Restoran stik perjelas isu sijil halal, mohon maaf pada JAKIM

Nizam Bakeri
Jun 28, 2016 00:04 MYT
TTDI Meat Point menegaskan komitmen untuk menyediakan stik halal untuk para pelanggan - Foto Facebook/TTDI Meat Point
Sebuah restoran stik, TTDI Meat Point hari ini memohon maaf kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berikutan dakwaan terhadap pegawai JAKIM yang meminta rasuah dengan sengaja melengah-lengahkan urusan berkaitan sijil halal.
Penjelasan di laman rasmi Facebook TTDI Meat Point turut mendedahkan punca sebenar kelewatan tersebut iaitu syarikat konsultan halal yang memohon sijil halal bagi pihak restoran itu.
Menurut TTDI Meat Point, syarikat tersebut beberapa kali memulangkan semula kertas kerja permohonan sijil halal dengan pelbagai alasan seolah-olah sengaja menyukarkan permohonan tersebut.
Salah anggap jadi viral
Dakwaan tersebut mula viral di media sosial pada Ahad apabila salah seorang pengguna sebuah forum bertanya mengenai logo halal yang sudah tidak dipamerkan oleh TTDI Meat Point.
Kelewatan dan kesukaran mendapatkan sijil halal menyebabkan salah seorang pemilik restoran itu berkongsi ‘anggapannya’ di laman forum tersebut bahawa masalah tersebut dicetuskan oleh pegawai JAKIM yang sengaja menangguhkan urusan untuk mendapatkan rasuah.
Penjelasan awal di ruang forum tersebut kemudiannya dikongsi di laman sosial lain.
Dihubungi JAKIM
Pihak pengurusan restoran itu telah dihubungi oleh Bahagian Hab Halal JAKIM dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bertemu bagi menjernihkan keadaan.
“Bagi pihak pengurusan, pemilik, keluarga, dan seluruh entiti TTDI Meat Point, kami ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat terutama sekali JAKIM atas tuduhan berat tersebut,” jelas pemilik restoran dalam laman Facebook.
#Halal #JAKIM #Kini Trending #status halal #TTDI Meat Point