Samsung bekerjasama dengan Lucasfilm untuk keluarkan pembersih vakum bertemakan Star Wars

Bernama
Oktober 30, 2017 08:12 MYT
Filem terbaharu Lucasfilm, "Star Wars: Last Jedi," dijadual dikeluarkan pada akhir tahun ini. - Gambar fail
Samsung Electronics Co pada Ahad berkata syarikat itu akan mengeluarkan pembersih vakum yang diinspirasikan oleh watak-watak "Star Wars" dengan kerjasama penerbit Lucasfilm Ltd, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Gergasi teknologi Korea Selatan itu berkata robot baharu dan pembersih vakum tanpa wayar itu dimodelkan daripada watak-watak siri filem yang dicipta oleh George Lucas.
Tag harga bagi pembersih bertemakan Powerbot Darth Vader dan Stromtrooper ialah masing-masing 799,000 won (kira-kira US$710.18) dan 699,000 won (kira-kira US$621.33).
Pembersih tanpa wayar PowerGun, yang berbentuk senapang seperti dalam filem itu, akan dijual pada harga 999,000 won.
Jualan rasmi akan bermula pada 6 Nov, kata Samsung.
Pelancaran itu dibuat menjelang pengeluaran filem terbaharu Lucasfilm, "Star Wars: Last Jedi," yang dijadualkan pada akhir tahun ini.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #Lucasfilm #pembersih vakum #robot #Samsung #Star Wars #watak filem