Bukan pelik untuk melihat sang tikus sebesar anak kucing berkeliaran di bawah kerusi di medan selera.
Bukan juga sesuatu yang bukan luar biasa untuk menghidu bau busuk daripada longkang yang terletak berhampiran meja makan tatkala sedang enak menjamu selera!
Cuma bagaimana perasaan anda jika berdepan dengan situasi yang penulis sebutkan tadi? Mungkin anda antara orang yang akan berasa jijik, loya tekak dan terus bangkit meninggalkan hidangan nasi kukus ayam dara yang ada di atas meja!
Apa reaksi anda jika penulis katakan di sebalik lokasi tempat makanan yang kotor, masih ramai yang sanggup berbaris panjang semata-mata ingin menikmati juadah diniagakan?
TINJAU MEDAN SELERA
Isu premis makanan yang kotor sememangnya bukan perkara baharu. Penulis baru-baru ini membuat tinjauan ke beberapa medan selera, gerai dan restoran di sekitar Lembah Klang untuk melihat sendiri keadaan berkenaan.
Cuma yang masih membuat penulis hairan pengunjung secara 'terang-terangan' dapat melihat sendiri persekitaran perniagaan makanan yang kotor tetapi mereka masih tetap berselera menikmatinya.
Dengan sampah bertaburan, longkang dipenuhi air berkeladak kerana sisa minyak dibuang ke dalamnya sehingga aliran tersekat, mereka seolah memandang sebelah mata sahaja.
Di sebuah medan selera di Ampang, paling memualkan tekak saya apabila kebanyakan pengunjung masih tetap berselera menikmati makanan walaupun tikus sebesar anak kucing berlari-lari di sekitarnya.
Mereka hanya angkat kaki apabila ternampak haiwan perosak itu berlegar-legar melalui tempat duduk dan kemudian meneruskan kembali menikmati makanan. Mengapa agaknya mereka bersikap demikian? Tidakkah ada rasa geli atau bimbang dijangkiti penyakit?
PALING UTAMA - SEDAP
"Benar, saya pun pernah mengalami situasi yang sama. Ini kerana, kebanyakan pengguna di Malaysia lebih cenderung mementingkan rasa makanan daripada kebersihan warung, medan selera dan restoran.
"Mereka (bukan semua) tidak kisah dengan keadaan kebersihan premis asalkan makanan yang dipesan sedap dan memenuhi selera," kata Dr. Shamsul Azahari Zainal Badari, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia (Makanan dan Kesihatan Pengguna) Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Bernama.
Hakikatnya, isu peniaga mahupun pengendali makanan yang mengabaikan kepentingan penjagaan kebersihan dan kesihatan dalam urusan perniagaan mereka bukanlah baharu bahkan ia sudahpun menjadi polemik dalam masyarakat kita.
Berkali-kali sudah isu ini dipaparkan dan dibahas sebelum ini sama ada menerusi media cetak, elektronik mahupun dengan kecanggihan teknologi tular di media sosial.
Paling hangat baru-baru ini apabila tersebar video pekerja restoran makanan daun pisang Raj's Banana Leaf Bangsar yang mencuci pinggan dengan menggunakan air kotor sehingga diarahkan tutup operasi serta-merta kerana melanggar etika kebersihan. Lesen perniagaan restoran itu sudah pun dibatalkan!
Menerusi rakaman video berdurasi 30 saat itu, seramai enam pekerja restoran tersebut dilihat mencuci pinggan di kawasan lopak air belakang premis sehingga menimbulkan kemarahan ramai pihak di atas sikap tidak bertanggungjawab pengusaha berkenaan.
TERUS BERLELUASA
"Ketika ramai 'bising' sikap sesetengah pengusaha yang menipu pelanggan dengan hanya menjaga kebersihan di ruang makan tetapi tidak pada dapur dan tandas, realitinya masih ramai pengunjung membanjiri premis yang sudah diketahui kotor.
"Malah, ada pula yang akan menularkan kedai makan yang dikatakan sedap sehingga berjaya menarik perhatian ramai.
"Kalau diperhatikan, apa yang tular di media sosial jelas menampakkan sesetengah premis menjual makanan di tepi longkang, tepi jalan yang sesak dengan kenderaan, tetapi tetap mendapat sambutan menggalakkan," kata Shamsul Azahari.
Permasalahan ini masih berlaku bukanlah berpunca daripada kurang kesedaran tetapi lebih kepada 'kedegilan' pengguna, ujarnya.
Ini disebabkan, masih ramai yang memandang ringan kesan sampingan kesihatan kerana terus memilih menjamu selera di restoran, gerai yang kotor walhal berlambak sahaja premis lain yang utamakan kebersihan.
Bagi mereka, 'selama ini selamat je' adalah antara alasan yang kerap diberikan bagi 'menghalalkan' cara disebabkan tidak pernah terkena sebarang keracunan makanan tatkala menikmati hidangan di premis sedemikian rupa.
