Pastinya ramai yang masih teringat pengalaman bermain tarik upih semasa zaman kanak-kanak membesar di kampung.

Upih pinang yang jatuh dari pokok pinang diguna untuk menarik kawan yang duduk di atas upih tersebut.

Namun tahukah anda ia juga boleh digunakan untuk mengisi makanan?

Menceritakan pengalaman membesar di estet getah di Tampin, Negeri Sembilan, Ayamany Sinakalai, 62 tahun berkongsi bagaimana neneknya membungkus makanan menggunakan upih pinang.

Idea itu membuka matanya terhadap kegunaan dan keistimewaan upih pinang sehingga terciptanya produk bekas makanan mesra alam, Fallaleaf.

Tan Su Lin
Peringkat memproses upih yang selalunya dibuang kini digunakan untuk menghasilkan pinggan-mangkuk dan pelbagai barangan dapur. - Foto Astro AWANI/TAN SU LIN
Upih yang yang selalunya hanya dibuang begitu sahaja kini digunakan untuk menghasilkan pinggan, mangkuk, sudu dan garfu.

"Sewaktu saya di sekrendah dahulu, nenek saya menggunakan upih pinang untuk membalut thosai. Dia akan cuci upih itu dan parut belakangnya sehingga jadi nipis dan menjemurnya."

"Ia kemudian digunakan nenek saya untuk membungkus makanan untuk saya bawa ke sekolah. Dari pagi saya pergi ke sekolah sehingga jam 3 petang, makanan masih dalam keadaan baik dan tidak rosak. Dari situ idea ini tercetus" kata Ayamany yang juga pengasas perusahaan Fallaleaf, produk bekas makanan mesra alam sejak 2012 di bawah syarikat Jesa Enterprise Sdn Bhd.

Pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Rukun Tetangga Jalan Carey, Petaling Jaya, pemerhatian Ayamany terhadap tahap pembuangan bekas plastik dan polisterin dengan kadar mengejutkan juga mendorongnya untuk menghasilkan inovasi itu.

"Selalunya penduduk setempat akan berkumpul untuk melakukan gotong-royong di sekitar kawasan perumahan kami. Saya amat terkejut melihat begitu banyak bekas makanan plastik dan polistrin yang dibuang merata-rata dan mencemarkan alam sekitar.

"Di situ saya terfikir perlunya alternatif bekas makanan yang lebih mesra alam dan boleh diurai." kata Ayamany yang mempunyai latar belakang dalam kejuruteraan mekanikal.

Menurutnya, kebanyakan upih pinang dibekalkan dari Pahang, Kelantan dan beberapa negeri lain khususnya di perkampungan orang asli.

Selepas dibersihkan menggunakan air bertekanan tinggi, daun dikeringkan menggunakan cahaya matahari sebelum dibentuk menggunakan mesin acuan dengan suhu antara 75 hingga 110 darjah Celsius.

Ia kemudian akan melalui pancaran sinaran ultra-violet (UV) untuk membasmi kuman sebelum dipek untuk dijual di pasaraya.

100 peratus bebas bahan kimia, produk upih pinang itu selamat digunakan dalam ketuhar mikro atau disimpan dalam peti sejuk.

Uniknya, berbanding bekas styrofoam dan bahan plastik pakai buang yang lain, produk ini juga tahan lasak dan boleh dikitar semula.

"Setelah digunakan, pinggan upih ini boleh dibasuh dengan air dan sabun, kemudian lap dengan tuala dan keringkannya untuk diguna semula. Saya selalu akan guna semula pinggan ini sehingga 15 kali, sehingga bentuk acuannya mula luruh. Malah ada pelanggan saya yang menggunakannya sehingga sebulan!" katanya.

Bermula dengan 5,000 keping pinggan sehingga kini 80,000 produk itu telah dihasilkan termasuk untuk tujuan eksport ke Singapura dan Australia.

"Ketika itu, saya memikir bagaimana memasuki pasaran di Singapura. Saya pergi dari kedai ke kedai di Singapura untuk melihat sama ada produk saya akan mendapat sambutan ramai."

"Ada seorang individu mencadangkan saya pergi ke gerai makanan dekat lapangan terbang lama di Kallang untuk cari peniaga char kuey teow yang terkenal. Mungkin dia boleh tolong kerana bilangan pelanggannya ramai."

Ayamany menceritakan bagaimana dia berjaya mendapat pelanggan tetapnya yang pertama di Singapura.

"Saya sampai pusat gerai makanan itu dan saya pun beratur untuk char kuey teow. Apabila tiba giliran saya, saya memberitahu peniaga itu, saya mahu makanan saya dihidangkan atas pinggan upih yang telah saya bawa itu."

"Dia sedikit hairan tetapi ikut sahaja. Tetapi apabila masakan panas itu diletakkan atas pinggan saya, dia terkejut kerana pinggan upih itu mengeluarkan bau aroma yang begitu harum."

"Apabila saya duduk untuk menikmati makanan saya, dia terus datang dan bertanyakan tentang pinggan itu."

Sejak daripada itu, Ayamany membekalkan kira-kira 15,000 keping pinggan kepada gerai itu setiap bulan.

Pinggan mangkuk upih, Fallaleaf juga pernah digunakan dalam rancangan masakan popular, Masterchef Australia

Kini, pihak Ayamany sedang giat menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap reka bentuk bekas makanan terbaik berasaskan upih pinang agar ia dapat digunakan untuk menggantikan bekas polisterin yang mencemarkan alam sekitar.

Oleh kerana ia diperbuat daripada 100 peratus upih pinang, selepas digunakan, ia mudah terurai menjadikannya alternatif lebih baik daripada bekas polistrin dan plastik yang tidak dapat diuraikan dan kekal selamanya di muka bumi.

"Apabila habis guna, pinggan upih boleh dilupuskan dengan menanam semula dalam tanah atau dicarik-carikkan dan letak dalam pasu bunga, kerana ia adalah bahan organik justeru dapat bertindak seperti baja kompos semulajadi." kata Ayamany.

Mudah didapati di pasaraya besar dalam negara, produk Fallaleaf dijual pada sekitar RM5 hingga RM8.90.

Namun Ayamany percaya, dengan permintaan yang semakin meningkat, harga itu akan dapat dikurangkan.