GAYA HIDUP

Rumah Ronald McDonald di HPUSM jadi ‘rumah kedua’ keluarga Pantai Timur

Astro Awani 03/12/2025 | 04:00 MYT
(Dari kiri) Zaidi Zakaria, Wan Siti Rodiah Wan Azmi dan Rosmawati Muhammad Salleh bersama anaknya adik Muhammad Fayat Iman, penghuni Rumah Ronald McDonald di HPUSM; Nasri Nordin. - Foto McDonald’s Malaysia
KOTA BHARU: Bagi keluarga dari Pantai Timur yang terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam dari kampung halaman demi mendapatkan rawatan pakar di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), kewujudan Rumah Ronald McDonald (RMH) bukan sekadar tempat berteduh, ia menjadi penyelamat ketika anak mereka diuji dengan penyakit serius.


Ringkasan AI
  • Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memberi bantuan kepada keluarga dari Pantai Timur dengan menyediakan penginapan selesa berdekatan fasiliti perubatan tanpa tekanan kos tambahan.
  • RMH meringankan beban keluarga dari kawasan pedalaman seperti Gua Musang, Jeli, Besut dan luar Kelantan yang perlu hadir untuk rawatan intensif di HPUSM, mengurangkan tekanan fizikal, mental, dan kewangan yang ditanggung.
  • Operasi RMH di HPUSM mampu menampung sehingga 18 keluarga pada satu-satu masa, telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga selama lebih enam tahun, dan mendapat sokongan komuniti serta sukarelawan untuk menyediakan sokongan kepada keluarga pesakit pediatrik.


Terletak dalam kawasan hospital di Kubang Kerian, RMH berfungsi sebagai ‘rumah kedua’ yang menyediakan penginapan selesa, dekat dengan fasiliti perubatan dan bebas tekanan kos.


Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian berfungsi sebagai ‘rumah kedua’ untuk keluarga pesakit pediatrik yang memerlukan penginapan dekat hospital. - Foto McDonald's Malaysia

Ia membolehkan ibu bapa sentiasa berada di sisi anak tanpa perlu memikirkan jarak perjalanan atau beban kewangan tambahan.

“Konsep ini sangat membantu, seperti di Amerika Syarikat yang menyediakan hotel dalam kawasan hospital. Bila pesakit stabil, mereka boleh jalani rawatan harian atau doktor datang merawat. Ia memudahkan kedua-dua pihak, pesakit dan doktor,” kata Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr Zaidi.

Beliau berkata, RMH amat bermanfaat khususnya kepada keluarga dari kawasan pedalaman seperti Gua Musang, Jeli, Besut dan luar Kelantan yang perlu hadir untuk rawatan intensif atau temu janji susulan.


Antara kemudahan tersedia di RMH ialah bilik permainan dan ruang pembelajaran khas bagi membantu anak-anak kekal aktif dan bermain ketika menunggu untuk mendapatkan rawatan. - Foto McDonald's Malaysia

“Perjalanan dari Gua Musang ke HPUSM boleh mengambil masa tiga hingga empat jam. Bayangkan tekanan fizikal, mental dan kewangan yang ditanggung keluarga, apatah lagi jika perlu menyewa kenderaan. RMH benar-benar meringankan beban mereka,” jelasnya.

Selain tekanan logistik, beliau turut menekankan kesan emosi terhadap keluarga, terutamanya ibu bapa yang perlu menjaga anak di hospital sambil bekerja dan mengurus anak-anak lain di rumah.

“Kehadiran keluarga sangat penting untuk kestabilan emosi pesakit kanak-kanak. Dengan adanya RMH, tekanan itu dapat dikurangkan dan rawatan susulan juga lebih mudah kerana mereka tidak perlu berulang-alik beratus kilometer,” tambahnya.

RMH turut menyediakan pelbagai kemudahan mesra keluarga termasuk bilik permainan, ruang pembelajaran, bilik tidur selesa, privasi mencukupi serta penyediaan makanan sekali sehari, semuanya bertujuan mengurangkan beban kewangan dan emosi penginap.

Menurut Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), Mohd Nasri Mohd Nordin, RMH diwujudkan untuk menyokong keluarga pesakit pediatrik yang menjalani rawatan jangka panjang.

“Program ini dijalankan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Keutamaan diberikan kepada pesakit berumur 18 tahun ke bawah, dan boleh dilanjutkan hingga 21 tahun jika mereka dimasukkan sejak kecil,” katanya.

Beliau berkata, HPUSM merupakan hospital rujukan utama di Pantai Timur dan ramai keluarga terpaksa mengambil cuti panjang atau berhenti kerja apabila anak sakit.

“Kalau menginap di hotel, mungkin mampu untuk tiga malam. Tapi bagaimana jika rawatan berlarutan hingga tiga bulan atau tiga tahun? RMH membantu mengurangkan tekanan kewangan dalam situasi sebegini,” ujarnya.

RMH di HPUSM mampu menampung sehingga 18 keluarga pada satu-satu masa dan dibina atas tanah seluas lebih satu ekar.

Sejak ditubuhkan lebih enam tahun lalu, ia telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga dari seluruh negara.

Bilik penginapan selesa disediakan untuk keluarga, lengkap dengan privasi dan kemudahan asas bagi memastikan ibu bapa dapat berada dekat dengan anak sepanjang tempoh rawatan. - Foto McDonald's Malaysia

Operasi RMH turut mendapat sokongan komuniti, badan bukan kerajaan dan sukarelawan termasuk pelajar jururawat yang membantu mengajar kanak-kanak sementara menunggu rawatan.

“Kami komited menyediakan kemudahan sokongan kepada keluarga yang terpaksa menjadikan hospital sebagai rumah kedua demi rawatan dan temu janji. Di mana ada keperluan, di situ kami hadir,” kata Mohd Nasri.





#Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia HPUSM #Rumah Ronald McDonald RMH #keluarga #anak-anak