KUALA LUMPUR: Niat nak berkarya tak salah tapi jangan sampai hilang identiti sesebuah budaya. Revolusi dalam rekaan kostum kebangsaan yang dibawa ke pentas peragaan antarabangsa dilihat seolah 'dipersendakan'.

Pensyarah Rekaan Fesyen Kolej Komuniti Raub, Fara Azeerin Abdul Karim berpendapat wujudnya masalah ini disebabkan kurang cakna mengenai adat istiadat budaya.

Kongsinya, membawa kostum kebangsaan mewakili negara pereka fesyen perlu memahami sekali gus menghormati identiti pakaian kaum dihasilkan.


“Saban tahun, kita menyaksikan perubahan rekaan kostum kebangsaan yang mewakili negara di pentas dunia. Pilihan yang memberi inspirasi telah mengubah tujuan utama busana kostum kebangsaan sehingga menghasilkan rekaan yang tidak mempunyai elemen reka bentuk melambangkan identiti kebangsaan.

“Contohnya, kostum kebangsaan yang mewakili negara Jepun mempunyai identiti tradisional dengan elemen kreativiti yang tidak berubah. Mereka memartabatkan rekaan kostum mereka tanpa ‘melanggar’ adab dan budaya,” katanya.

Tambah Fara, adab berpakaian bagi menghormati sesebuah budaya perlu dipupuk terutama golongan muda yang merupakan penyambung warisan.

Jika dilihat pada rekaan-rekaan kostum yeng telah dihasilkan, berlakunya evolusi rekaan yang amat besar sehingga hilang nilai estetika sedangkan ia seharusnya dipelihara demi memartabatkan identiti budaya.


Apa yang perlu ditonjolkan pada kostum kebangsaan dalam memartabatkan identiti budaya?

Gabungan elemen tradisional dan inspirasi dalam rekaan kostum kebangsaan dapat menghasilkan rekaan yang mengetengahkan kesopanan yang menjadi budaya masyarakat kaum Melayu.

“Ada pereka fesyen yang tidak membuat kajian dan hanya meniru rekaan sedia tanpa menitik berat merosakkan nilai sesebuah budaya. Sedangkan dari segi adabnya, kita perlu menghormati dan pertahankan busana tradisi yang ada. Jika ingin membuat perubahan sekali pun, pastikan perubahan yang tidak merosakkan.

“Elemen potongan dan motif rekaan perlu ditekankan dalam rekaan kostum kebangsaan jika pereka ingin memartabatkan tradisi dan budaya sebelum dibawa ke pentas dunia,” katanya.

Rekaan baju juga perlu sesuai dengan acara seperti majlis perkahwinan, perayaan atau kepercayaan. Warna pula merujuk kepada penggunaan warna dan keaslian berlandaskan hormat dan jati diri.


“Potongan rekaan merujuk kepada bentuk potongan yang terdapat pada pakaian tradisional seperti baju kurung, baju kebaya dan baju Melayu dan sebagainya.

“Motif rekaan merujuk kepada penggunaan motif yang terdapat pada fabrik seperti tenunan songket, sulaman tekat serta motif pada anyaman. Dari segi pemilihan fabrik sebaiknya dengan mengekalkan fabrik yang digunakan dalam pakaian tradisi Melayu seperti songket, pelikat, kain limar yang mencerminkan identiti Melayu.

“Elemen ini perlu ditekankan kerana ini adalah kriteria yang diperlukan dalam reka bentuk terutama ketika menghasilkan rekaan khas yang boleh memartabatkan tradisi Melayu sebelum diperaga di pentas antarabangsa,” katanya.