KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu tampil lebih banyak inisiatif melahirkan lebih ramai penjaga bertauliah dalam kalangan warga muda berkhidmat di pusat komuniti warga emas.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Zumilah Zainalaludin memberitahu, tugasan ini melibatkan di pelbagai peringkat termasuk penyantun, penjaga dan pemandu golongan warga emas.

"Tetapi mereka perlukan latihan. Mereka perlu ada lesen. Yang ini tugas kerajaan menyediakan modul membangunkan agensi atau mengiktiraf pemberian sijil kepada pelatih yang layak boleh menjaga warga emas. Demensia contohnya.

"Mereka yang boleh layak menjaga warga emas bed ridden. Ini amat perlu. Kalau boleh diturunkan di peringkat sekolah menengah ia amat perlu," katanya dalam program Pantau Belanjawan pada Selasa.

Jelasnya, usaha menarik lebih ramai golongan muda untuk terjun dalam bidang penjagaan warga emas perlu bermula di peringkat sekolah menengah.

Tambahnya, industri penjagaan warga emas ini bukan sahaja menjana pendapatan menarik malah dapat membantu golongan warga emas kembali aktif di pusat komuniti tersedia.

"Kalau boleh diturunkan di peringkat sekolah menengah ia amat perlu supaya warga muda nampak apa peluang pekerjaan baru. Ini sektor baru, orang tak nampak.

"Walhal ini satu sektor baru yang berdaya maju menyediakan peluang pekerjaan, peluang perniagaan, macam-macam peluang untuk warga muda," kata beliau lagi.