Pengeluaran air mata berlebihan mungkin tanda saluran air mata tersumbat

Menurut pakar, lazimnya dua punca utama pengeluaran air mata berlebihan, iaitu penghasilan air mata yang berlebihan akibat iritasi, jangkitan, keradangan, alahan, atau masalah mata seperti lumpuh saraf muka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Saluran air mata tersumbat boleh berlaku ke atas individu daripada semua peringkat usia, dengan pakar memberi amaran kelewatan mendapatkan rawatan susulan tahap kesedaran yang rendah akan menyebabkan gejala air mata melimpah dan dalam sesetengah kes membawa kepada jangkitan.
Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) Dr Nazila Ahmad Azli berkata keadaan itu berlaku apabila laluan saliran dari kelopak mata ke hidung tersumbat, sekali gus menyekat air mata daripada mengalir secara normal dan menyebabkan ia bertakung serta melimpah keluar ke pipi atau dikenali sebagai epifora.
Beliau menjelaskan lazimnya dua punca utama pengeluaran air mata berlebihan, iaitu penghasilan air mata yang berlebihan akibat iritasi, jangkitan, keradangan, alahan, atau masalah mata seperti lumpuh saraf muka.
"Satu lagi punca yang lazim dialami ialah penyumbatan pada sistem saliran air mata. Apabila air mata tidak dapat mengalir secara normal, ia akan melimpah.
"Pesakit juga mungkin mengalami lelehan yang melekit, dan jika penyumbatan ini tidak dirawat, kawasan tersebut boleh dijangkiti," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Nazila berkata walaupun tiada statistik rasmi peringkat kebangsaan, data global menunjukkan 20 hingga 30 orang bagi setiap 100,000 penduduk dunia terjejas oleh keadaan ini.
Beliau berkata dua kumpulan utama yang lazim terdedah kepada keadaan itu ialah kanak-kanak dan orang dewasa.
Dalam kalangan kanak-kanak, ia biasanya bersifat kongenital (sejak lahir), melibatkan usia bayi hingga tiga tahun, manakala bagi dewasa keadaan ini lazimnya berlaku akibat pelbagai faktor.
"Bagi kes dewasa ia boleh berlaku seawal usia 20 tahun tetapi berdasarkan pengalaman saya, ia lebih kerap dialami individu berusia antara 40 hingga 70 tahun," katanya sambil menambah wanita lebih mudah terdedah kepada masalah itu berbanding lelaki.
Beliau berkata ini kerana wanita secara umumnya mempunyai sistem saliran air mata yang lebih sempit dan perubahan hormon ketika tempoh menopaus, serta kadar mata kering yang lebih tinggi yang boleh mencetuskan keradangan dan parut, berpotensi meningkatkan lagi risiko penyumbatan.
Bagi mendiagnosis saluran air mata tersumbat, beliau berkata pakar bedah okuloplastik lazimnya akan meneliti sejarah perubatan pesakit dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk menilai trend pengeluaran air mata serta memeriksa kawasan kantung air mata di sudut dalam mata.
Ujian tambahan, seperti ujian penghilangan pewarna mungkin dijalankan untuk melihat sejauh mana keberkesanan cecair berwarna yang diletakkan pada permukaan mata mengalir masuk ke dalam saluran air mata.
Dr Nazila berkata prosedur klinikal seperti pembilasan saluran air mata mungkin juga dilakukan, iaitu dengan membilas sistem saliran air mata secara perlahan menggunakan larutan garam (salin) bagi menentukan lokasi dan tahap keterukan penyumbatan.
Dalam kes yang lebih kompleks atau apabila kemungkinan terdapat tumor, ujian pengimejan seperti dakriosistografi atau imbasan CT boleh digunakan untuk memvisualisasikan saluran air mata serta struktur sekelilingnya.
"Rawatan bergantung kepada tahap keterukan dan usia pesakit. Bagi bayi atau kes yang ringan, pendekatan bukan pembedahan seperti urutan lembut pada kantung air mata biasanya disyorkan, manakala prosedur seperti probing dan penyiringan atau pemasangan stent lakrimal boleh dilakukan kepada bayi sekiranya perlu. Kira-kira 90 peratus bayi akan pulih daripada gejala ini menjelang usia satu tahun.
"Bagi penyumbatan yang berlarutan dalam kalangan orang dewasa, rawatan adalah menerusi dakriosistorinostomi (DCR), iaitu prosedur pembedahan untuk mewujudkan saluran saliran baharu," katanya
Beliau berkata prosedur itu boleh dilakukan secara luaran melalui hirisan kecil di antara mata dan hidung atau secara endoskopik melalui hidung dengan menggunakan kamera dan dalam kebanyakan kes, stent silikon sementara akan dipasang bagi memastikan saluran saliran yang baharu dibuka kekal terbuka semasa proses penyembuhan.
Dr Nazila berkata diagnosis awal dan rawatan yang sesuai amat penting bagi melegakan gejala serta mencegah komplikasi seperti jangkitan berulang atau keradangan di sekitar mata.
Namun, beliau memberi amaran bahawa gejala seperti sakit, bengkak, kemerahan atau penglihatan kabur memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi seperti selulitis orbital, iaitu keradangan serius pada tisu di belakang mata.
Beliau juga menasihatkan kepada orang ramai supaya menjaga kebersihan kelopak mata dengan baik, termasuk melakukan tuam suam secara berkala dan menggunakan tisu pembersih kelopak mata bagi mengurangkan risiko keradangan.
"Jika mengalami simptom luar biasa, segera mendapatkan rawatan. Jika dibiarkan tanpa dirawat, saluran air mata tersumbat boleh menyebabkan jangkitan dan komplikasi yang lebih serius," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


