Persekitaran kerja secara hibrid, masa depan dunia pekerjaan

Agensi
Oktober 31, 2021 09:03 MYT
Norma baharu mula menguasai dunia dan ramai pakar berpendapat, persekitaran kerja secara hibrid kini adalah masa depan dunia pekerjaan. - Gambar hiasan
COVID-19 mengubah segalanya... kehidupan manusia, dunia pekerjaan, sistem kesihatan. Semuanya berubah angkara virus tersebut.
Bekerja dari rumah, mesyuarat secara maya, pengajian secara tidak bersemuka sebelum ini mungkin hanya cadangan semata-mata namun kini menjadi nyata.
Norma baharu mula menguasai dunia dan ramai pakar berpendapat, persekitaran kerja secara hibrid kini adalah masa depan dunia pekerjaan.
Kajian daripada Gartner mendapati, 99 peratus sumber manusia mengharapkan pekerja bertugas dalam beberapa bentuk susunan pekerjaan secara hibrid pada masa hadapan.
Bahkan, menurut kajian tersebut, banyak syarikat sudah mula melakukannya seperti Dropbox yang melakukan perubahan semasa pandemik, membenarkan sebehagian pekerja bekerja dari rumah dan sebahagian lagi di pejabat.
Pensyarah dari Drake University, Alana Mitchell berkata, susunan kerja secara hibrid mungkin berbeza buat setiap syarikat namun kajian menunjukkan, banyak syarikat gagal dalam melaksanakan konsep kerja secara virtual.
Justeru, beliau mencadangkan, dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja secara hibrid, aturan mesyuarat harus diubah dan mengadakan mesyuarat yang benar-benar penting sahaja.
Menurutnya, tidak semua orang perlu hadir pada setiap mesyuarat, namun pihak pengurusan perlu mengambil strategi berkesan untuk memastikan tiada siapa yang berasa tersisih.
Sentiasa mendengar aduan pekerja adalah penting untuk memastikan persekitaran hibrid berfungsi dan mendapatkan maklum balas pekerja secara berterusan melalui pelbagai medium juga sangat penting.
Selain itu, pihak pengurusan dan pekerja perlu memastikan ketelusan dalam komunikasi dan pemahaman mereka berbubung susunan kerja secara hibrid.
Polisi perlu ditetapkan bagi menentukan tugasan yang perlu dilakukan bagi mereka yang bertugas di pejabat dan dari luar pejabat.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#hibrid #dunia pekerjaan #masa depan #pandemik