SEIRING peningkatan perdagangan global bagi daging merah dan daging proses, begitulah juga dengan penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan daging dalam diet.

Dalam kajian yang menggunakan data dari 154 negara itu, para penyelidik menumpukan kepada kadar sakit dan kematian daripada tiga penyakit kronik yang membabitkan pemakanan daging iaitu barah kolorektal, diabeter Jenis 2 dan penyakit jantung koronari.

Kajian mereka juga berpandukan nilai perangkaan import dan eksport daripada Pertubuhan Makanan dan Agrikultur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), untuk mengenal pasti lokasi di seluruh dunia, dengan bekalan daging merah dan daging proses semakin mudah diperoleh.

Mereka kemudian memeriksa penemuan itu dengan data kesihatan daripada maklumat pemantauan penyakit sedunia, projek Global Burden of Disease.

"Semakin banyak pengambilan produk daging merah dan daging proses menerusi perdagangan menyebabkan peningkatan penyakit tidak berjangkit yang berkaitan diet," lapor kajian itu dalam jurnal British Medical.



Kesan akibat diet yang tinggi pengambilan daging merah dan daging proses sudah diketahui ramai.

Namun, perdagangan antarabangsa bagi produk-produk itu juga mencetus impak yang besar, termasuk pengeluaran gas rumah hijau, kehilangan biodiversiti dan penyusutan habitat.

"Beberapa inisiatif antarabangsa dan garis panduan kebangsaan bagi deit yang lebih lestari secara jelas menyentuh soal impak lambakan perdagangan daging merentas negara," ujar mereka.

Dalam perangkaan, peningkatan kematian berkaitan di seluruh dunia adalah 75 peratus antara tahun 1993 dan 2018, dengan variasi besar berdasarkan rantau geografi.

Sementara peningkatan 55 peratus dalam kematian yang berkaitan dijangka terjadi di negara-negara maju, kadar peningkatan di negara membangun adalah lebih daripada dua kali ganda iaitu 157 peratus.

"Kadar yang lebih tinggi ini adalah kerana banyak negara membangun di seluruh dunia bergantung pada import daging merah dan daging proses untuk memenuhi permintaan mereka di bawah pertumbuhan urbanisasi dan pertambahan pendapatan,” lapor kajian itu.

Sepanjang bertahun-tahun kajian itu, disimpulkan bahawa negara-negara membangun telah meningkatkan import manakala negara kaya menambah nilai eksport.

Kajian itu mengesyorkan, untuk mencapai diet yang lebih sihat dan lestari, dialog antarabangsa perlu disertai badan kesihatan dan perdagangan.

Memandangkan semuanya masih dalam pemerhatian, kajian itu boleh mengesyorkan, namun bukan mengesahkan hubungan antara perdagangan daging dan penyakit berkaitan diet.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !