KUALA LUMPUR: Pereka artistik terkenal Firdaus Othman yang pernah tular dengan rekaan kreatif pelamin di majlis pernikahan penyanyi tersohor Yuna, dilaporkan meninggal dunia pada usia 32 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.02 pagi Jumaat di Hospital Sungai Buloh, Selangor. 

Pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh tim Firdaus Othman Design (FOD) di akauan Instagram.

FOD sentiasa memuat naik dari semasa ke semasa keadaan kesihatan Firdaus di media sosial sehingga kali terakhir FOD memaklumkan tentang keadaan Firdaus yang semakin kritikal dan bantuan pernafasan Allahyarham terpaksa dihentikan pada Khamis.

Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 6 Oktober lalu selepas mengalami kemerosotan kesihatan selama sebulan.

Allahyarham kemudian menjalani pembedahan pada 8 Oktober setelah disahkan terkena jangkitan kuman pada otak.

Nama Allahyarham melonjak naik ketika menjadi Pengarah kreatif The Calla.

Rekaan set pelamin bagi pernikahan Yuna dan suaminya Adam Sinclair hasil rekaan beliau di sebuah resort di Pahang menjadi tular dan dikagumi ramai kerana menggunakan elemen alam semula jadi dan bunga liar tempatan.

Pelamin pernikahan Yuna dan Adam Sinclair merupakan ilham kreatif Allahyarham Firdaus Othman.

Sejak itu, Allahyarham mendapat kepercayaan artis terkemuka untuk mereka hias set persembahan termasuk set persembahan Sufian Suhaimi di Anugerah Juara Lagu ke-33 bagi lagu Di Matamu.

Selain itu, Allahyarham juga bersama FOD mengukir nama dengan mereka hias set bagi video klip (MV) bagi beberapa artis terkenal antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza (Siapa Tak Mahu, Anakanda) dan Nabila Razali (Peluang Kedua).

Allahyarham akan dikebumikan di rumah keluarganya di Felda Palong, Negeri Sembilan selepas solat Asar.