GAYA HIDUP
‘RASA’ Merdeka! Sorot erti kemerdekaan melalui seni dan budaya

Tema RASA Merdeka! bukan sekadar meraikan Hari Kemerdekaan, malah mengajak masyarakat untuk merenung semula makna kebebasan dalam kehidupan seharian. - Foto Senimalaya
KUALA LUMPUR: Dalam semangat menyambut bulan kemerdekaan, sebuah galeri seni, budaya dan warisan baharu, Ruang Teduh, membuka tirainya dengan pameran seni visual sulung bertajuk ‘RASA’ Merdeka!
Ringkasan AI
- Galeri baharu Ruang Teduh di TRX buka tirai dengan pameran sulung RASA Merdeka!, mengetengahkan tafsiran seni tentang kebebasan dan identiti Malaysia.
- Sebanyak 31 seniman terlibat, dengan karya pelbagai gaya dan medium yang mencerminkan kekuatan ekspresi serta kritikan sosial terhadap rasa malu beridentiti.
- Pameran dibuka hingga 16 September 2025, sebagai ruang inklusif untuk masyarakat umum alami seni kontemporari di tengah ibu kota.
Menurut kenyataan media, tema ‘RASA’ Merdeka! bukan sekadar meraikan Hari Kemerdekaan, malah mengajak masyarakat untuk merenung semula makna kebebasan dalam kehidupan seharian.
“Pameran ini merupakan kritikan sosial terhadap sikap masyarakat yang kurang berbangga dengan identiti sendiri. Kemerdekaan sebenar bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan untuk berdiri teguh dengan identiti tanpa rasa rendah diri,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak 31 seniman terlibat dalam pameran ini, antaranya Masnoor Ramli, Johan Marjonid, Ahmad Shukri Mohamed, Long Thien Shih, Hamir Soib, Rafiee Ghani, Ramlan Abdullah, Bayu Utomo, Kide Baharudin, Azizan Paiman, Husin Othman, Umibaizurah Mahir, Azzaha Ibrahim, Lina Tan, Abdullah Jones dan Suddin Lappo.
Karya-karya yang dipamerkan memperlihatkan kekuatan ekspresi dan pelbagai tafsiran visual, dengan kepelbagaian gaya serta medium yang digunakan, menjadikan pameran ini sebagai sebuah pengalaman seni yang segar dan berlapis.
Galeri Ruang Teduh ditubuhkan dengan aspirasi untuk menjadi ruang seni kontemporari yang terbuka dan inklusif, serta berfungsi sebagai titik temu antara komuniti seni dan masyarakat umum.
‘RASA’ Merdeka! dibuka kepada orang ramai sehingga 16 September 2025.
Pengunjung berpeluang menyaksikan karya seni segar dan penuh pemikiran sambil merasai suasana sebuah ruang seni yang muncul di mercu tanda ikonik ibu kota.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami