Rumah berharga RM300,000 dan ke atas bukan mampu milik - BNM

Bernama
Mei 4, 2018 20:51 MYT
BNM beri respons kepada laporan yang memetik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) sebagai berkata rumah mampu milik berharga antara RM300,000 hingga RM500,000. - Gambar fail
Rumah berharga antara RM300,000 dan RM500,000 tidak boleh dikategorikan sebagai rumah mampu milik bagi isi rumah yang memperoleh pendapatan sederhana, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Ia berkata, berdasarkan pendekatan Beban Kos Perumahan, harga maksimum sebuah rumah mampu milik dianggarkan hanya RM282,000 berikutan pendapatan isi rumah sederhana 2016 sebanyak RM5,228 seperti yang diterbitkan dalam Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan.
"Rumah dalam lingkungan harga RM300,000 hingga RM500,000 melepasi apa yang mampu dimiliki oleh isi rumah yang memperoleh pendapatan sederhana di Malaysia," katanya di laman sesawang Factwatch.my pada Jumaat.
Bank pusat itu memberi respons kepada laporan yang memetik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) sebagai berkata rumah mampu milik berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.
"Definisi harga rumah mampu milik yang dipetik dalam artikel itu tidak tepat," katanya.
BNM berkata, data suku keempat 2017 (4Q17) Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan hanya 39 peratus pelancaran perumahan baru berharga sehingga RM300,000 dalam tempoh 2016-2017.
"Pelancaran itu tidak mencukupi untuk menampung permintaan 50 peratus daripada isi rumah di Malaysia yang berpendapatan sederahana.
"Data tersebut juga menunjukkan isu rumah mampu milik yang tidak terjual berharga kurang daripada RM300,000 adalah yang paling sedikit berbanding harga lain," katanya.
Data 4Q17, kata BNM, menunjukkan unit kediaman yang tidak terjual di bawah RM300,000 merupakan kadar paling rendah bagi jumlah harta kediaman tidak terjual yang sedang dibina di Malaysia pada 20 peratus, diikuti oleh rumah berharga antara RM300,000 dan RM500,00 (35 peratus) dan yang melebihi RM500,000 (45 peratus).
Ia berkata, pewujudan pangkalan data bekalan dan permintaan perumahan bersepadu adalah penting, memandangkan cabaran mengenal pasti titik harga yang betul di lokasi yang sesuai untuk bekalan perumahan baru.
"Ini adalah untuk memastikan penawaran perumahan baru disesuaikan dengan pendapatan dan profil demografi isi rumah di pelbagai lokasi.
"Selain harga pelancaran baru, aspek lain seperti perhubungan dari pusat pekerjaan dan ruang kehidupan yang mencukupi juga adalah penting," tambah BNM.
-- BERNAMA
#bank #Bank Negara Malaysia #BNM #ekonomi #kemampuan #pendapatan #rakyat #rumah mampu milik