa dingin hampir beku itu.

Walaupun pelbagai cabaran ditempuh saat belajar di Rusia, saya sering berkata kepada diri, sabar duhai hati, hanya setahun sahaja lagi di sini, selepas ini semua kembali seperti biasa, di Malaysia, pertiwi sendiri.

Semoga baik-baik sahaja, berbaki setahun sahaja lagi.

Itulah juga pesan jemaah Muslim warga Rusia yang saya jumpa saat bertarawih dalam suhu sejuk di Masjid Memorialnaya, Moscow.

Katanya dalam bahasa Rusia: "Bcero xopower, brother!" (semoga baik-baik sahaja)


* Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki merupakan pelajar dari Malaysia yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan di Volgograd State Medical University, Rusia dan penulis buku "Senandika Cinta dan Korona di Rusia" terbitan Dr Meks Enterprise.

** Artikel ini merupakan pengalaman peribadi penulis.