Malah, kes mangsa pencemaran makanan akibat menjamu selera di warung, premis tidak bersih yang banyak didedahkan media juga tidak berjaya menyedarkan mereka.
SAMPAI BILA?
"Selain faktor 'sedap', faktor harga menjadi sebab mengapa masih ramai memilih ke premis yang diperkatakan.
"Ini secara tidak langsung menyebabkan pengusaha makanan mengabaikan aspek kebersihan kerana yakin pelanggan tetap akan datang walaupun kotor.
"Situasi ini amat menyedihkan kerana sikap pengguna yang tidak mengambil kisah mengenai keselamatan makanan akan membuatkan masalah premis makanan kotor terus berlanjutan," kata Shamsul Azahari.
Walau bagaimanapun, sampai bila situasi ini perlu dibiarkan berleluasa di negara kita?
Dalam hal ini, orang ramai tidak hanya boleh menuding jari kepada kerajaan mahupun pihak berkuasa tempatan.
Ini memandangkan sudah banyak kempen, pemeriksaan keselamatan makanan, notis, kompaun mahupun tindakan tegas seperti penutupan operasi diambil ke atas pihak yang melanggar peraturan kebersihan.
KUASA PENGGUNA
Kementerian Kesihatan (KKM) misalnya sentiasa memantau dan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menjalankan pemeriksaan premis makanan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan terjamin.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata: " Dari tahun 2016 hingga kini, sebanyak 289,919 pemeriksaan premis makanan di seluruh negara dijalankan di mana 5,587 atau 2 peratus premis makanan tidak bersih termasuk restoran dan kedai makan telah ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983."
Di samping itu, sebanyak 40,288 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Orang ramai perlu mempunyai sikap sensitif terhadap kebersihan makan di warung, premis dan restoran serta tidak boleh lagi bersikap 'tidak kisah'.
"Gunakan kuasa pengguna dengan hanya memilih premis yang mempunyai tanda gred ditetapkan PBT dan boikot pengusaha makanan yang tidak mengutamakan kebersihan.
"Jangan pandang remeh akan kepentingan keselamatan makanan kerana tahap kesihatan kita sama ada untuk jangka masa pendek mahupun panjang sangat berkait rapat dengan apa yang dimakan setiap hari," kata Shamsul Azahari.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Jul 05 2018
Rakyat Malaysia perlu menggunakan kuasa pengguna untuk memastikan mereka membuat pilihan terbaik ketika menikmati makanan di luar rumah. - Gambar hiasan
'Ada berbincang dengan PKR, tapi saya belum buat keputusan' - Tengku Zafrul
Tengku Zafrul belum membuat sebarang keputusan berhubung penyertaan dalam mana-mana parti politik.
Banjir di Pahang semakin pulih, mangsa di Johor kekal 36 orang
Kesemua mangsa berkenaan dari daerah Maran yang berlindung di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian.
10 Berita Pilihan - (15 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Sekurang-kurangnya 11 maut selepas Siklon Chido melanda wilayah Mayotte, Perancis
Sekurang-kurangnya 11 orang disahkan maut dan lebih daripada 250 cedera selepas Siklon Chido melanda Wilayah Lautan Hindi Perancis, Mayotte.
69 pendatang asing ditahan dalam perhimpunan pra-Krismas di Nilai
Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan menahan 69 pendatang asing warga Myanmar yang menghadiri perhimpunan sambutan pra-Krismas di sebuah hotel dua bintang di Bandar Nilai, semalam.
IMF puji pembaharuan ekonomi Malaysia, minta lakukan tindakan lanjut untuk kukuhkan daya tahan
Menurut IMF, prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh memberikan negara peluang untuk memajukan agenda reformasi yang bercita-cita tinggi.
Hampir 37 kampung di Kuala Krai diramal banjir bermula Selasa - JPS
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi semalam.
AWANI Ringkas: Sukan badminton | Jenayah
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
AWANI Ringkas: Kebakaran | Politik
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Sekolah di Damsyik dibuka semula
Sekolah-sekolah di Damascus dibuka semula kepada pelajar pada Ahad seminggu selepas kejatuhan Kerajaan di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Jabatan Kesihatan keluar 148 kompaun kepada peniaga bazar Ramadan di Terengganu
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengeluarkan 148 kompaun berjumlah RM15,450 kepada peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri setakat Ahad lepas.
Sampai bila pilih premis makanan kotor?
Adakah melihat tikus-tikus berkeliaran di bawah kerusi dan meja di medan selera suatu yang dianggap biasa di Malaysia?
56 pelajar MCKK keracunan makanan
Pelajar-pelajar mengalami gejala-gejala seperti muntah, loya, demam, pening dan sakit perut, sementara keputusan untuk ujian makmal masih belum diperolehi.