Rasa keropok lekor di Pasar Payang 'lebih isi ikan' dari tempat lain - Pengunjung

Hafizi Rosli
Oktober 24, 2022 04:20 MYT
Pasar Kedai Payang atau Pasar Payang di Kuala Terengganu dikunjungi ribuan pengunjung bagi mendapatkan makanan dan produk tempatan terutama ketika cuti hujung minggu dan cuti umum - Astro AWANI/Hafizi Rosli
KUALA TERENGGANU : Sebut sahaja Kuala Terengganu, tidak sah kunjungan anda ke ibu negeri Terengganu itu tanpa berkunjung ke Pasar Kedai Payang atau Pasar Payang.
Cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti umum perayaan Deepavali ini digunakan sebaiknya pengunjung untuk membeli makanan dan produk tempatan untuk dibawa pulang.
Pelbagai jenis produk tempatan dijual di sini yang bagi pengunjung, ia lokasi wajib dilawati sebelum mereka pulang.
Menurut pelancong dari Johor, Muhamad Afifi Zainorain, dia akui makanan Terengganu yang dijual di Pasar Payang ini jauh lebih baik dari tempat lain.
“Di Pasar Payang ini kalau keropok lekor, isinya banyak ikan berbanding tempat lain isi tepung yang lebih.
“Jadi saya tak lepas peluang untuk beli dan akan bagi kepada rakan-rakan dan keluarga lain,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI.
Bagi Nur Emiliana Jaamat pula yang dari Melaka, di Pasar Payang ini pelbagai jenis makanan tempatan dijual.
“Di sini semua jenis makanan Terengganu yang sedap-sedap dijual. Mudah untuk kami beli dengan harga yang boleh tawar-menawar.
Jelas pelancong dari Johor ini, lokasi ini sesuai untuk dikunjungi walaupun yang sudah berkeluarga.
“Saya bawa isteri dan anak-anak, walau menunggu mereka beli tapi saya boleh juga beli barangan seperti pakaian batik, kraf dan sebagainya.
Situasi ini pastinya memberi manfaat kepada peniaga-peniaga, mereka boleh menjana keuntungan dengan kehadiran ribuan pengunjung ini.
Bagi peniaga makanan tempatan, Muhammmad Irsyad Mohd Safiee, sambutan minggu cuti ini sangat baik sehingga bekalan terpaksa ditambah setiap hari.
“Alhamdulillah keropok lekor saya jual ini perlu ditambah stoknya setiap hari, jadi situasi ini jauh berbeza sebelum ini ketiak pandemik dahulu,” jelasnya.
Perusahaan batik oleh Siti Rabihah Ahmad juga mendapat sambutan menggalakkan terutama dari pelancong luar.
“Sini ramai pelancong luar negeri lah yang datang membeli, kalau cuti sekolah dan cuti panjang memang kami akan kerja keras kerana banyak jualan,” ujarnya.
Dengan suasana begini, ia dapat memberi nafas lega buat pengusaha yang sebelum ini terkesan susulan Pandemik COVID-19 tidak dapat berniaga.
#Pasar Payang #keropok lekor #terengganu #pelancong