KUALA LUMPUR: Ketika melangkah ke tahun baharu, satu daripada azam paling lazim ialah menurunkan berat badan atau memulakan gaya hidup lebih sihat dan aktif serta kegiatan sukan penuh adrenalin sering memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mendorong had mereka.

Bagaimanapun, di sebalik prestasi fizikal terbaik terdapat risiko tersembunyi iaitu potensi jantung terhenti tiba-tiba (SCA) dan kematian mengejut (SCD) berlaku.

Kejadian kes jantung terhenti melibatkan atlet terkemuka di seluruh dunia mencabar kepercayaan tradisional bahawa kecemerlangan olahraga secara semula jadi menjamin kesihatan jantung, mendorong kajian lebih dalam mengenai dinamik rumit antara rejim latihan intensif dengan kesejahteraan kardiovaskular.

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Tee Chee Hian berkata, aritmia yang dicirikan oleh irama jantung tidak normal, boleh berlaku apabila jantung berdegup teramat laju, terlalu perlahan atau tidak teratur dan keadaan itu boleh mengganggu pengecutan dan pengenduran yang diselaraskan jantung, berpotensi mengakibat komplikasi serius termasuk SCD.

"Aritmia boleh mencetuskan SCD dengan menjejaskan fungsi pengepaman jantung, membawa kepada penurunan aliran darah secara tiba-tiba, menyebabkan ketidakstabilan hemodinamik, mengurangkan bekalan oksigen ke organ dan dalam kes yang teruk, mendorong fibrilasi ventrikel (VF) yang boleh mengakibatkan pesakit tidak sedarkan diri dan jika tidak dirawat menyebabkan kematian mengejut," katanya dalam kenyataan.

Dr Tee berkata, mengetahui faktor risiko yang berkaitan dengan aritmia adalah penting, merangkumi pemahaman mengenai gejala dan kesedaran terhadap kumpulan umur yang lebih terdedah dengan keadaan ini.

Beliau berkata, aritmia boleh muncul melalui degupan jantung laju, pening, pengsan, rasa tidak selesa pada dada, sesak nafas dan keletihan, manakala sensasi biasa namun berbeza sering dilaporkan ialah perasaan jantung yang berdebar-debar.

Walaupun aritmia boleh memberi kesan kepada individu pada sebarang usia, Dr Tee berkata, risiko berbeza-beza mengikut kumpulan umur yang dipengaruhi oleh faktor seperti penuaan, penyakit jantung, kecenderungan genetik dan pilihan gaya hidup.

"Penyumbang utama kepada risiko aritmia dan kematian mengejut termasuk penyakit jantung, sejarah serangan jantung, ubat-ubatan tertentu, faktor genetik dan pilihan gaya hidup seperti merokok dan pengambilan alkohol secara berlebihan," katanya, menekankan kepentingan pemeriksaan berkala dan rawatan segera bagi keadaan jantung tersembunyi untuk mengurangkan kemungkinan komplikasi.

Beliau berkata, paling ketara, aritmia boleh mempunyai komponen yang diwarisi dan dalam beberapa kes, SCA dikaitkan dengan senaman berlebihan, terutamanya dalam kalangan atlet.

Sambil menyokong azam untuk gaya hidup yang lebih aktif, Dr Tee bagaimanapun menasihatkan supaya berhati-hati bahawa senaman berlebihan atau penuh intensiti, khususnya mereka yang tidak biasa atau mempunyai masalah jantung, dapat meningkatkan risiko aritmia dan dalam kes yang teruk, menyebabkan SCA.

Beliau berkata, tanda-tanda amaran yang menunjukkan senaman berlebihan termasuk petunjuk fizikal dan berkaitan prestasi seperti keletihan berterusan, penyakit yang kerap, perubahan dalam pola tidur dan penurunan atau kemerosotan prestasi serta tanda psikologi dan fisiologi seperti gangguan mood, haid yang tidak teratur dan perubahan dalam kadar denyutan jantung.

"Selain itu, mengetahui had individu juga penting. Sebagai contoh, individu yang mengalami masalah berat badan dinasihatkan untuk memulakan perjalanan kecergasan secara beransur-ansur, memilih aktiviti berimpak rendah dan sentiasa berwaspada dengan gejala seperti sakit dada, sesak nafas atau debaran.

"Pendekatan pencegahan ini memastikan seseorang tidak terlalu memaksa diri tanpa disedari," katanya sambil menekankan kepentingan rutin senaman yang lengkap, rehat secukupnya, pemakanan yang betul dan pemulihan yang mencukupi untuk memupukan pendekatan sihat terhadap aktiviti fizikal.

Dr Tee berkata, pelbagai kaedah diagnostik tersedia untuk mengenal pasti dan memahami aritmia seperti elektrokardiogram (ECG atau EKG), peralatan yang digunakan secara meluas untuk merekodkan aktiviti elektrik jantung, cekap dalam mengesan ritma tidak normal.

"Variasi mudah alih seperti monitor Hotler juga ada, menawarkan pemantauan berterusan yang membolehkan keupayaan merakam aritmia bersela yang tidak jelas dalam ECG standard," katanya.

Dr Tee juga menekankan kepada kepentingan mengetahui dan memantau kadar degupan jantung normal sebelum dan selepas senaman, walaupun individu tidak mengalami sebarang gejala kerana tindakan ini membantu mengenal pasti masalah yang mungkin timbul, dengan lebih awal.

Justeru, beliau berkata, berunding dengan profesional penjagaan kesihatan adalah penting kerana mereka dapat menyelaraskan intervensi berdasarkan pendekatan diagnostik individu, memastikan diagnosis yang tepat untuk kesihatan jantung optimum.

Beliau berkata, sekiranya berlaku SCA, selain meminta bantuan kecemasan, langkah-langkah pertolongan cemas segera seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dapat dibuat untuk menangani situasi berkenaan.

Dr Tee juga menekankan kepentingan melengkapkan diri dengan kemahiran asas CPR yang berpotensi meningkatkan peluang hidup dengan ketara sementara menunggu bantuan profesional.

"Dengan memahami aritmia, mengetahui faktor risiko dan melakukan pilihan yang bermaklumat tentang senaman, individu boleh mengambil langkah signifikan ke arah gaya hidup yang sihat untuk jantung," katanya.

SMCV terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan sila hubungi +603 9772 9191 atau e-mel kepada [email protected] dan maklumat lebih lanjut layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Velocity). - BERNAMA