GAYA HIDUP

Selangor rancang wartakan lempeng sagu biji mata ikan sebagai makanan warisan

Bernama 01/11/2025 | 21:45 MYT
Amirudin (kiri) merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor 2025 di Kuala Selangor pada Sabtu. - Gambar Bernama
KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor merancang membangunkan draf pewartaan lempeng sagu biji mata ikan sebagai makanan warisan rasmi negeri, kata Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat perbincangan dan forum bersama agensi berkaitan bagi memastikan proses pewartaan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan.

"Hari ini kita telah mencapai persetujuan untuk mengangkat lempeng sagu biji mata ikan sebagai antara makanan warisan yang akan diwartakan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat" katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Makanan Warisan Selangor 2025, di sini, pada Sabtu.

Acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Borhan berkata, langkah pewartaan itu penting bagi memastikan makanan tradisi sedia ada tidak hilang ditelan zaman dan diperkenalkan semula kepada generasi muda.

"Lempeng sagu biji mata ikan pernah menjadi makanan popular sekitar 1950 hingga 1970, namun ramai dalam kalangan generasi muda hari ini tidak mengenalinya. Kita mahu hidupkan semula warisan ini agar ia terus diwarisi dan dihargai.

"Festival tahun ini turut menjadi platform memperkenalkan semula makanan tradisi ini kepada masyarakat selain menggalakkan komuniti tempatan terus memelihara keaslian masakan warisan negeri," katanya.

Lempeng sagu biji mata ikan merupakan makanan warisan Bugis yang mudah disediakan dan sering dihidangkan ketika sarapan pagi atau minum petang.

Festival edisi keempat yang dianjurkan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan itu mengetengahkan keunikan dan keaslian makanan tradisional negeri sebagai usaha memelihara warisan budaya serta merancakkan sektor pelancongan negeri.

Pada majlis sama, edaran Lempeng Sagu Biji Mata Ikan Terbanyak (4,921 keping) dan Formasi Rumah Api Kuala Selangor Terbesar menggunakan 55,000 keping Kuih Beppa Pute (25 meter x 8 meter) telah menerima penganugerahan Malaysia Book of Record (MBOR).

-- BERNAMA





#Selangor #makanan warisan #lempeng sagu biji mata ikan #proses pewartaan #warisan kulinari